Tags

, , , , , , , , , ,

Cuti sekolah dah bermula. Keputusan peperiksaan dah diumumkan. Tak kiralah UPSR, PMR atau SPM atau IPT, semua keputusan peperiksaan ini seolah-olah telah menentukan hala tuju dan masa depan yang bakal dicorakkan oleh kita. Tekanan ke atas budak-budak sekarang amat hebat. Kalau UPSR tak dapat semua A, punahlah hidup. Habislah masa depan. Adakah masa depan dapat diukur dengan keputusan peperiksaan? Ada khabar yang seorang pelajar telah melarikan diri dari rumah kerana kononnya tidak mendapat A untuk semua matapelajaran. Kesian dia. Kesian ibubapanya. Nasib baiklah hanya silap teknikal. Rupanya kesilapan dalam pemaparan senarai. Bukan kerana tidak mendapat A. Bayangkan tekanan oleh seorang pelajar yang baru berusia 12 tahun.

Aku dulu tak ada pun tekanan untuk jadi pelajar pandai. Mak sibuk buat kuih untuk dijual. Ayah sibuk dengan tugas fardhu kifayah di kampung. Kakak dan abang aku hanya sederhana dalam pelajaran. Bila aku masuk darjah satu, tak seorang pun ahli keluarga yang menaruh harapan pada aku untuk jadi pelajar cemerlang.

Aku lalui setiap peperiksaan penggal dengan perasaan biasa. Bukanlah rajin sangat pun. Kalau di rumah aku kena menolong mak buat kuih di waktu senggang. Pagi ke sekolah biasa, petang ke madrasah. Malam pergi mengaji Al-Quran di rumah Mak Long. Balik dari mengaji, aku dah mengantuk untuk mentelaah. Budak sekarang sibuk dengan ko-kurikulum. Zaman aku, persatuan pun tak ada di sekolah. Kami sibuk di luar waktu sekolah. Bukan aku seorang yang kena menolong mak dan ayah. Kebanyakan kawan sekolah di kampung memikul tanggungjawab yang sama. Menolong meringankan beban ibubapa masing-masing kerana kebanyakan orang Melayu pada waktu itu miskin belaka.  Semua orang mengharapkan dengan pelajaran, mereka berjaya keluar dari kemiskinan. Mereka mengharap, tapi tak menekan. Arwah mak selalu cakap, ‘mak tak tau apa yang hang belajar, hang saja yang tau’. Maklumlah mak aku tak pernah bersekolah. Namun itu tak bermakna dia buta huruf. Dia boleh membaca tulisan jawi dan rumi berkat ajaran kakaknya di rumah.

Kadang-kadang aku hairan dengan sikap orang. Cukup bangga dengan anak-anaknya. Siap bermegah dengan orang bila anaknya cemerlang dalam pelajaran. Mungkin lambang kejayaan anakknya itu menandakan kejayaannya mendidik anak. Tak adakah ibu bapa yang bangga dengan akhlak mulia anaknya? Mungkin juga anak yang berakhlak mulia tak akan dijaja kebaikannya oleh ibubapanya kerana orang yang berakhlak mulia tidak akan bermegah-megah dengan apa yang ada.

Bila keputusan SRP diumumkan, aku hanya mendapat 11 agregat dengan hanya 3A. Subjek lain biasa saja. Aku rasa biasa. Terkilan pun tidak. Sebab aku tahu apa kelemahan aku. Tapi sebaik saja turun dari bas depan rumah, sudah ada yang menunggu untuk mengetahui keputusan peperiksaan aku.  Mak aku hanya senyum. Syukur aku tak gagal. Itu saja. Tapi aku rasa tertekan sebenarnya kerana aku bersekolah di sekolah terbaik, diam di asrama lagi.  Satu kejayaan besarlah tu. Bila aku bersekolah di bandar, aku membuat rumusan. Sekolah tidak memainkan peranan utama. Kalau ramai pelajar cerdik, untunglah sekolah tu. Pengetua akan cepat naik pangkat. Guru pun begitu juga. Sekolah jadi tumpuan Pejabat Pendidikan untuk menekan para pelajar supaya lebih cemerlang supaya mereka pun juga akan cepat naik pangkat. Ini pendapat aku saja.

Bagi aku biarlah bersekolah biasa asalkan kita gembira waktu pelajar. Yakin dengan diri sendiri. Berada di dalam lingkungan pelajar pandai, sama ada kita bersama mereka atau kita akan rasa rendah diri yang amat sangat. Sedangkan waktu remaja amatlah rapuh untuk dilalui oleh seorang pelajar. Bukan semua orang dapat melaluinya dengan baik. Membesar jauh dari keluarga bukanlah mudah. Segala keputusan dibuat sendiri. Dulu mana ada telefon mobil. Nak telefon kena pergi pejabat warden. Itu pun jenuh kena leter. Akibatnya kebanyakan kami akan keluar seminggu sekali untuk menelefon.

Tapi aku tak tahu apa nak dibualkan dengan mak kerana generasi aku dengan mak memang tidak berkomunikasi secara terbuka. Sewaktu aku dilahirkan mak telah pun berusia 42 tahun. Dia dilahirkan sebelum Perang Dunia Kedua. Bila mak datang melawat aku di asrama, orang ingatkan nenek aku yang datang. Mak dan ayah orang lain muda lagi, kerana kebanyakan mereka adalah anak sulung dalam keluarga. Aku pula anak bongsu dalam keluarga aku.

Hingga sekarang bagi aku, hidup di asrama sekolah bukanlah kenangan yang aku banggakan atau terkenang-kenang. Kalau diberi peluang aku tak mahu lagi lalui zaman remaja sekolah. Bila keputusan SPM diumumkan, aku hanya mendapat 2A, cukup untuk ke tingkatan enam tapi bukan ke universiti. Aku mengambil keputusan untuk mengikuti tingkatan enam tanpa diam di asrama.

Tapi tak sangka, bila diimbas semula, semua keputusan aku buat sewaktu remaja sekolah berasaskan keputusan peperiksaan.

-SNASH-