Tags

, , , , , , , ,

Keyakinan penting dalam banyak aktiviti kehidupan kita.

Mereka yang memiliki keyakinan diri yang tinggi dikatakan mempunyai peluang yang lebih baik untuk berjaya.

Keyakinan diri yang tinggi bukan faktor utama kejayaan yang dicapai tetapi ia adalah salah satu faktor.

Untuk berjaya, usaha, ilmu, pengalaman dan keyakinan diri harus digabungkan dengan sukatan yang bersesuaian.

Setiap orang memiliki sukatan yang berbeza.

Setiap dari kalangan kita adalah individu yang berbeza dan setiap situasi adalah situasi yang berbeza.

Oleh yang demikian, adalah tidak sesuai dan merupakan tindakan yang tidak tepat jika kita menggunakan acuan sukatan orang lain untuk berjaya.

Keyakinan adalah kepercayaan kita yang bersunggung-sungguh terhadap sesuatu yang kemudiannya menjadi pegangan kita.

Keyakinan yang kita miliki dalam banyak situasi akan membantu kita membuat penilian dan seterusnya keputusan dalam aktiviti-aktiviti kehidupan kita.

Seseorang yang yakin dengan kemampuan dirinya sama ada dari aspek mental (intelektual) mahupun fizikalnya akan mempunyai peluang yang lebih baik dalam mengumpul maklumat yang perlu untuk digunakannya dalam membuat penilaian dan seterusnya keputusan.

Adakah ini bermaksud setiap keputusan yang salah atau tidak tepat atau tidak sesuai yang kita buat adalah akibat langsung daripada kurang yakinnya kita?

Jawapnya : ya.

Untuk mendapat keyakinan yang kita perlukan, kita perlu mengumpul sebanyak mungkin maklumat yang berkaitan.

Maklumat yang dikumpul itu kemudiannya akan disusun dan dianalisa mengikut keperluan kita atau menepati keperluan kita.

Di sini sering berlaku kesilapan. Dalam banyak situasi, maklumat yang dikumpul itu tidak sesuai atau tidak tepat, diperolehi dari sumber yang tidak jelas atau tidak diketahui kesahihannya.

Apabila ini berlaku, jika kita tidak menyedari atau sengaja tidak memperdulikan ketidaksesuaian maklumat berkenaan, maka analisa yang kita buat kemudiannya akan jauh menyimpang.

Jika sudah menyimpang, maka keyakinan yang terhasil adalah keyakinan yang tidak berpatutan yang akhirnya membuatkan kita mengambil keputusan yang salah atau tidak tepat.

Sebagai contoh : apabila kita menghampiri persimpangan lampu isyarat jalan raya, kita akan menggunakan maklumat yang dipaparkan (iaitu warna-warna lampu yang menyala akan menunjukkan tindakan yang perlu kita ambil).

Jika hanya kenderaan kita yang berada kira-kira 50 meter dari lampu isyarat (tiada kenderaan lain di hadapan kita) dan warna lampu isyarat pada ketika itu telah bertukar dari warna hijau ke warna kuning, tindakan yang sewajarnya adalah kita memperlahankan kenderaan dan bersedia untuk berhenti.

Ini kerana pada jarak 50 meter dari lampu isyarat, kenderaan kita tidak akan dapat melepasi persimpangan lampu isyarat berkenaan dengan selamat sebelum ia bertukar warna merah.

Namun disebabkan maklumat yang dikumpul sebelum ini (terutama dari pengalaman lalu dan pemerhatian), apabila lampu isyarat bertukar warna hijau ke warna kuning, apabila tiada kenderaan lain di hadapan kenderaan kita, memecut laju akan membolehkan kenderaan kita sempat melepasi  lampu isyarat sebelum ia bertukar menjadi warna merah.

Di atas keyakinan itu, kita memecut laju dan akibatnya kenderaan kita tidak sempat melepasi lampu isyarat sebelum ia bertukar menjadi warna merah.

Kita telah melanggar peraturan lalu lintas! Beberapa hari kemudian, kita menerima surat saman yang dikepilkan sekali gambar kenderaan kita di persimpangan lampu isyarat yang kita langgar sewaktu kejadian itu.

Kita berasa  geram menerima surat saman itu. Akan tetapi, apa boleh dibuat lagi kecuali membayarnya jika tidak mahu sebarang masalah lain yang timbul di kemudian hari.

Situasi ini menunjukkan keyakinan yang tidak berpatutan mengakibatkan kita membuat keputusan yang silap.

Ini kerana maklumat yang dikumpul tidak tepat dan tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Pengalaman kita yang pernah melepasi lampu isyarat ketika ia bertukar warna kuning bukan maklumat yang lengkap dan sesuai digunakan untuk semua keadaan.

Bukan semua persimpangan lampu isyarat mempunyai jarak yang sama. Malah jangka waktu pertukaran dari lampu hijau ke kuning dan seterusnya ke merah tidak sama antara satu persimpangan lampu isyarat, lebih-lebih lagi di kawasan atau bandar yang berbeza.

Disebabkan maklumat yang kita ada itu tidak cukup atau tidak lengkap dan pengalaman serta pemerhatian kita pula dalam hal ini bukan suatu maklumat yang tepat dan boleh disahkan kesahinannya, maka analisa kita telah menyimpang yang akhirnya melahirkan keyakinan yang tidak berpatutan dan seterusnya mengakibatkan kita membuat keputusan yang tidak tepat.

Keputusan yang berkemungkinan besar akan memudaratkan diri kita dan orang lain.

Berkeyakinan adalah suatu elemen yang positif namun jika elemen yang menyumbang kepada lahirnya keyakinan itu negatif, maka keyakinan yang wujud itu akan cenderung menjadi negatif yang melampau.

Itu akan menjuruskan kita bertindak membabi buta.