Tags

, , , , , ,

Mungkin ramai di kalangan kita yang mengetahui akan wujudnya Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan yang diwujudkan oleh kerajaan dan sudah tentunya tidak ramai yang mengetahui akan signifikannya diwujudkan jawatankuasa ini.

Mungkin ada yang menyatakan dengan adanya jawatankusa ini sebenarnya menggambarkan bahawa perkhidmatan awam kita dalam keadaan ‘tenat’ dengan ‘kanser’ seperti rasuah penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dan lain-lain lagi.

Mungkin benar dan mungkin juga sebaliknya.  Jika benar perkhidmatan awam kita mengidap  ‘kanser-kanser’ berkenaan, ini tidak pula bermakna ia tidak dapat dikawal atau ‘dibuang’ terus.

Dalam teknologi perubatan moden, boleh dikatakan tiada sesuatu pun yang mustahil.  Dari semasa ke semasa para saintis berusaha mencari dan mengenal pasti puncanya serta mencipta ubat dan kaedah baru untuk mengubati pelbagai penyakit.

Begitu juga dengan sistem pentadbiran kerajaan kita.  ‘Kanser’ dalam perkhidmatan awam sememangnya ada.

Usaha mengesan, membuang dan merawatnya sentiasa dilakukan.  Seperti juga para saintis dan doktor, para pentadbir kita juga telah berusaha mencari puncanya serta mencipta (mengubal) polisi dan prosedur untuk mengatasi ‘kanser’ ini.

Mengapa ini perlu dilakukan.

Ini penting kerana seperti mana kanser dalam tubuh kita, sama ada kanser itu jenis yang tidak merebak ataupun yang merebak, apa yang pasti perjalanan sistem tubuh kita akan terjejas.

Kita tidak akan menikmati lagi tahap kesihatan yang baik, kita akan sentiasa mengambil ubat untuk meringankan kesakitan yang kita alami.

Keadaan ini sedikit sebanyak akan menjejaskan perjalanan hidup seharian kita selain memerlukan kita membelanjakan sejumlah wang untuk mendapatkan ubat yang berkaitan.

Keadaan yang hampir sama berlaku pada sistem pentadbiran kerajaan jika ‘kanser’ yang terdapat dalam sistem pentadbiran kita itu tidak dibuang.

Kanser yang dihidapi oleh seseorang individu itu mungkin menjejaskan orang yang berada di sekelilingnya (secara emosional dan mungkin fizikal) seperti ahli sekuarga dan saudara maranya tetapi ‘kanser’ yang ada dalam sistem pentadbiran kita menjejaskan seluruh masyarakat.

Mengapa begitu?

Sebagai anggota perkhidmatan awam, mereka sebenarnya adalah pemegang amanah masyarakat yang memberikan mandat kepada mereka untuk menguruskan segala peraturan, undang-undang serta pembangunan bagi pihak mereka yang matlamat akhirnya untuk mencapai atau menikmati kemakmuran dan kebahagian hidup sejajar dengan kehendak atau keperluan emosi dan fizikal.

Sebagai pemegang amanah, secara logiknya anggota perkhidmatan awam haruslah amanah dan tidak sepatutnya ada nilai-nilai atau sifat-sifat negatif di dalam melaksanakan amanah itu.

Maka dengan wujudnya jawatankuasa ini, maka kerajaan dapat membuat diagnos dan mengetahui setakat mana merebaknya ‘kanser-kanser’ ini dan dalam masa yang sama mencari rawatan yang bersesuai untuk membuangnya agar tidak menjejaskan ‘anggota’ perkhidmatan awam yang lain.

Jika ‘kanser’ ini tidak wujud, maka jawatankuasa ini berperanan sebagai ‘vitamin’ yang akan menguatkan sistem ‘anggota’ perkhidmatan awam kita.

‘Anggota’ yang sihat akan membolehkan segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.