Tags

, , , , , , , , , ,

Kesulitan atau masalah sememangnya suatu yang pernah kita alami.  Situasi ini jika tidak ditangani boleh menyebabkan lebih banyak lagi kesulitan yang timbul.

Apabila lebih banyak kesulitan yang timbul, maknanya kita perlu meluangkan lebih banyak masa, tumpuan dan tenaga untuk menanganinya.

Semua perkara ini adalah suatu kerugian! Ini kerana masa dan tenaga yang digunakan itu boleh digunakan dan disalurkan untuk menyelesaikan tugasan kita yang lain.

Kesulitan atau masalah yang timbul itu boleh dikatakan ada perkaitan dengan satu atau beberapa keputusan atau penyelesaian yang dibuat serta keputusan atau penyelesaian yang dibuat untuk untuk menanganinya.

Keputusan-keputusan atau penyelesaian-penyelesaian itu pula ada ketikanya menyebabkan rantaian beberapa kesulitan lain.

Dalam organisasi, sesuatu kesulitan atau masalah itu boleh kita takrifkan sebagai halangan ataupun lencongan.

Halangan menyebabkan hasil yang dijangkakan tidak tercapai manakala lencongan pula mengakibatkan hasil yang diperolehi itu tidak seperti apa yang diharapkan atau telah menyimpang daripada objektif asal.

Sebagai contoh, suatu situasi itu boleh ditakrifkan sebagai masalah apabila misalnya, membina sebuah bangunan sekolah di suatu kawasan itu lewat penyiapannya kerana kontraktor yang dilantik menghadapi kesulitan kewangan.

Namun ianya adalah suatu lencongan jika projek itu berjaya disiapkan tetapi ianya tidak menepati spesifikasi asal misalnya bilangan bilik darjah yang dibina kurang kerana sebahagian daripada peruntukan asalnya telah digunakan untuk membina jalan ke bangunan itu.

Untuk menangani atau menyelesaikan suatu kesulitan atau masalah, perkara paling penting yang harus kita beri perhatian ialah mengenalpasti punca kesulitan yang mungkin timbul jika kita melaksanakan sebarang keputusan, pelan atau strategi yang ada.

Maksudnya di sini, kita menyelesaikan masalah itu sebelum ianya muncul.  Atau dalam lain perkataan : kita ‘menjangkakan’ masalah yang akan timbul.

Dengan berbuat demikian, ia dapat mengelakkan kita daripada berhadapan dengan sebarang kesulitan akibat daripada keputusan yang telah diambil itu.

Menyelesaikan masalah sebelum ianya wujud sebenarnya boleh dijadikan satu tabiat.

Tabiat ini akan banyak membantu kita dalam melaksanakan tugasan kita dengan lebih teratur dan berkesan.

Menjadikan ia sebagai tabiat bukanlah suatu yang sukar.  Apa yang perlu kita lakukan ialah melakukan beberapa langkah penyelesaian masalah yang boleh kita mulakan dengan mengenalpasti punca kesulitan itu berlaku dan kesannya.

Setelah ini diperolehi, kita perlu jelas akan objektif penyelesaian yang ingin kita capai.

Ini diikuti dengan menyenaraikan sebanyak mungkin cadangan bagi menangani kesulitan berkenaan.

Setelah itu kita perlu memilih cadangan penyelesaian yang terbaik dan sesuai untuk membolehkan kita menyediakan pelan tindakan untuk menanganinya.

Namun kita tidak harus berhenti di situ sahaja.

Kita kemudiannya perlu membuat penilaian menyeluruh ke atas apa yang telah dirancang,  mencari kelemahan-kelemahan yang mungkin ada dan menjangkakan kemungkinan-kemungkinan kesulitan lain yang timbul pada masa hadapan.

Ini bertujuan membolehkan kita seterusnya melakukan beberapa pindaan bagi memastikan pelan penyelesaian itu adalah sempurna.

Setelah terbukti boleh dilaksanakan, pelan itu mesti dihebahkan atau diberitahu kepada semua mereka yang terlibat.

Ini penting bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan lancar dan akhir sekali setelah semua yang terlibat faham dan tahu apa yang perlu mereka lakukan, maka tiba masanya untuk kita melaksanakan pelan tindakan itu.

Dalam usaha kita untuk mencapai kemajuan dalam apa juga aspek, banyak cabaran dan juga halangan baru yang perlu kita tangani.  Ianya juga memerlukan kita peka kepada perubahan persekitaran yang berlaku dan kesan-kesannya.

Oleh yang demikian, amat perlu kita menukar cara kita berfikir, membuat keputusan dan bertindak agar apa yang telah diputuskan itu tidak mewujudkan rantaian kesulitan dan permasalahan yang merugikan kita.