Tags

, , , , , , , ,

Setelah 7 tahun aku berhenti bersenam atas nasihat orang supaya aku dapat hamil dan kekal hamil sehingga cukup bulan akhirnya aku buat keputusan. Aku kena bersenam. 7 tahun berlalu namun aku tidak juga hamil. Keguguran sebelum ini mungkin disebabkan terlalu aktif. Umur makin meningkat membuatkan aku terfikir, kalau ditakdirkan aku tak ada anak, haruskan aku hidup dengan badan yang gemuk dan tertekan?

Setelah kami berdua terpaksa bekerja sendiri, dengan setahun berlakunya ‘depression’, kami mula mengorak langkah lebih positif untuk mengubah pemikiran dan cara hidup kami. Memandangkan suami aku kembali menjadi pelajar atas biasiswa ‘fama’, maka kami berdua mempunyai banyak masa lapang bersama.

Mula-mula kami terfikir untuk berjalan kaki sekurang-kurangnya satu batu sehari. Tempat yang dipilih adalah Taman Botani di Putrajaya. Hari pertama kami mula berjalan kaki, baru beberapa meter, pergelangan kaki terasa gatal sangat. Mungkin banyak toksin dalam badan, maka apabila darah berjalan lancar akibat oksigen dalam darah, maka toksin itu dikeluarkan sedikit melalui rasa gatal di kaki tadi. Sungguh tak selesa rasanya.  Rasa mahu berhenti saja. Tapi suami aku memberi galakan agar meneruskan aktiviti kami. Termengah-mengah kami berdua mendaki bukit yang tidaklah berapa tinggi pun.

Hendak ke Putrajaya setiap hari bukannya dekat. Akhirnya aku mencari tempat lain yang dekat dengan kediaman kami. Di mana? Di internetlah. Dah setahun taman awam Nilai dibuka. Aku tak perasan pun. Hendak ke sana pun terpaksa pakai Google map. Walaupun aku tinggal di Selangor, tetapi bersempadan dengan Negeri Sembilan. Banyak kedai besar ada di sana. Tempat aku? Adalah empat bank, lima deret kedai dan taman awam yang tidak terurus langsung. Rumpun tumbuh sekaki tinggi. Sampah melimpah. Apalah yang majlis perbandaran ni buat?

Kami ke Nilai setiap hari kecuali hari Sabtu dan Ahad. Untuk hari minggu aku memujuk suami agar menggunakan kemudahan Gimnasium Rakyat atau Gim 1Malaysia di Menara KBS Putrajaya. Peralatan yang digunakan adalah yang terbaik. Yuran bulanan hanya RM40.00 sebulan. Walaupun murah kami hanya membayar untuk yuran ‘walk in’ iaitu RM4.00 untuk dewasa atau RM3.00 untuk pelajar untuk setiap kali datang. Ini kerana kami ke sana dua kali atau sekali seminggu. Hari yang lain gim ini dibuka pada waktu petang. Kami lebih cenderung bersenam pada waktu pagi. Juga untuk menjimatkan penggunaan petrol.

Seronok pergi gimnasium ni. Banyak peralatan yang kalau nak beli pun di manalah kita nak letak kat rumah. Aku terdorong untuk ke gim kerana mahu bersenam dengan angkat berat. Bukanlah angkat berat ni untuk membina otot yang besar. Tetapi lebih kepada membakar lemak dan membina otot. Nasib baik aku masih ingat apa yang Madam Ling ajar dulu. Kini aku pula yang menjadi Trainer untuk suamiku yang tak pernah ke gimnasium sebelum ini.

Setiap hari Rabu kami akan ke Taman Putra Perdana di Putrajaya. Selesai berjalan kami akan ke kolam renang di Pusat Maritime Precinct 6. Di sana pun ada gimnasium, RM10 sekali masuk. Tetapi peralatan yang digunakan bukanlah yang terbaik. Yuran bulanan RM300.00 untuk semua kemudahan kolam renang, gim dan gelanggang sukan. Mahal bagi kami. Jauh juga. Untuk kolam renang tertutup hanya RM5.00 seorang. Aku suka berenang di sini kerana kemudahan surau dan bilik persalinannya. Juga dalam kolamnya hanya empat kaki. Cuma airnya terlalu sejuk bagi aku. Cadang nak berenang  satu jam akhirnya jadi 20 – 30 minit. Kenapa pilih hari Rabu? Hari Isnin tutup. Hari Selasa hanya untuk wanita. Hari Rabu untuk semua. Hari Rabu juga adalah di tengah-tengah minggu. Setelah senaman, berenang dan makan, biasanya kami akan menonton wayang kerana harga tiket murah pada hari Rabu.

Tiga bulan kami mengamalkan rutin ini memang terasa kesannya kepada gaya hidup dan kesihatan. Suami aku tidak lagi rasa tegang otot. Kami tidak lagi mengantuk di siang hari walaupun cukup tidur pada waktu malam.  Rasa lebih sihat dan cergas. Makan minum terjaga kerana kesedaran untuk menjaga kesihatan semakin tinggi. Yang paling aku suka, suami aku akhirnya mahu makan sayur banyak-banyak, bukan seperti dulu hanya sehelai daun yang dicincang halus.

-SNASH-