Tags

, , , , , , , ,

Cuba tanya orang sekeliling kita, ada tak yang belajar tak guna biasiswa atau pinjaman? Zaman aku belajar, biasiswa yang aku tahu adalah Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) atau Biasiswa Kecil Negeri (BKN). Aku dapat biasiswa BKN, hanya RM100 setahun. Bolehlah. Duduk di asrama, bila dah nak tamat sekolah baru ada pengurangan untuk yuran asrama, dari seringgit sehari kepada 60 sen. Kira bantuan jugaklah tu.

Sewaktu tingkatan enam, ada biasiswa Pra-U. Tapi aku tak pohon pun. Aku cukup malas memohon bantuan. Sebabnya, bila ditulis bilangan tanggungan. Hanya aku seorang. Maklumlah anak bongsu seorang yang masih bersekolah. Yang lain semua sudahpun bekerja. Jadi penolakan borang berlaku pada awal-awal lagi. Buatkan aku fikir, kalau nak belajar, pakai duit sendirilah. Rasa macam peminta sedekah pula. Ego sungguh!

Bila tamat tingkatan enam, nak masuk U pun aku masih berfikir panjang. Ada duit tak? Mak dan ayah dah tua. Mana larat nak buat kuih lagi. Kakak dan abang masing-masing dah ada tanggungan. Jadi aku buat keputusan tak mahu sambung belajar.  Bermacam-macam pekerjaan yang aku buat untuk hidup kerana tak mahu menyusahkan keluarga. Nak kahwin, tak ada jodoh. Teman lelaki pun tak ada.

Tapi kakak dan abang mahu aku sambung belajar.  Takkan nak jadi kerani sampai tua? Aku pula fikir, kalau aku kerja dan kahwin waktu itu, maka tak dapatlah aku keluar dari Pulau Pinang. Aku rasa hidup aku bukan di sini. Kakak beli borang ITM dan suruh aku isi. Aku tak tahu nak pilih kursus apa. Akhirnya aku pilih Business Management, tapi yang dapat temuduga untuk Mass Communications. Rasa tak sesuai sebab aku ni pemalu dan introvert. Tapi semua ini perancangan Allah. Aku dapat masuk ITM walaupun lewat dua tahun.

Bila dapat surat tawaran, aku masih dingin untuk menerimanya. Abang beritahu emak yang aku tak minat. Mak tanya kenapa? Aku cakap siapa nak tanggung aku? Mak cakap, ‘kalau hang nak belajaq, mak sanggup adakan’.

Aku pun pergi dengan berat hati. Yuran 200 ringgit tu aku rasa mahal sungguh. Bila dah masuk ITM barulah aku tahu yang itulah yuran yang paling murah dalam dunia.  Penginapan dan makanan percuma. Aku fikir, penginapan akan dikenakan bayaran seperti sewaktu bersekolah menengah dulu. Kerajaan bagi macam-macam untuk Bumiputera supaya berjaya. Cuma belajar elok-elok saja. Jangan buat hal.

Memandangkan banyak kos ditanggung ITM maka nilai biasiswa ditawarkan untuk pelajar ITM adalah rendah pada waktu itu. Aku mendapat biasiswa MARA. Hanya 1,200 ringgit setahun. Sebulan dapatlah 120 ringgit untuk 10 bulan. Syukur sangat. Lepaslah belanja am.

Walaupun sejak aku bersekolah biasiswa aku tak banyak, tapi aku dapat subsidi dalam bentuk lain. Aku bersyukur sangat. Bila tamat pengajian aku membayar kembali biasiswa untuk setahun. Bila dah kahwin dan nak berpindah, aku ke pejabat MARA di Kuala Lumpur. Rupanya dengan gred aku, aku tak perlu membayar balik satu sen pun. Terima kasih MARA. Tapi aku tak kisah dengan jumlah yang aku dah bayar. Biarlah orang lain pula merasa apa yang aku rasa. Orang lain pun nak belajar jugak.

-SNASH-