Tags

, , , , , , , , ,

Kita dilahirkan dengan pelbagai keupayaan, bakat atau pun potensi dan setiap dari kalangan kita juga mempunyai tahap keupayaan, keserlahan bakat dan potensi yang berbeza dari satu dengan yang lain.

Kita mungkin sedar dan mungkin juga tidak tentang keupayaan, bakat dan potensi kita.  Itu bukan menjadi masalah sebenarnya.  Apa yang penting ialah bagaimana kita dapat mengasah atau menggilap keupayaan, bakat dan potensi yang dimiliki itu untuk kebaikan diri, masyarakat, organisasi kita  dan seterusnya negara yang kita cintai ini.

Bagi mereka yang berkhidmat di dalam perkhidmatan awam, mungkin ada yang berasakan elemen-elemen yang disebutkan tadi tidak begitu penting memandangkan mereka adalah anggota perkhidmatan awam yang pada dasarnya menjalankan tugas yang diamanahkan sahaja.

Ini pandangan yang sama sekali salah dan tidak benar.

Keupayaan, bakat dan potensi diri kakitangan awam itu sebenarnya adalah pendokong kepada kemampuan mereka melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan lebih baik malah mampu menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap kepada masyarakat.

Penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap bermakna mereka berupaya mengurangkan kos di samping dapat melakukan lebih banyak tugasan yang pada akhirnya akan membantu meningkatkan produktiviti organisasi keseluruhannya.

Kecekapan penyampaian perkhidmatan jentera kerajaan akan membolehkan sektor-sektor lain menjalankan aktiviti mereka dengan lebih cekap dan itu menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan dalam negara kasar.

Itu kemudiannya akan dapat diterjemahkan dengan peningkatan pendapatan dan kualiti hidup masyarakat.

Sedar atau tidak, terdapat pelbagai cara atau kaedah untuk menggilap potensi diri.

Antaranya melalui pelbagai kursus, bengkel dan seminar yang dianjurkan.

Sungguh pun demikian, harus sentiasa diingat, semua itu adalah alat atau kaedah yang boleh membantu menggilap potensi diri yang kita miliki.

Potensi diri kita tidak akan dapat diserlahkan dengan sebaiknya sekiranya kita sendiri yang kurang berminat untuk mengetengahkannya.

Untuk itu adalah penting bagi setiap dari kalangan kita bersikap bahawa setiap suatu yang kita lalui atau alami itu adalah suatu proses pembelajaran.

Kita harus sentiasa merendah diri dan tidak sombong dengan ilmu atau pengalaman yang dimiliki itu.

Sebaliknya kita harus berkongsi pengalaman dan ilmu yang kita miliki dengan orang lain terutama dengan mereka yang terdekat dengan kita.

Dalam konteks perkhidmatan awam, pengalaman dan ilmu yang diperolehi harus malah sebenarnya mesti dikongsikan dengan rakan sekerja atau kakitangan di bawah seliaan.

Tidak rugi berkongsi pengalaman atau ilmu kerana ianya bukan suatu yang fizikal yang mana apabila diberikan akan berkurangan sebaliknya ia akan tetap kekal malah boleh luput jika hanya disimpan.

Sebenarnya mereka yang di dalam perkhidmatan awam amat bertuah.

Mengapa?  Ini kerana mereka sentiasa diberikan peluang untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam menjalankan tugas.

Dari semasa ke semasa mereka diminta menghadiri kursus, bengkel dan seminar sama ada yang ada kaitan langsung dengan bidang tugas mereka mahupun sebaliknya.

Kerajaan mengeluarkan sejumlah wang yang besar bagi tujuan ini.  Sungguhpun ini dikira sebagai perbelanjaan namun perbelanjaan ini lebih merupakan suatu pelaburan yang pasti akan menguntungkan pada masa hadapan.

Adalah menjadi harapan kerajaan bahawa setiap ringgit yang dilaburkan itu akan dapat memberikan manfaat bukan sahaja kepada diri individu yang terlibat malah juga kepada organisasi, masyarakat dan negeri dan negara ini.

Oleh yang demikian, amatlah penting bagi setiap penjawat awam yang yang telah terpilih untuk menyertai kursus, bengkel dan seminar menggunakan peluang yang ada itu sebaiknya untuk menimba dan menambah pengalaman dan ilmu dan apabila balik ke organisasi masing-masing kelak ianya dikongsikan bersama dengan rakan sekerja.