Tags

, , , , , , , , , , , ,

Sejak aku lahir, yang aku ingat rumah aku sudah ada televisyen. Jenama Singer, kotak kayu dan dua daun pintu. Hingga sekarang televisyen itu masih ada di rumah di kampung. Cuma sudah tidak digunakan lagi. Ada dalam stor. TV itu sebenarnya kepunyaan kakakku yang telah membeli TV warna. Jadi, TV singer itu diberikan kepada kami di kampung. Tahun 1976 RTM telah memperkenalkan siaran TV berwarna.  Kalau pergi ke Tanjung di rumah kakak, dapatlah tengok TV warna. Siaran pun terang boleh tahan. Kalau balik kampung, siaran tidak berapa jelas kerana sistem pemancar yang tidak begitu berkesan di samping kedudukan  kawasan  kami yang terlindung oleh bukit. Balik Pulau katakan.

Gambar TV selalunya tidak terang. Penuh dengan bintik-bintik. Kalau musim hujan lagi teruk. Hilang gambar terus. Baik tutup TV saja. Kadang-kadang dengar suara saja. Teringat dengan ASTRO. Kalau hujan, siaran pun hilang. Beyond pun tak boleh diharap. Setiap rumah yang ada TV biasanya terdapat aerial yang tinggi di bumbung. Jenuh jugak kalau siaran tak elok. Sebab salah seorang ahli keluarga kami mesti kena perbetulkan kedudukan aerial tersebut. Menjeritlah seorang di luar, seorang di dalam.  Selalunya anak-anaklah yang kena buat. Mak dan ayah hanya mengarah. Biasanya ada buluh panjang yang tersedia tersandar di pokok kelapa, dekat dengan tempat aerial untuk digunakan bagi membetulkan kedudukan. Kadang-kadang rasa penat semata-mata nak menonton televisyen.

Harga TV warna Hitachi yang dibeli oleh kakakku pada tahun 1976 adalah 2000 ringgit. TV itu tahan lebih 20 tahun walaupun pada akhir hayatnya sudah menjadi satu warna merah sahaja. Seperti biasa rumah kamilah terakhir yang menerima tv ini, sebab kakak sudah beli peti tv yang baru. Mak tak pernah buang duit beli televisyen. Selepas Singer ada beberapa jenama TV hitam putih yang pernah digunakan oleh keluarga aku.

Siaran TV pendidikan ada di waktu pagi dan petang. Tapi tak ada siapa yang menonton di rumah kerana bersekolah. Siaran awam bermula pukul lima petang.  Sementara menunggu siaran dimulakan RTM akan menyiarkan selingan muzik. Tapi mak tak benarkan kami mendengar selingan muzik. ‘Buang karan’, kata mak. Lagi pun kami di kampung bersekolah di waktu pagi dan pada waktu petang biasanya kebanyakan budak-budak yang berumur 9 -12 tahun mesti belajar di Madrasah atau sekolah agama rakyat. Jadi balik dari sekolah agama barulah berpeluang untuk menonton.

Sebelum aku lahir, keluarga kami tidak mempunyai peti televisyen. Kalau nak menonton biasanya mak dan anak-anaknya akan pergi ke rumah jiran yang berada. Bukan keluarga kami saja. Ramai keluarga di kampung yang berbuat begitu. Biasanya seminggu sekali apabila ada slot Tayangan Gambar Melayu pada hari Jumaat atau Drama Minggu Ini pada hari Ahad. Siap berkampung bawa bekal. Jiran kami pun menggunakan peluang untuk berjaja kecil-kecilan di rumahnya sendiri.  Seolah-olah seperti panggung mini. Nasib baiklah rumahnya besar untuk menampung kedatangan rombongan penonton TV. Mereka tidak menolak, kerana resam pada waktu itu memang begitu. Siapa yang ada TV atau telefon, bersedialah dengan kedatangan orang kampung.

Munculnya televisyen telah membentuk satu budaya.  Lepas Isyak, bila ayah balik dari masjid, memang habislah peluang kami nak menonton. Ayah akan ambil tempat yang paling dekat dengan tv dan memilih siaran kesukaannya.  Kami semua disuruh tidur kerana esok nak bersekolah. Paling lewat kami boleh berjaga hanya setakat pukul 9 malam. Kalau tak mengantuk pun memang kami ‘diperambat’ untuk tidur.  Dengan berat hati terpaksalah masuk kelambu dan lepas tu terkebil-kebil mata menunggu mengantuk datang. Ayah juga suka makan depan tv. Kalau ayah tak makan malam, ayah akan suruh mak bancuh kopi dan sediakan kudapan. Biasanya biskut kering atau keropok. Kadang-kadang ayah beli kacang tanah  sebungkus untuk dimakan sewaktu menonton. Perangai ayah ini turun kepada aku. Mesti ada kacang atau kudapan bila nak menonton tv.

Siaran televisyen yang popular pada zaman kanak-kanak aku adalah Cumi dan Ciki. Balik dari sekolah agama terus menghadap tv. Tak mau buat kerja lain. Mak akan bising kalau kami asyik menonton. Dia suruh kami ‘baca buku’ atau belajar kata orang sekarang. Tapi itulah satu-satunya  rancangan yang boleh kami tonton. Bila malam kena pergi mengaji Al-Quran di rumah Mak Long. Balik dari mengaji, ayah sudahpun ada di depan TV. Bila dapat tengok? Mak dan ayah biasanya menonton The Sullivan dan High Chapparal yang ditayangkan pada larut malam.

Kurangnya rancangan tv pada waktu itu hatta dokumentari Filem Negara Malaysia dan iklan pun kami tonton.   Antara dokumentari yang aku ingat adalah pembuatan wau, bunga ros dari daun getah, bagaimana menjimatkan elektrik, deman denggi, pembuatan tudung saji dan macam-macam lagi. Kalau RTM mengalami masalah, akan keluarlah di layar ‘Jangan betulkan TV ada’. Kerana biasanya kalau tiada siaran, selalunya aerial yang akan dibetulkan. Kalau masalah berpunca dari RTM, jadi dipesan agar tidak mengubah apa-apa pada tv.

Bila difikirkan, memang siksa sungguh nak menonton tv dulu-dulu. Sumber maklumat kurang sedangkan masyarakat dahagakan pengetahuan. Nak beli peti tv pun payah. Ramai lagi orang yang susah. Ada tv pada waktu itu sudah dianggap orang senang. Kerana nak beli tv satu hal. Lepas tu nak kena bayar lesen TV lagi. Mungkin harga TV pada waktu itu masih mahal kerana teknologi yang digunakan. Sehingga tahun 1991, seingat aku harga TV Singer warna bersaiz  16 inci adalah RM1200.00. Mahal kan?

-SNASH-