Tags

, , , , , , ,

Aku diajar sembahyang sejak umur 7 tahun. Ayah aku sendiri yang mengajarnya. Tujuh tahun di sini bukanlah bermaksud aku terus tahu membaca Al-Quran dan bersembahyang penuh. Tujuh tahun di sini bermaksud aku disuruh mengikut ayah ke masjid. Aku melihat mak bersembahyang. Tapi mak tak pernah ajar aku bersembahyang kerana sibuk membuat kuih untuk dijual. Ayah pula telah timbul kesedaran yang dia perlu mendidik aku sesempurna mungkin. Mungkin untuk menebus kelalaian zaman mudanya pada anak-anaknya yang lain. Maka akulah yang diajar ayah dengan tegas pasal sembahyang.

Mulanya aku hanya mengikut pergerakan fizikal orang di masjid. Memandangkan kaum perempuan diasingkan dan memakai telekung, maka aku tidak dapat melihat dengan jelas bagaimana rupa atau pergerakan yang betul bagi seorang perempuan. Hanya ikut-ikut saja. Biasanya ayah membawa aku ke masjid pada waktu Maghrib dan Isyak kerana surah yang dibacakan kuat pada waktu tersebut.  Ayah nak aku tahu apa yang dibaca sewaktu sembahyang.

Sebenarnya secara lisan aku telah pun menguasai Surah Al-Fatihah sejak berumur enam tahun. Bukanlah aku faham. Cuma aku hafal. Kalau ditunjukkan Al-Quran aku tak pandai baca. Bila disuruh baca surah-surah lain aku tercengang.  Namun aku belum lagi disuruh mengaji Al-Quran. Bila darjah dua, aku jarang-jarang ikut ayah ke masjid. Jadi abang dan kakak mahu aku ikut mengaji dengan mereka kerana aku asyik main. Mungkin mereka cemburu kerana aku dapat tonton televisyen Sedangkan mereka harus pergi ke rumah Mak Long untuk mengaji. Barulah mak perasan yang aku belum lagi tahu membaca Al-Quran.

Pada waktu inilah ayah mendaftarkan aku di sekolah agama rakyat (madrasah) di kampung. Ayah guru besar, jadi anak dia jadi kes istimewa. Ini kerana hanya pelajar yang berusian 9 tahun ke atas yang boleh belajar di sana. Walaupun begitu aku tertekan jugak kerana tidak tahu membaca jawi dan Al-Quran. Semua ini gara-gara dibesarkan oleh kakak aku di bandar. Bila nak bersekolah rendah baru balik kampung. Aku hanya mengikut tanpa memahami apa yang diajar. Mungkin cara pengajaran ayah tidak serasi dengan aku. Maka semuanya sukar. Ayah tidak dapat menumpukan pada aku seorang. Ada ramai lagi pelajar dalam kelas.

Di madrasah kami diajar sembahyang secara teori dan praktikal. Kami beramai-ramai akan membaca bacaan dalam sembahyang dari mula sampai habis mengikut arahan Ayah. Ayah juga mengajar doa selepas sembahyang.  Buku doa yang ayah gunakan sampai sekarang ada dalam simpanan aku. Buku itu ada terjemahan dalam bahasa Melayu tetapi ditulis jawi.  Secara teori cara mengambil wuduk pun diajar.

Setahun selepas aku belajar di Madrasah, pelajaran sembahyang ini ditukar pada waktu Zohor. Sebelum masuk kelas di waktu petang, semua pelajar akan ke masjid. Pelajar lelaki dimestikan belajar mengazan. Ayah akan  memilih beberapa orang pelajar untuk dilatih. Pelajaran azan ini adalah bekalan untuk setiap lelaki. Kami yang perempuan di saf belakang hanya mendengar dan melihat saja. Mesti tahu walaupun tidak buat. Beberapa pelajar yang dilihat berpotensi akan dilatih menjadi imam kecil. Sewaktu sembahyang ayah akan meronda dengan rotannya dan memeriksa pergerakan  pelajar lelaki. Kalau salah ayah akan merotan mereka ketika itu juga dan teruskan betulkan. Selalunya mereka akan lalai mengenai lipatan jari kaki sewaktu sujud dan tahhiyat. Hatta takbir pun perlu dibetulkan.  Tak boleh bercakap dan bersembang. Apa lagi main-main. Memang pantang. Untuk pelajar perempuan, telekung tidak dibenarkan kembang sehingga menutup tempat sujud. Kain mesti labuh. Kalau pendek mesti pakai stokin. Sekali sekala ayah akan menyuruh pelajar perempuan azan dan membaca doa’ selepas sembahyang. Orang yang selalu kena semestinya aku. Sebenarnya ayah nak tahu bagaimana prestasi aku.

Selain di madrasah, ayah juga mengajar aku di rumah. Kalau ayah ada kelapangan, aku dipanggil masuk ke dalam bilik. Tanpa perlu telekung, aku disuruh mengambil wuduk dan sembahyang. Ayah akan duduk di tepi dan menyuruh aku bersembahyang dengan bacaan yang kuat. Kalau salah ayah akan betulkan terus.  Cara aku sujud, rukuk ,duduk dan bertakbir pun dibetulkannya. Ayah bila baca Al-Quran memang jelas dan sedap bacaannya. Tajwid ayah betul. Jadi aku juga diajar Tajwid secara tidak langsung pada waktu itu. Hanya satu kemahiran ayah yang tidak dapat diwarisi aku. Berlagu dan berzanji. Dalam keluarga kami hanya dua orang kakakku yang pandai berlagu bila membaca Al-Quran.

Sehingga remaja aku beranggapan semua orang melalui proses seperti aku. Rupanya tidak. Kakak dan abang yang tua tidak menjalani proses pembelajaran seperti aku.  Apabila meningkat dewasa mereka sendiri mencari cara untuk memperbaiki diri sendiri. Untunglah banyak bahan bacaan dan siaran di media. Aku sendiri pun sentiasa mencari. Patutlah dikatakan belajar itu adalah sepanjang hayat kerana semakin banyak kita belajar semakin banyak yang kita tahu yang kita tidak tahu. Apa yang diajar ayah adalah asas agama. Yang lain-lain sebagai kehidupan terpulanglan kepada kami yang akan mencorakkannya. Dia telah melunaskan haknya sebagai ayah dan guru.

-SNASH-