Tags

, , ,

Apabila kita diberikan tugasan, sebagai orang yang bertanggungjawab, kita akan berusaha dengan sebaiknya.

Kita akan menggabungkan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang miliki untuk menyiapkan tugasan berkenaan.

Bagi mereka yang bekerja dengan organisasi (awam mahupun swasta) – makan gaji, menyiapkan apa juga tugasan yang diberikan itu adalah antara syarat penting dalam persetujuan pemberian imbuhan atau upah yang antara pekerja dan majikan.

Bagi yang bekerja sendiri (berniaga atau usahawan), kebiasaannya harga (upah atau imbuhan) yang ditetapkan dipersetujui sebelum barangan atau perkhidmatan bertukar milik.

Kebiasaanya juga akan dinyatakan beberapa syarat di pihak pembekal (peniaga atau usahawan) dan pembeli.

Antara yang biasa dinyatakan ialah seperti bayaran muka, bayar penuh apabila telah menerima barangan atau perkhidmatan serta beberapa frasa penafian atau perlindungan (di pihak pembeli dan pembekal) seperti barangan yang dibeli hanya boleh dikembalikan jika ada kerosakan tapi perlu disertakan bukti pembelian (resit) atau bayaran penuh hanya akan dilangsaikan jika perkhidmatan yang diberikan memenuhi semua piawaian yang ditetapkan dan dipersetuji.

Apabila ada frasa penafian atau perlindungan yang dinyatakan dan kedua-dua pembeli dan pembekal menyetujuinya, maka ia adalah satu kontrak yang MESTI dipenuhi dan dihormati oleh kedua-dua pihak.

Itu senario yang ideal, namun kita hidup berpijak di bumi nyata dan kenyataannya dalam hidup ini, pasti ada yang sangat gemar mengambil jalan singkat dan memutar-belit fakta bagi kepentingan dan keuntungan mereka bak kata pepatah sudah dikecek, dikecong pula tanpa peduli kemudaratan dan kesengsaraan orang lain.

Semua kita pernah melalui pengalaman sedemikian dan yang lebih malang lagi perkara sedemikian sering kali berlaku kepada mereka yang baru menceburi bidang perniagaan atau keusahwanan.

Seperti juga orang lain, peniaga dan usahawan baru juga perlu meneruskan kelangsungan hidup mereka (sama ada sebagai individu mahupun entiti perniagaan atau keusahwanan).

Mengecek dan mengecong mereka tidak ubah seperti ‘membunuh’ mereka.

Antara amanah kita hidup di dunia ini adalah untuk memakmurkan dunia ini dengan segala isi kandungannya dan bukannya membuat onar, kemudaratan dan kemusnahan.

Oleh itu mengapa perlu putar-belit dan menipu?

Ia tidak memberi apa-apa manfaatdan keuntungan sebenarnya.  Bagi yang ‘kena’ sudah pastinya suatu yang perit untuk ditelan dan diharungi.

Namun itu adalah pengajaran yang berguna.

Bagi yang’mengenakan,’ ia hanya seperti buih ‘untung’ di atas air, ia mungkin banyak tapi tidak bertahan lama dan apabila ia pecah, tiada apa yang tinggal.

Kata orang, beringat sebelum kena dan jerat tak pernah lupakan pelanduk