Tags

, , , ,

Inovasi dan kreativiti merupakan penyumbang ke arah perubahan organisasi, perkembangan dan pembangunan negara.

Dalam konteks pengurusan kerajaan, inovasi bererti cetusan idea-idea kreatif yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti penyampaian perkhidmatan.

Ini penting bagi membolehkan perkhidmatan awam berupaya mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan selaras dengan matlamat program transformasi kerajaan.

Kamus Dewan edisi keempat mentakrifkan inovasi sebagai sesuatu yang baharu diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adaptasi dan lain-lain.

la juga dirujuk sebagai perihal atau tindakan mengadakan atau memulakan sesuatu yang baharu.

Selalunya inovasi membabitkan unsur kreativiti. Akan tetapi kedua-duanya tidak sama.

Inovasi membabitkan tindakan terhadap idea kreatif bagi membolehkan idea kreatif tadi dijelmakan dalam bentuk boleh dipegang dan dirasai, manakala, kreativiti adalah satu kemampuan untuk mengimaginasikan dan melihat sesuatu perkara atau benda itu menerusi satu pendekatan berbeza atau lain daripada sepatutnya.

Kreativiti dimiliki individu atau sebuah pasukan itu adalah pencetus kepada inovasi.

Ciri-ciri kreatif dan inovatif yang wujud pada seseorang individu dalam organisasi berkait rapat dengan penyumbang atau faktor-faktor lain seperti kepimpinan, pemikiran dan budaya sesuatu organisasi itu untuk menentukan kejayaan, pembangunan dan perkembangan sesebuah organisasi..

Kajian yang dibuat oleh Hage dan Aiken (1967) menemui tiga struktur yang mempengaruhi perubahan dan inovasi dalam organisasi iaitu:

(i) complexity berkaitan dengan bilangan jenis-jenis jawatan terutamanya yang memerlukan pengetahuan tertentu;

(ii) centalization merujuk kepada kaedah pengagihan kuasa dan polisi membuat keputusan;

(iii) formalization merupakan jumlah bilangan peraturan atau prosedur yang perlu diikuti serta tahap perlaksanaannya yang digariskan secara spesifik.

Di antara ketiga-tiga struktur di atas, complexity mempunyai hubungan yang positif dengan inovasi berbanding yang lain.

Selain itu, saiz organisasi turut berperanan melancarkan proses-proses inovasi kerana semakin besar saiz organisasi maka semakin rumit kerenah birokrasi dan ini akan mengecilkan saiz inovasi (Damanpour, 1992).

Pada individu pula, faktor dorongan seseorang untuk melaksanakan inovasi dipengaruhi oleh:

(a) tahap kognitif berdasarkan :

(i) kecerdasan (Lubart & Guignard, 2004);

(ii) kepintaran dan kebitaraan (Feist & Barron, 2003);

(iii) kekuatan mental dan kreativiti (Mumford, 2003);

(iv) kebijaksanaan memerhati dan menilai sesuatu (Feist & Barron, 2003);

(b) berpengetahuan luas dalam sesuatu bidang pengkhususan (Mascitelli, 2000;)

(c) pengaruh motivasi diri (Sauermann, 2008);

(d) dorongan tingkah laku yang proaktif and berani bersuara (Patterson, 2004).

Pembudayaan inovasi dan kreativiti juga memerlukan kepada budaya organisasi yang bermula dari kefahaman penghayatan ilmu.

Organisasi akan menjadi lebih cekap jika semua warga kerjanya mempunyai kemahiran sebagai nilai tambah seterusnya menjadi pemangkin kepada perubahan organisasi.

Amat penting pemimpin mahupun pengurus organisasi melaksanakan penghayatan ilmu dalam kalangan kakitangannya untuk meningkatkan dan mengembangkan budaya inovasi.

Selain itu, budaya bekerja berpasukan dan melaksanakan mekanisme syura juga aspek penting yang membantu kecemerlangan organisasi.

Melalui mekanisme syura dapat mencungkil banyak idea baharu. Melalui perbincangan ini juga beberapa perkara baharu dapat diterjemahkan dan diselesaikan dengan cepat dan mudah dalam organisasi.

Individu yang bersifat kreatif dan inovatif perlu diberikan ganjaran yang sepatutnya supaya bakat yang ada tidak disia-siakan begitu sahaja.