Tags

, , , , , ,

Apabila kembali bersenam,  pakaian menjadi masalah utama. Ini kerana baju senaman aku begitu ‘fit’ kerana ia hanya sesuai untuk pilates, yoga dan senaman di gimnasium sahaja. Agak sukar memakai baju yang muat badan dan berlari anak di tempat yang terbuka. Begitu seksi walaupun kononnya menutup aurat.  Banyak baju senaman wanita yang dijual berlengan pendek atau pun tidak berlengan.  Labuh baju juga pendek. Kalaupun aku jumpa baju sukan berlengan panjang yang diperbuat dari ‘dry fit’ maka warnanya putih atau terlalu cerah. Warna putih bagi perempuan amat tidak sesuai kerana nampak jarang, walaupun bukan baju senaman. A big No No.

Susahnya mencari baju senaman atau baju sukan untuk perempuan Muslim seperti aku. Selain menutup aurat, keselesaan juga penting. Dulu perkara ini tidak begitu penting kerana aku ke gimnasium yang mana semua ahlinya adalah wanita.  Lagipun aku masih jahil tentang aurat. Rupanya wanita bukan Islam pun tidak boleh melihat aurat wanita Muslim. Kesedaran baru itu mengubah penampilan aku bila berpakaian.

Baju senaman lama aku kebanyakannya seperti yang dipakai oleh para hos rancangan senaman di televisyen terutamanya dari Barat. Sekarang baju senaman itu aku gunakan sebagai pakaian dalam. Mungkin kerana aku tidak mempunyai bra sukan. Tapi seluar senaman aku tidak mungkin aku pakai di luar rumah kerana terlalu mengikut bentuk badan. Akhirnya seluar aku aku gunakan untuk bersenam di rumah sahaja. Untuk kegiatan luar aku memakai seluar track.

Aku memakai T-shirt biasa berlengan panjang.  Rasa berat dan panas. T-shirt Muslimah yang dijual di pasaran tidak menarik perhatian aku kerana rekaannya dan bahan yang digunakan tidak sesuai untuk bersukan. Untuk suamiku mudah sikit. Suami aku yang sebelum ini gemar membeli baju senaman tapi rapi menyimpannya juga rasa teruja untuk menambah koleksi bajunya.

Kasut sukan yang sebelum ini lama berehat kembali kepada kaki tuannya.  Aku membeli dua helai T-shirt tangan panjang di Times Square.  Diperbuat dari bahan yang mudah regang, berwarna gelap, tidak terlalu tebal berbanding baju T dari kain kapas, sesuai untuk kasual sebenarnya. Baju buatan China itu hanya RM15 sehelai. Tidak terlalu ketat, tidak terlalu longgar begitu juga dengan labuh baju. Cuma rasa macam peluh tidak begitu menyerap. Baru lagi kot. Kali pertama memakai,  labuh baju tersangkut di bahagian punggung.  Menunjukkan betapa besarnya badan aku pada waktu itu.

Tiga bulan berjalan kaki, aku masih belum berani untuk berlari anak. Bila lari, terasa seluruh  badan bergoncang ke sana ke mari. Badan tidak kejap. Lemak sana-sini. Otot belum terbina dengan baik.  Untuk berlari aku perlu menurunkan berat badan. Kasut yang ada pula hanya sesuai untuk ke gimnasium (Trainer). Tak sesuai untuk berjogging di taman awam. Bila mula bersenam aku memakai kasut jenama Power oleh Bata. Kasut ni aku beli sebab murah. Dah dua tahu aku beli tapi jarang pakai. Bila pakai balik seminggu sudah tanggal tapaknya di sana sini. Rupanya orang macam aku tak boleh beli kasut yang digam. Perlu kasut yang dijahit. Kasut mahallah tu.

Akhirnya suami aku membawa aku ke Al-Ikhsan.  Aku pilih kasut Adidas versi Al-Ikhsan untuk wanita warna ungu khas untuk ke gimnasium kerana aku tak bercadang untuk berlari. Bila rasa yakin dan ada stamina untuk lari, kasut pula tak sesuai. Kalau orang lain tak rasa perbezaan tak apa. Tapi aku, dengan berat badan berlebih ini memang terasa sakit lutut, kerana impak larian tidak diserap oleh kasut sebaliknya oleh lutut. Sakit ooiiii. Kasut seterusnya aku beli di New Balance. Memang mahal kali ini. Puncanya saiz kasut. Agak susah mencari kasut saiz aku. Hatta kasut Adidas pun kecil dari yang sepatutnya. Tetapi aku tak perasan kerana bila pakai rasa muat. Hari pertama pakai sakit kaki aku. Hari kedua baru selesa. Susah kalau kita tidak berilmu ni.

Di kedai New Balance aku minta saiz yang sesuai. Sebelum ini setiap kali aku ke kedai kasut, aku disyorkan membeli kasut untuk lelaki. Aku menolak kerana kasut lelaki nampak panjang sedangkan ketinggian aku tak sampai pun lima kaki. Hanya di New Balance barulah ada saiz aku. Tetapi aku ditanya tentang bentuk kaki aku. Aku cakap normal. Harganya? RM399.00. Rasa nak menangis pun ada. Kasut Adidas tu RM269 pun aku dah rasa mahal. Yang ini? Rasa nak pengsan. Tapi suami aku pujuk. Kalau untuk senaman, dia tak kisah membeli. Sebab bila kami bersenam kami lebih gembira. Lagipun saiz yang ada sesuai dengan aku. Aku juga membeli sepasang stokin sukan yang anti bakteria. Harganya? RM39.90. Pejam mata sajalah.

Setelah dua minggu aktif menggunakan kasut itu, dengan sendirinya bentuk kasut telah berubah mengikut bentuk kaki aku. Tidaklah nampak kembang dan panjang. Suami aku hanya mencuba kasut di New Balance. Untuk kaki flat sepertinya harga kasutnya hampir RM500.00. Cuba sajalah. Tahun depan baru beli.

-SNASH-