Tags

, , , ,

Setiap hari boleh dikatakan kita akan berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang.

Dari interaksi dan komunikasi kita dengan orang, kita akan dapat mengesan dan membuat penilaian dan akhirnya membuat kesimpulan atau tanggapan ke atas orang berkenaan.

Tanggapan ini mungkin positif, negatif malah mungkin keliru.

Keliru?

Bagaimana mungkin?

Betul, kebanyakan kita akan berasa keliru dengan mereka yang kita jumpa.

Adakah dia seorang yang boleh dipercayai, boleh diharap atau …entahlah… keliru.

Mengapa boleh jadi begitu?

Itu semua kerana kita tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk membuat analisa dan penilaian yang tepat dan sesuai.

Keadaan ini disebabkan juga kerana apabila kita berkomunikasi dan berinteraksi, kita jarang sekali menggunakan kemahiran berkomunikasi dan teknik pengumpulan maklumat kita dengan sebaiknya.

Dalam kebanyakan keadaan, aa seolah-olah kita berkomunikasi dan berinteraksi sekadar untuk mengisi kekosongan masa yang kita ada – tiada tujuan atau halatuju.

Keadaan ini yang kita kategorikan sebagai berbual kosong dan sekadar melepak.

Bukankah ini suatu kerugian?

Walhal setiap aktiviti kehidupan kita harus mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada diri kita secara intelektualnya, fizikalnya mahupun kerohaniannya.

Ia juga seharusnya memberikan manfaat yang lebih besar kepada orang lain.

Mengapa keadaan ini tidak tercapai?

Ia kerana kita beranggapan bahawa berkomunikasi dan berinteraksi itu adalah suatu yang lazim, suatu yang biasa, suatu yang datang secara semulajadi.

Berkomunikasi dan berinteraksi bukan suatu yang lazim, suatu yang biasa, suatu yang datang secara semulajadi.

Ia adalah suatu pelaksanaan yang melibatkan banyak proses yang memerlukan banyak sumbangan unsur yang bertunjangkan kepada maklumat.

Beranggapan bahawa maklumat adalah suatu yang sekadar daripada beberapa aksara yang disusun dan digabungkan menjadi perkataan yang seterusnya diolah menjadi ayat yang ada ketikanya ditulis adalah suatu anggapan yang lahir daripada kejahilan diri kita sendiri.

Maklumat terdapat di merata tempat dan dalam pelbagai bentuk.

Kejadian tubuh dan anggota serta organ tubuh badan kita boleh diumpamakan sebagai suatu alat pengesan (sensor) yang sungguh aktif kepada rangsangan luar.

Rangsangan yang tubuh kita terima akan disalurkan dalam bentuk denyut isyarat elektik kepada pusat pemprosesan tubuh iaitu otak kita.

Otak kita akan memproses isyarat berkenaan dan menghubung jalinkannya dengan kandungan bahan (maklumat) yang telah diproses (terdahulu dari rangsangan yang sama atau serupa atau hampir serupa) untuk dikenal pasti dan seterusnya disalurkan kepada anggota atau organ tubuh kita yang berkenaan untuk diambil tindakan (keputusan) yang bersesuaian.

Bagaimana pula jika otak kita tidak dapat mengenal pasti rangsangan berkenaan?

Dalam keadaan itu, otak akan memproses maklumat yang paling sesuai dengan keadaan berkenaan.  Apabila ini berlaku, maka sebenarnya kita dalam kekeliruan dan keputusan atau tindakan yang dibuat atau diambil seterusnya bukan suatu yang pasti.

Apa pun hasil daripada ketidak pastian ini (positif atau negatif) akan tetap direkodkan dan akan berguna apabila situasi serupa atau yang hampir serupa berlaku.

Malangnya, kebanyakan kita sering mengabaikan maklumat yang telah diperolehi itu dan kita cuba untuk melupakannya.

Apabila kita berasa keliru, itu sebenarnyaa suatu mekanisme yang memberitahu kita bahawa kita perlu mendapatkan lebih banyak maklumat yang berkaitan.

Oleh itu, proses pencarian maklumat perlu dilaksanakan.

Bukankah itu akan mengambil masa?

Tidak. Proses pencarian maklumat bunyinya seperti suatu yang besar dan sukar.

Akan tetapi sebenarnya ia suatu yang mudah dan lazim kita lakukan.

Misalnya apabila kita terdengar bunyi sesuatu yang jatuh, tindakan serta-merta kita kebiasaannya kita akan berpaling ke arah bunyi yang kita dengar itu.

Itu adalah proses pencarian maklumat.

Jika kita nampak benda yang jatuh itu, maka proses itu sudah selesai.

Jika tidak nampak, kita akan terus meninjau-ninjau.

Jika masih tidak nampak setelah puas mencari, kita akan membuat keputusan daripada maklumat yang kita ada yang mana otak akan mengenal pasti dan menghubung jalinkan rangsangan luar itu dengan pengkalan data yang ada.

Kita akan membuat keputusan yang kita anggap paling sesuai dan tepat dengan maklumat yang ada namun kita berasa dalam ketidak pastian – kekeliruan yang munasabah.

Proses pencarian maklumat sememangnya suatu yang lazim namun menganggapnya suatu yang tidak penting akan menyebabkan kita sentiasa berada dalam kekeliruan.

Proses pencarian maklumat perlu dijadikan elemen penting dalam setiap aktiviti kita bagi mengelakkan kita terperangkap dalam kekeliruan yang munasabah.