Tags

, , , ,

Rasa hebat bila kita berjaya mencapai sesuatu yang kita harapkan, hendaki dan usahakan.

Rasa amat kecewa bila apa yang kita harapkan, hendaki dan usahakan itu tidak tercapai.

Kita ada ketika mudah terbuai dengan apa yang kita capai sehinggakan kita dalam kebanyakan waktu ‘terlepas’ pandang gajah di hadapan mata!

Setiap kejayaan yang dicapai adalah kemungkinan terbaik daripada kegagalan yang mungkin.

Bila kita berasa seronok dengan pencapaian kita, kita tidak harus lalai dengan kegagalan yang akan kita alami.

Dalam kehidupan kita, kita mengharapkan hanya yang terbaik sahaja.

Oleh yang demikian, kita melengkapkan diri kita dengan pelbagai ilmu dan kemahiran yang dapat membawakan kita apa yang terbaik yang kita harapkan dan usahakan.

Ramai yang beranggapan, kejayaan yang dicapainya itu adalah hasil usaha gigihnya dan dia sesepatutnya dia menikmatinya.

Betul dan salah.

Betul kerana sememangnya dan selogiknya apabila kita usahakan sesuatu kita akan memperolehi sesuatu dan dalam situasi positif, maka apa yang diusahakan itu menelurkan kejayaan.

Salah kerana, kejayaan yang kita capai itu adalah disebabkan kegagalan orang lain yang tidak berusaha.

Kehidupan di dunia ini adalah suatu keseimbangan. Jika kita berjaya, sudah tentunya ada yang gagal dan bila hari ini kita berjaya, belum tentu pada masa akan datang kita akan terus berjaya.

Kejayaan dan kegagalan adalah ujian – ujian ketahanan.

Bila kita berjaya, adakah kita mampu bertahan daripada berasa takabur atau bermegah-megah dengan apa yang telah dicapai itu?

Bila kita gagal, wujudkah ketahanan diri kita menerima kegagalan itu, menerima tekanan kekecewaan itu?

Kejayaan dan kegagalan juga adalah ujian – ujian kesyukuran.

Adakah kita teringat untuk bersyukur di atas kejayaan yang kita perolehi, berterima kasih kepada Tuhan yang memakbulkan doa kita, yang member peluang untuk kita mengarap semua elemen untuk digunakan bagi melahirkan kejayaan itu?

Adakah kita berterima kasih kepada mereka yang membantu kita (walau sekecil mana sumbangannya)?

Adakah kita bersyukur kepada Tuhan di atas kegagalan yang dikurniakanNya kepada kita yang merupakan suatu peringatan dan pengajaran untuk kita supaya menjadi insan yang lebih baik dalam segenap segi?

Renungkannya dan bertindaklah dengan tindakan yang sewajarnya – iaitu akui kelemahan diri dan bersyukur.  Seterusnya berusaha perbaiki kelemahan diri dan tingkatkan keupayaan, kemahiran dan kemampuan diri.

Selain daripada itu, jaga kesihatan – mental, emosi dan fizikal kerana mental, emosi dan fizikal yang sihat akan memberikan kita tenaga yang positif untuk hidup.