Tags

, , , ,

Sediakan payung sebelum hujan. Ingatan yang sering kali kita dengar agar kita sentiasa bersedia dalam segala hal.

Hujan adalah suatu fenomena alam yang amat biasa bagi kita yang tinggal menetap di kawasan Khatulistiwa.

Hujan turun hampir setiap hari dan apabila hujan turun sepanjang hari atau pada jangka waktu yang panjang dalam sehari untuk tempoh waktu (hari) yang berturut-turut lebih daripada seminggu, keadaan itu sudah dikatakan musim tengkujuh.

Menghadapi musim tengkujuh, bagi kita di Malaysia, ia dianggap sebagai perkara biasa – seperti bagaimana biasanya kita menghadiri kenduri kahwin.

Sudah tidak ada apa yang di luar jangkaan.

Itu yang menjadi masalahnya apabila kita beranggapan sesuatu itu sudah menjadi kebiasaan dan kita mampu atau berupaya menjangka sebarang kemungkinan (sama ada baik atau buruk) yang mana ia menjuruskan kita kepada kealpaaan.

Setiap kali musim tengkujuh di Malaysia, kita tidak pernah tidak mendengar, membaca atau melihat berita atau laporan tentang kemusnahan dan kemalangan jiwa yang diakibatkan oleh banjir yang datang bersama-sama dengan hujan lebat yang berpanjangan.

Mungkin ada di kalangan kita berkata : sudah tentu berlaku banjir jika hujan lebat yang berpanjangan dan sudah pasti banyak kemusnahan harta benda berlaku dan tidak mustahil juga ia mengakibatkan kemalangan jiwa.

Betul. Namun jika di kawasan yang sama berlaku saban tahun, tidakkah keadaan itu boleh dielakkan?

Agak sukar diterima akal yang waras apabila sesuatu kawasan itu sering kali dilanda banjir penduduk di kawasan berkaitan tidak mengambil sebarang tindakan dan inisiatif untuk menanganinya.

Jika usaha untuk menanganinya memerlukan perancangan rapi dan perbelanjaan besar yang berkemungkinan penduduk kawasan berkenaan tidak berupaya melakukannya dan mengadakannya, kesukaran mereka itu boleh dirujukkan kepada pemimpin setempat untuk dikemukakan kepada pihak kerajaan bagi diambil tindakan segera.

Di pihak kerajaan pula, sudah sepatutnya ada perancangan untuk menangani hal yang sedemikian.

Jabatan dan agensi kerajaan tidak sepatutnya hanya melakukan tugasan kebiasaan mereka sahaja. Tugas mereka juga harus merangkumi usaha mendatangkan kesejahteraan kepada masyarakat.

Untuk itu, penjawat awam tidak harus hanya menyediakan dan melaksanakan perancangan tanpa melihat dan mengetahui keperluan masyarakat.

Dalam hal berkaitan pengendalian atau menangani masalah banjir, jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan harus kerap menggadakan tinjauan dan kajian kawasan-kawasan yang berisiko.

Usaha ini dapat dimudahkan dengan penglibatan aktif masyarakat. Melalui pemimpin setempat seperti ketua kampung dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang wujud di kawasan setempat seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Pertubuhan Belia dan Rukun Tetangga, maklumat yang diperlukan dapat dikumpul.

Apa yang berlalu sekarang, setiap kali musim tengkujuh datang, kebanyakan kita rasa kita sudah bersedia, walhal kita langsung tidak bersedia – persediaan kita lebih lengkap untuk menghadiri kenduri kahwin berbanding menghadapi banjir!