Tags

, , , , , , , , , , , ,

Tidak pernah terfikir sebelum ini yang diri ini tiada apa.

Langsung tiada apa.

Tiada siapa yang sudi.  Tiada siapa yang mahu.

Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Dulu anggap peribahasa itu sekadar sebagai peringatan. Namun kini ia menjadi kenyataan.

Kalau kail panjang sejengkal, laut dalam jangan diduga dan jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Itu yang bergolak di fikiran dan sanubari ini dan pergolakan ini menjelmakan persoalan : adakah apa yang dimiliki (ilmu dan pengalaman) itu tidak cukup dan tidak sesuai?

Adakah keputusan yang dibuat itu tidak tepat, kurang bijak dan salah?

Adakah ketika mengumpul maklumat bagi membuat keputusan itu ada kekurangan dan kesilapan atau pengumpulan maklumat itu dibuat ala kadar dan lebih dipengaruhi oleh emosi?

Begitu banyak kesangsian sehingga setiap apa yang diusahakan kini dipersoalkan rasionalnya.

Kadang-kadang, kita perlu untuk meragui diri. Kadang-kadang kita perlu keliru, atau tidak pasti dengan diri kerana denganya kita akan mendapat demensi lain dalam usaha mencapai potensi diri kita sepenuhnya.

Apabila kita sangsi pada diri kita, kita sebenarnya telah ‘membuka’ tingkap dan mencipta kemungkinan dalam fikiran kita yang sebelum ini tidak wujud.

Ketika itu kita mendedahkan diri kita kepada alternatif yang sebelum ini bukan realiti.
Sebenarnya, mencipta kemungkinan sentiasa wujud. Mencipta alternatif, laluan yang lebih wajar sentiasa wujud, tetapi kita telah menyekatnya keluar dari fikiran kita, kerana kita yakin ia tidak wujud.

Apabila kita yakin kita boleh mengusir keraguan. Walau bagaimanapun, apabila kita tidak yakin, keraguan akan terus menguasai fikiran kita, meninggalkan kita berasa tidak upaya dan mendorong kita berasa takut untuk membuat kesilapan.

Kehidupan kita dalam masyarakat sekarang bertunjangkan motivasi memperolehi kejayaan dalam segenap aspek.  Ia menjadikan imej sebagai suatu yang amat penting malah ada yang menggalakkan kita ‘memalsukannya’ sehingga kita memilikinya.

Kita juga ditekan untuk hidup dan memenuhi pelbagai harapan dan pengharapan yang mana ia merupakan suatu jangkaan yang tidak boleh kita abaikan. Mahu atau tidak ia MESTI dicapai.

Memang benar jangkaan, harapan dan pengharapan yang ditetapkan pada kita membolehkan kita menjadi cemerlang mencapai tahap pencapaian dan kepuasan yang tertinggi dalam kehidupan. Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan kita, ini boleh juga mendatangkan kesan sebaliknya.

Apabila kesangsian muncul kembarnya – keyakinan diri kita akan terjejas dan menurun. Ini boleh membawa kita kepada keraguan, kebimbangan dan ketakutan.

Apabila kesangsian memangkin keyakinan diri yang rendah, kita akan berasa batasan diri kita menjadi lebih luas dan semakin melebar sehingga ia menguasai proses pemikiran kita dan akhirnya meruntuh keupayaan kita bertindak dengan wajar.

Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya dan setiap yang berlaku itu juga merupakan ujian kepada kita.

Setiap yang berlaku itu juga merupakan persediaan untuk diri kita untuk menghadapi masa hadapan yang lebih mencabar.

Ujian yang hadapi itu bukan didatangkan kepada orang yang tidak mampu menghadapi dan menanganinya.

Begitu sejuk telinga yang mendengarnya dan begitu tenteramnya hati bila mendalaminya namun hakikatnya berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.