Tags

, , , , , ,

Kita rasa kita berhak untuk hidup dan menikmati hidup ini. Namun adakah kita telah menunaikan hak kita kepada Tuhan yang memberi pelbagai nikmat kepada kita?

Apabila kita bercakap tentang hak, ianya sebenarnya adalah suatu yang amat subjektif dan mempunyai pelbagai penafsiran.

Namun secara amnya, hak adalah suatu unsur yang membolehkan kita berkuasa ke atas sesuatu atau keupayaan atau berupaya untuk melakukan sesuatu.

Kita rasa kita berhak untuk mendapat atau menggunakan pelbagai kemudahan serta imbuhan yang ada.  Namun adakah kita layak atau benar-benar layak untuk memperolehinya?

Mungkin ada di antara kita yang berkata :  “Saya berhak,” “Sememangnya itu hak saya,” “Dalam hal ini hak saya dinafikan,” “Saya menuntut hak saya,” dan lain-lain lagi.

Namun adakah kita sedar bahawa apa yang kita ucapkan itu adalah sesuatu yang sepatutnya?

Atau adakah patut kita mengucapkannya semata-mata kerana kita berasa kita patut dan kita dinafikan daripada memperolehinya?

Sebelum kita mempunyai hak atau berhak, kita perlu mempunyai keupayaan untuk mendapatkan hak berkaitan.

Keupayaan itu pula banyak bergantung kepada ketinggian keperibadian dan keutuhan maruah serta integriti kita yang akan menjadi elemen penting kepada ‘kelayakkan’ kita mendapatkan hak yang ‘sepatutnya’ kita dapat.

Oleh yang demikian adalah penting bagi kita dalam apa jua situasi, kita mampu dengan sepenuh hati dapat melaksanakan segala yangdipertanggungjawabkan kepada kita dengan amanah serta tanpa sebarang rungutan dan bantahan.

Jika tidak ‘hak’ yang kita miliki itu atau yang ‘sepatutnya’ kita miliki itu tidak sah.

Hak yang kita miliki itu atau yang ‘sepatutnya’ kita dapat, sebenarnya bukan suatu yang mutlak.

Ia sebenarnya hanya satu ‘pinjaman’ dan ‘keistimewaan’ yang pada bila-bila masa boleh ditarik balik.

Oleh yang demikian, sebagai individu yang mempunyai hak dan ingin mengekalkan hak itu, maka dia harus berusaha memastikan bahawa dia sentiasa layak untuk mendapatkan haknya tanpa berkompromi dengan elemen-elemen yang boleh merosakkan keperibadian dan meruntuhkan maruah dan integritinya.

Dalam kita melaksanakan tugasan seharian kita, mungkin ada yang beranggapan bahawa kita berhak mendapat bayaran upah yang yang telah dipersetujui serta menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan tanpa perlu dipersoalkan lagi.  Adakah ini benar?

Kita berhak mendapat upah yang telah dipersetujui dan menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan jika kita telah menunaikan hak kita ke atas apa yang dipertanggungjawabkan kepada kita oleh majikan dengan usaha yang terbaik bukan pada ukuran atau tanggapan kita.

Mungkin tiada definisi jelas tentang ukuran terbaik itu.  Namun secara amnya, ukuran terbaik itu sebenarnya telahpun digariskan dalam pelbagai peraturan, prosedur polisi serta telah ditetapkan dalam sukatan kerja kita masing-masing yang harus kita ikuti dan laksanakan.

Perlu kita sentiasa ingat bahawa ke atas kita ada hak orang lain yang perlu kita tunaikan.

Adalah penting bagi kita untuk mengingati bahawa sebelum kita beranggapan bahawa kita ‘berhak’ untuk mendapat sesuatu yang kita rasakan sepatutnya kita perolehi, harus kita pastikan kita telah menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita.

Jika tidak kita sebenarnya tidak berhak ke atas apa-apa pun!