Tags

, ,

Sepi suatu yang tidak pernah lari dalam diri kita.

Sepi dan kesepian adalah elemen penting dalam kehidupan setiap insan.  Kesepian yang pendek akan mengundang rindu.  Kesepian yang berpanjangan akan mengundang keraguan.  Keraguan yang hadir akan menanam kebencian.  Kebencian yang tumbuh akan menunjangkan ketidakwarasan dalam diri seseorang.

Sepi yang pendek akan menjadi pendorong seseorang untuk mencari.  Sepi yang berpanjang akan mengajak pemikiran seorang untuk menerawang jauh.  Apabila menerawang jauh, maka adalah sukar untuk berpijak di bumi yang nyata.

Kerana sepi dan kesepian yang menjadikan diri kita ini manusia.  Manusia tidak tahan dengan sepi dan kesepian.  Manusia mahukan teman, kawan dan sahabat untuk mengisi ruang sepi dan kesepian yang wujud.

Kerana itu juga ramai di kalangan kita yang menjadikan alasan  bahawa kehidupannya yang diselubungi sepi dan kesepian itu maka kita memilih untuk berkawan dengan siapa sahaja yang sanggup atau berpura-pura sanggup menjadi kawan yang akan menemani kita.

Namun kawan kita bergelak ketawa memang senang diperolehi, tetapi kawan ketika kita menangis dan sama-sama menangis sukar sekali dijumpai malah dalam keadaan penghidupan sekarang, kawan seperti itu sebenarnya tidak wujud.

Sepi dan kesepian tidak akan lari dan lenyap dari diri kita.  Berkawanlah kita seribu malah berjuta, kita akan tetap kesepian.

Sudah lumrah manusia yang dikurniakan akal pemikiran dan nafsu.  Adalah suatu yang sukar untuk menjumpai sesuatu yang benar-benar sama dengan aliran pemikiran kita daripada ramai-ramai kawan yang kita ada.

Mungkin yang paling hampir ialah kita atau kawan kita itu mempunyai sebilangan kecil aliran pemikiran yang hampir-hampir sama dengan kita.

Maka kerana itu, ramai di kalangan kita sebenarnya sepanjang masa cuba untuk mempengaruhi orang lain atau kawan kita itu untuk berasa bahawa apa yang kita percaya dan yakini itu juga bermanfaat kepada mereka.

Kerana itu, elemen pemujukan dan bidang pengiklanan dan perhubungan awam amat menarik perhatian kita kerana pemujukan yang dilakukan itu sedikit sebanyak mengena pada sebilangan kecil aliran pemikiran yang kita miliki.

Kerana itu juga kita begitu tertarik kepada mereka yang suka berkata-kata dan manis mulut.  Ini kerana kata-kata yang terhambur itu dalam bawah sedar kita ia adalah suatu yang dapat mengisi ruang sepi dalam diri kita.

Kerana itu juga, sering kali dalam sesi temuduga untuk memenuhi kekosongan jawatan di dalam mana-mana organisasi, si penemuduga akan lebih cenderung untuk memberi penilaian tinggi kepada seseorang yang bijak berkata-kata untuk mengisi jawatan kosong yang ada.

Situasi ini sudah menjadi kelazimanan malah sudah boleh dikatakan menjadi budaya. Sedangkan matlamat sesi temuduga bukannya mencari si penglipurlara atau si pendebat yang hebat.

Itulah bahana dari sepi dan kesepian yang wujud. Organisasi yang memerlukan pekerja adalah organisasi yang sepi dan kesepian.

Semakin lama mana-mana jawatan dalam organisasi itu tidak diisi, semakin lama sepi dan kesepian bertapak di dalam organisasi. Sepi yang berpanjang akan mengajak pemikiran seorang untuk menerawang jauh.  Apabila menerawang jauh, maka adalah sukar untuk berpijak di bumi yang nyata.

Hasilnya organisasi tidak berkesan dalam operasinya kerana memiliki pekerja yang hanya tahu berperanan sebagai penglipurlara dan pendebat.

Kesepian yang berpanjangan akan mengundang keraguan dan mencari. Oleh itu cari ilmu untuk mengisi kesepian.