Tags

, , , ,

Hidup kita ini seharusnya memberikan manfaat kepada yang lain. Seelok-eloknya kita jangan menyusahkan orang lain.

Itu yang seelok-eloknya. Namun kini ramai dalam kalangan masyarakat kita sudah tidak faham akan perkara ini. Bagi mereka ‘seelok-eloknya’ itu bukan suatu kemestian.

Agaknya semakin ramai dalam kalangan kita ini sudah menjadi pakar bahasa. ‘Seelok-eloknya’ sememangnya bukanlah suatu kemestian tapi ia merujuk kepada sesuatu yang paling elok, paling baik dan yang patut dilakukan.

Oleh yang demikian berbalik kepada pernyataan ayat pertama dan kedua : ‘Hidup kita ini seharusnya memberikan manfaat kepada yang lain. Seelok-eloknya kita jangan menyusahkan orang lain,’ itu yang semestinya kita lakukan.

Kepentingan bersama dan majoriti mesti diberikan perhatian.

Namun percaya atau tidak, dalam kebanyakan situasi, kita sering berhadapan dengan situasi yang menyulitkan akibat daripada tindakan orang lain yang tidak mengendahkan orang lain.

Mikio Sumiya seorang ilmuwan Jepun, pernah menyatakan : “Kepentingan kumpulan mengatasi kepentingan ahlinya dan hasilnya corak gelagat individu kekal berpusatkan kumpulan.”

Malangnya semakin ramai yang tidak mengerti tentang perkara ini.

Semakin ramai di kalangan kita yang tidak berusaha untuk memakmurkan dunia ini.

Semakin ramai anggota masyarakat kita yang telah luntur perasaan timbang rasa dan prihatin malah semakin menebal perasaan dan sikap individualistik, ego yang semakin besar, gemar sungguh membesar-besarkan perkara enteng dan mencari kesalahan yang tidak perlu selain amat seronok berdebat perkara yang tidak bermanfaat.

Keadaan ini nampaknya berkadar terus dengan keupayaan kita memperolehi maklumat dan ilmu.

Semakin mudah kita mendapat maklumat – maklumat di hujung jari – semakin kita dihimpit situasi seperti kuman di seberang laut nampak, gajah di hadapan mata tak nampak (Kesalahan orang lain, biar pun kecil, tampak; tetapi kesalahan sendiri tidak disedari).

Jika dulu orang yang berilmu seperti padi, semakin berisi makin tunduk tapi sekarang semakin ramai orang ‘kononnya’ berilmu seumpama padi hampa, makin lama makin mencongak. Akibatnya jadi seperti kurang budi teraba-raba, tidak ilmu suluh padam (Orang yang kurang siasat di dalam sesuatu perkara, akhirnya akan mendapat kesusahan).