Tags

, , , ,

Bekerja dengan orang (makan gaji) atau bekerja sendiri, tidak banyak bezanya jika dilihat kepada keperluan kesungguhan kita untuk melaksanakan tugas dengan baik.

Bekerja makan gaji, kesungguhan kita atau si pekerja melaksanakan tugasan yang diamanahkan kepada kita adalah syarat yang telah kita dan majikan persetujui bagi memperolehi gaji atau imbuhan yang ditawarkan.

Oleh itu, apabila si pekerja tidak melaksankan tugasnya dengan sempurna, maka tidak menjadi suatu kesilapan dan kesalahan bagi majikan untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas pekerja – misalnya memotong gaji, menahan kenaikan gaji malah melepaskan atau membuang si pekerja.

Bagi kita yang bekerja sendiri, kesungguhan kita melaksanakan tugas merupakan kelangsungan hidup kita.

Kalau tugas yang dilaksanakan itu tidak sempurna, besar kemungkinan kita tidak akan mendapat bayaran atau mungkin menjejaskan keuntungan kita.

Selain daripada itu, apabila tugas itu tidak sempurna, nama baik kita mungkin terjejas – iaitu apabila orang lain akan beranggapan kita tidak cekap dan kerana itu, orang lain tidak mahu atau berminat memberikan atau mendapatkan barangan atau perkhidmatan kita.

Keadaan itu sudah pastinya menjejaskan sumber pendapatan kita.

Sebagai manusia yang waras, sudah tentunya kita menghendaki kesenangan dan kemewahan.

Pada zaman sekarang, kesenangan dan kemewahan diukur dengan jumlah wang yang kita miliki dan boleh dibelanjakan.

Untuk memperolehinya, pelbagai cara dan kaedah digunakan dan ia sebenarnya bukan suatu yang mudah – kesenangan dan kemewahan itu tidak datang seperti yang pepeh datang melayang dan yang bulat datang bergolek.

Namun ada yang memperolehinya dengan agak mudah walaupun dengan hanya mengusahakannya seperti melepas batuk di tangga.

Apapun, adalah amat penting kita melaksanakan tugasan kita dengan gigih.

Gaji dan pendapatan yang kita terima itu hanya berkat jika kita telah menunaikan hak yang sepatutnya.

Sebagai majikan atau pelanggan atau pembeli, kita harus memastikan pekerja atau pembekal atau pengusaha itu melaksanakan haknya seperti mana yang telah dipersetujui awal-awal lagi sebelum tugasan berkaitan dilaksanakan.

Adalah suatu tindakan yang tidak adil dan perbuatan sobotaj apabila majikan, pelanggan atau pembeli menggenakan pelbagai tambahan setelah persetujuan pelaksanaan tugas diberikan.

Itu adalah perbuatan yang sungguh tidak bertanggungjawab selain menunjukkan tiada ketetapan pendirian dan tiada perancangan serta fokus.

Sememangnya semua kita menghendaki yang terbaik daripada apa yang dikehendaki dari barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Namun jika kita membuat keputusan untuk mendapatkan tanpa maklumat yang lengkap dan bersesuaian, sudah pasti kita akan tergesa-gesa dalam membuat kesimpulan dan keputusan .

Itu sudah tentu akan mengakibatkan apa yang dihasratkan tidak akan memenuhi apa yang telah ditetapkan.

Oleh itu, Buat Sendiri Kalau Dah Tak Berkenan.