Tags

, , , , ,

Ucapan terima kasih bagi kebanyakan kita adalah suatu ucapan yang biasa.

Ucapan yang dilafazkan apabila kita menerima sesuatu kebaikan.

Ia tidak sukar dilafazkan. Malah ia sebenarnya suatu lafaz yang spontan.

Maknanya juga jelas – ia suatu tanda penghargaan kita.

Penghargaan yang lahir dari rasa ikhlas dari hati kita.

Penghargaan yang dihadiahkan tanpa melibatkan sebarang kos!

Bagi yang menerima ucapan ini, penghargaan ini, pastinya berasa dihargai malah ada ketikanya melahirkan rasa gembira.

Bagi yang menjalankan urus niaga, apabila ucapan ini dilafazkan, pihak yang menerima ucapan ini akan berasa bahawa urus niaga itu telah dilaksanakan dengan sempurna.

Namun ada segelintir di kalangan kita yang begitu berat mulut untuk mengucapkan dua perkataan ringkas ini.

Dua perkataan itu seolah-olah tidak ada dalam kamus adap mereka.

Ucapan terima kasih yang kita lafazkan sebenarnya menunjukkan betapa kita ini sudah bertamadun.

Orang yang bertamadun mempunyai set-set nilai peradapan yang terbaik yang diperturunkan dari generasi terdahulu.

Penerusan amalan nilai-nilai peradapan itu adalah kelangsungan hidup masyarakat.

Masyarakat yang meninggalkan nilai-nilai peradapan baik ini sebenarnya masyarakat yang sudah pincang dan menunggu kemusnahan.

Mengapa?

Ia seumpama pita kaset lagu yang mengandungi lagu-lagu merdu yang ditindih rakam dengan rakaman lain.

Sudah pastinya pita kaset lagu tadi tidak akan dapat dimainkan semula lagu-lagunya walaupun pada kaset itu atau pada kulit kaset itu tertera senarai lagu-lagu berkenaan.

Ia telah padam. Ia telah hilang. Hanya tinggal kelongsong (bekas) dan rangka.

Suatu bekas yang hanya tinggal rangka, bila-bila masa akan musnah apabila dikenakan tekanan.

Amalan mengucapkan terima kasih sebenarnya antara nilai peradapan baik yang penting dalam kehidupan kita dalam bermasyarakat.

Ucapan ini mengajar kita dan menyuburkan nilai-nilai murni dalam diri kita untuk sentiasa menghargai setiap sumbangan dan kebaikan orang lain walau sekecil manapun ia.

Apabila kita sentiasa menghargai sumbangan dan kebaikan orang lain, maknanya kita juga mengakui bahawa hidup kita di dunia ini tidak dapat dilangsungkan tanpa bantuan, sumbangan dan sokongan orang lain.

Oleh yang demikian, bagi mereka yang berat mulut mengucapkan terima kasih, sebenarnya adalah orang yang sombong dan terlalu taksub dengan dirinya – iaitu berasa hanya dirinya yang layak, berkebolehan dan berkemampuan.

Mereka berasa orang lain tiada manfaat kepadanya walaupun mereka telah menerima manfaat, sumbangan dan kebaikan dari orang lain.

Gejala ini semakin berluasa dalam kehidupan di sekeliling kita.

Paling menyedihkan dan membimbangkan, gejala ini ditunjangi oleh mereka yang telah dewasa – situasi kini bak nyiru bak tampian.

Tidak mengucapkan terima kasih sebenarnya tidak harus berlaku malah sepatutnya menjadi taboo kalau kita tidak melafazkannya pada situasi yang berkenaan.

Tidak sepatutnya wujud situasi berat mulut dalam hal ini.  Ucapan terima kasih seharusnya suatu yang begitu lancer dan mudah dilafazkan selalu.

Malah dalam situasi yang menekan kita mahupun situasi yang meremuk hati dan menghimpit perasaan kita, jika kita lafazkan ucapan terima kasih ia sebenarnya menjadikan kita lebih kuat dan menenangkan.

Oleh itu, usah berat mulut mengucapkan TERIMA KASIH.