Tags

, , , ,

Pernahkah anda terfikir untuk apa anda bekerja?

Adakah semata-mata untuk mendapatkan gaji?

Atau adakah kerana hanya untuk mengisi masa lapang?

Atau adakah kerana status?

Atau kerana anda berasakan mudah bagi anda untuk mendapatkan sebarang kemudahan pinjaman?

Pernahkah pula anda bertanya pada diri anda apakah sumbangan yang telah anda berikan kepada organisasi tempat anda bekerja?

Jika ada, adakah sumbangan itu telah membawa kebaikan dan menguntungkan kepada organisasi dan masyarakat?

Jika sebaliknya pula yang anda rasa – maka anda perlu membuat pilihan – mula berikan sumbangan atau keluar sahaja dari organisasi terbabit.

Bekerja merupakan satu amanah – maka dengan itu kita perlu bertanggungjawab.  Sama ada kecil atau besar tanggungjawab itu – itu bukan persoalannya.

Mungkin kita tidak jelas atau pasti apa sebenarnya yang perlu kita lakukan – tiada petunjuk atau cara yang menentukan cara kita melaksanakan tugas atau bidang kuasa tugas kita.

Apa yang penting kita perlu memenuhi tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin.

Bagi mereka yang berkhidmat di sektor awam, Anggota perkhidmatan awam tanpa mengira pangkat adalah cerminan imej kerajaan dan sebenarnya adalah penyampai maklumat utama kerajaan kepada masyarakat.

Dalam situasi masa kini, perkhidmatan awam bukan sahaja berfungsi sebagai pentadbir awam semata-mata malah adalah rakan kongsi pembangunan sama ada pembangunan fizikal mahupun bukan fizikal bersama-sama sektor swasta dan masyarakat.

Di sini amalan perhubungan awam yang baik di kalangan anggota perkhidmatan awam memainkan peranan membantu melancarkan pelaksanaan pembangunan yang dirancang agar ia bukan sahaja memenuhi kehendak kerajaan malah turut mengambil kira akan kehendak dan keperluan masyarakat

Contohnya dalam proses penyediaan pelan pembangunan, penjawat awam amat perlu melaksanakan amalan perhubungan awam yang baik iaitu mereka perlu memberikan maklumat yang tepat tentang hasrat kerajaan untuk membangunkan sesuatu kawasan berkaitan kepada masyarakat atau penduduk yang terlibat selain menerangkan kepada mereka akan kesan dan faedah yang akan mereka (masyarakat) perolehi daripada pembangunan terbabit.

Segala komen, cadangan atau maklum balas daripada masyarakat atau penduduk berkaitan jika diambil kira dan diberikan penelitian, maka besar kemungkinan pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan itu pasti tidak akan menghadapi kesulitan.

Namun seandainya dalam proses menyiapkan pelan pembangunan itu penjawat awam mengambil mudah dengan tidak mengindahkan masyarakat atas alasan untuk memudahkan kerja, maka ini akan mengundang suatu risiko besar iaitu menghadapi kesulitan dalam melaksanakan pelan pembangunan kita.

Jika menghadapi halangan, maka pastinya pelaksanaan pembangunan itu akan terlewat dan setiap kelewatan itu sebenarnya akan meningkatkan kos operasi dan ini merugikan semua pihak yang sememangnya mahukan pembangunan dapat dilaksanakan.

Kerugian yang tidak sepatutnya berlaku ini sebenarnya boleh dielakkan dengan sedikit usaha ikhlas kita melaksanakan perhubungana awam yang baik.