Tags

, , , , , , , , , ,

Rasanya ramai di kalangan kita yang pernah mendengar, mengetahui, malah mungkin mengalami sendiri akan peribahasa : Hujan Emas Di Negeri Orang, Hujan Batu Di Negeri Sendiri.

Peribahasa ini secara amnya dapat disimpulkan sebagai walau bagaimanapun kelebihan di tempat/negeri orang, di tempat/negeri sendiri lebih baik lagi.

Peribahasa ini juga memberikan kita suatu pilihan yang agak sukar bagi setiap kita yang memahaminya.

Dari satu aspek, hujan emas di negeri orang mendorong kita untuk keluar atau berhujrah ke tempat lain yang mana di tempat baru itu nanti akan ada peluang yang lebih baik dan mungkin akan lebih memberikan manfaat dan keuntungan kepada kita.

Hujan emas di negeri memberikan motivasi untuk meneroka suatu yang baru. Penerokaan suatu yang baru sudah pastinya melibatkan banyak risiko dan untuk itu kita harus bersedia dan membuat perancangan rapi.

Peribahasa ini juga merupakan suatu ingatan kepada kita yang memahaminya untuk sentiasa ingat dari mana asal kita.

Walau bagaimana tidak gemarnya kita mengingati tempat atau asal-usul kita, ianya adalah suatu yang tidak mungkin dapat dihilangkan dengan mudah dari ingatan, sanubari dan bawah sedar kita.

Sudah menjadi sifat manusia untuk mencari dan terus mencari.  Apabila kita sudah mendapat apa yang dicari itu, kita kemudiannya akan mencari yang terbaik daripada apa yang kita capai itu.

Proses mencari yang terbaik itu kelak pastinya akan membawakan kita kepada mengingati atau mungkin membuat perbandingan dengan ingatan dan pengalaman yang pernah kita lalui di tempat asal kita.

Proses ini akan terus menjadi kitaran dan sekiranya kita berasa kita tidak merasai kitaran itu, maknanya kita masih dalam proses mencari dan belum mencapai tahap pencarian yang kita inginkan itu.

Hujan batu di negeri sendiri bukan pula bermakna, di tempat asal kita tidak bagus ataau tiada peluang, cuma kita perlu lebih gigih malah mungkin perlu lebih kreatif dalam usaha menzahirkan peluang yang ada.

Emas dan batu adalah dua unsur yang tampak berbeza namun sebenarnya kedua-duanya adalah mineral alam yang diciptakan oleh Tuhan yang boleh mendatangkan banyak kegunaan dan kebaikan kepada manusia.

Emas kebanyakannya dijumpai di dalam batu. Memang betul ada emas yang hampir-hampir tulen yang dijumpai tetapi keadaannya ini adalah suatu yang kadang-kala berlaku.

Oleh itu, hujan batu di negeri sendiri sebenarnya adalah suatu peluang kepada kita untuk meneroka sesuatu yang baru dan menjanjikan kejayaan dan keuntungan kepada kita dengan syarat kita mesti memiliki ilmu yang bersesuaian untuk menjadikannya suatu kenyataan yang mendatangkan manfaat kepada kita.

Untuk memperolehi ilmu yang bersesuaian itu, maka kita perlu mendapatkan maklumat yang bersesuian.

Proses pencarian maklumat yang bersesuaian itu pula memerlukan kita mahir meneliti semua jenis maklumat yang ada di sekeliling kita, kemudian membuat penapisan dan seterusnya membuat penilaian bagi maksud keperluan utama kita.

Proses ini secara amnya ada pada diri setiap kita. Namun dalam banyak situasi, kita tidak menggunakannya dengan sebaiknya.

Mengapa? Ini kerana kebanyakan kita lebih gemar mengambil jalan singkat dan terus membuat keputusan dengan hanya menggunakan beberapa proses pengumpulan maklumat.

Kita meneliti dan menapis maklumat yang ada tetapi tidak menyeluruh yang akhirnya memberikan kita pilihan-pilihan yang terhasil daripada penilian yang tidak objektif.

Kalau begitu keadaannya, sudah pasti kita akan mengambil masa yang panjang untuk membuat sesuatu keputusan – mungkin ada di kalangan kita yang akan berkata dengan sinis.

Memang betul bagi mereka yang ‘semuanya hendak cepat.’

Pernah dengar – ‘fikir dahulu sebelum bertindak’?

Kejadian manusia adalah suatu kejadian yang hebat.  Kita dibekalkan dengan otak dan kalbu yang merupakan dua elemen penting dalam setiap aktiviti kita.

Otak dan kalbu seperti juga mana-mana unsur dalam tubuh badan kita, memerlukan makanan dan maklumat yang bersesuian dan baik bagi membolehkan kedua-duanya berfungsi dengan cemerlang.

Jika otak dan kalbu kita dibiarkan ‘kelaparan’ dan ‘kebingunan’ maka kita pastinya akan membuat pelbagai aktiviti yang tidak mendatangkan manfaat malah akan merosakkan diri dan orang lain.

Otak dan kalbu perlu diberikan maklumat yang berterusan dalam apa juga bidang dan situasi kerana dengan maklumat yang terkumpul itu, otak dan kalbu kita dapat memberikan kita pelbagai pilihan yang terbaik untuk kita membuat keputusan.

Maklumat yang perlu itu sebahagian besarnya boleh diperolehi dari bahan bacaan. Semakin banyak kita membaca, semakin aktif otak kita memproses dan menyusunnya dalam fail-fail memorinya. Semakin luas bidang pembacaan kita semakin banyak kaitan dan pertalian yang dapat dijalinkan oleh otak kita pada maklumat-maklumat yang diperolehi.

Semakin banyak maklumat yang disimpannya, semakin aktif otak melakukan proses penyusunan maklumat dan mengemaskinikannya.

Jika maklumat yang kita ada sentiasa kemas kini, maka kita dengan mudah membuat keputusan yang terbaik.

Maklumat-matlumat yang disimpan dan dikumpul oleh otak akan digunakan dengan sebaiknya bukan sahaja ketika kita memerlukan suatu keputusan malah maklumat-maklumat berkaitan akan digabungkan dalam pelbagai situasi bagi membolehkan kita melaksanakan aktiviti yang berkaitan.

Apabila ini berlaku, maka maklumat berkenaan telah ditukarkan sebagai suatu pengalaman yang mana pengalaman akan membantu kita dalam membuat penilaian yang bersesuai bagi situasi yang sama atau hampir sama dan memberikan kita pilihan terbaik untuk kita membuat keputusan apabila perlu.

Kalbu yang selalu diisikan dengan maklumat dan pengalaman yang berguna akan menzahirkan kematangan dan kebijaksanaan kita dalam menghadapi apa juga situasi.

Kalbu yang sihat akan mendorong kita membuat keputusan yang bijak dan terbaik yang akan memberikan manfaat bukan sahaja kepada diri kita malah akan memberikan lebih manfaat kepada orang lain.

Situasi ini apa yang kita kenali sebagai mengambil berat akan hal atau kepentingan orang lain.

Dengan otak dan kalbu yang sihat, kita pastinya tidak menghadapi halangan menjadikan hujan batu di negeri sendiri sebagai hujan emas yang mendatangkan banyak manfaat kepada diri dan juga orang di sekeliling kita.

Malah dengan otak dan kalbu yang sihat juga, kita akan dapat menjadikan hujan emas di negeri orang sebagai suatu pengalaman yang amat berguna dan pedoman dalam usaha kita menjalani kehidupan yang lebih bermakna dan mendatangkan banyak manfaat kepada orang lain.

Walau apa pun, di lihat dari sudut padangan yang positif mahupun negatif, peribahasa ini sebenarnya mendorong kita untuk berusaha, berfikir untuk mengubah situasi yang menguntungkan dan mendatangkan manfaat untuk diri dan orang di sekeling kita.

Oleh itu, jika ada peluang menikmati hujan emas di negeri orang, jangan lepaskannya dan jangan lupa asal-usul kita.