Tags

, , , , ,

Pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar dilaksanakan dalam konteks pembangunan lestari harus bertunggakan pembangunan ekonomi, pembangunan sosial dan perlindungan alam sekitar.

Pembangunan lestari tidak akan tercapai sekiranya satu daripada tunggak ini dikompromikan.

Klaus Bosselmann dan David Grinlinton di dalam buku mereka Environmental Law for a Sustainable Society[1] menyatakan :

“Idea ‘kemampanan’ adalah lebih daripada frasa menarik untuk strategi perlindungan alam sekitar yang lebih baik. Ramai pengulas telah kaitkan kemampanan kepada konsep asas seperti kebebasan, keadilan dan ekuiti. Ada tanggapan meluas hari ini bahawa kemampanan perlu menyatakan pembangunan masa depan masyarakat dalam banyak cara yang sama seperti kebebasan dan ekuiti pembangunan sekarang. Hanya masyarakat yang mampan, mampu bekerja dengan alam semula jadi, tidak menentangnya, akan mempunyai peluang untuk terus hidup.”[2]

Profesor John Dernbach dalam “Agenda for a Sustainable America” menyatakan “pembangunan mampan memerlukan tindakan oleh kerajaan di semua peringkat tetapi tidak boleh dicapai oleh kerajaan semata-mata. Semua segmen masyarakat, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, perniagaan, komuniti saintifik dan teknologi, institusi pendidikan, pertubuhan agama dan keluarga perlu memainkan peranan yang aktif dan membina.”[3]

Seseorang yang hanya sedar mengenai persekitarannya belum lagi boleh dikatakan sebagai seorang yang ‘celik alam sekitar’.

Ianya haruslah melibatkan pemahaman seseorang individu tentang bahaya kerosakan atau pencemaran alam sekitar dan mampu untuk menjelaskan kepada orang lain tentang isu itu.

Seterusnya dia dapat mempraktiskannya dalam bentuk tingkah laku yang boleh membantu mengurangkan masalah pencemaran, umpamanya melakukan amalan kitar semula bagi mengurangkan lambakan sampah sarap, berkongsi kereta bagi mengurangkan pencemaran udara dan sebagainya.

Dengan menjaga alam sekitar dengan baik, menyumbang bakti kepada alam sekitar, justeru imbuhan yang baik akan kita nikmati iaitu alam sekitar yang harmoni untuk kehidupan yang sejahtera.

Bagi menangani masalah ketidakprihatinan masyarakat terhadap isu alam sekitar, kesedaran sivik amat penting.

Sumbangan masyarakat mempraktikkan amalan yang mesra alam akan memberi impak besar menjamin alam sekitar yang lestari.

Sikap itu bukan sahaja untuk kepentingan sekarang, tetapi juga untuk generasi akan datang menikmati alam sekitar yang sejahtera.

Pada masa yang sama adalah penting juga mewujudkan kesedaran dalam kalangan pihak industri yang mengamalkan amalan mesra alam.

Ini adalah kerana dalam kalangan pihak industri, mereka adalah pemacu kemajuan ekonomi negara.

Selain daripada program-program kesedaran, aspek penguatkuasaan harus tidak dipandang ringan.

Penguatkuasaan penting dalam memastikan sumber alam sekitar digunakan dengan optimum dan tidak menjejaskan kualiti hidup generasi masa kini dan juga masa hadapan.

Mencapai hasil alam sekitar yang lebih mapan memerlukan gabungan peraturan, ekonomi dan penggerak berasaskan nilai.

Pematuhan dan penguatkuasaan memainkan peranan langsung dalam memastikan integriti sistem kawal selia.

Secara idealnya penguatkuasaan mesti mengandungi sekatan atau hukuman yang boleh dipercayai telus dan tegas serta begitu berat sehingga tidak ada pihak yang mahu melanggarnya.

Dalam pada itu, penguatkuasaan akan menjadi lebih berkesan jika mekanisme penguatkuasaan itu amat diyakini sebagai elemen tertinggi yang boleh mengawal selia dan menghukum mereka yang melanggar pematuhan.

Walau bagaimanapun, adalah penting bagi mereka yang menguruskan pematuhan dan penguatkuasaan juga untuk berfikir tentang bagaimana kerja mereka boleh mempengaruhi pertimbangan ekonomi dalaman entiti yang dikawal selia dan membantu nilai alam sekitar bentuk.

—-

[1] Bosselmann, K and. Grinlinton, D, Environmental Law For A Sustainable Society (2007). The theologian Thomas Berry observed in his book The Great Work: Our Way Into the Future 1999 “The Great Work now, as we move into a new millennium, is to carry out the transition from a period of human devastation of the Earth to a period when humans would be present on the planet in a mutually beneficial manner.” Lihat id. m.s 2.

[2] Id., m.s viii.

[3] Dernbach, J., Ed., Agenda for a Sustainable America, 2009, m.s 28.