Tags

, , , , ,

Adik iparku baru saja menerima sarjananya. Dengan itu kesemua mereka tiga beradik telah memperolehi ijazah sarjana dalam bidang masing-masing. Sejuk perut ibu mengandung.  Nampak jelas rasa gembira pada raut wajah ibu dan ayahnya sewaktu konvokesyen tempoh hari.

Pada orang lain mungkin cerita ini biasa. Tapi setiap orang ada sejarahnya.  Untuk ibubapa yang tidak menamatkan persekolahan kerana kemiskinan, keinginan menuntut ilmu diterapkan pada anak-anaknya sejak kecil lagi. Namun mereka tidak pula memaksa bidang yang harus diambil oleh anak-anaknya. Atau menekankan agar si anak mesti menjadi orang kaya baru digelar orang yang berjaya.

Tidak memaksa tetapi berdoa. Itu yang selalu dibuat oleh si ibu. Sentiasa mendoakan kesejahteraan anak-anaknya. Kalau boleh hati ini mahu semua anak dekat di sisi. Tapi bidang tugas mereka membawa mereka jauh dari ibubapa. Namun komunikasi berlaku setiap hari. Seolah-olah si anak masih di depan mata.  Bila balik berjumpa, amat menyenangkan hati ibu dan bapa. Masing-masing si anak cuba menggembirakan mereka dengan sebaik mungkin. Tidak membuat perangai atau mencari masalah atau memalukan ibubapanya.

Besar tugas ibubapa sebenarnya.  Semasa kanak-kanak mereka betul-betul didisiplinkan. Tidak membuat perangai di tempat awam terutama di rumah saudara mara. Rotan merupakan perkara biasa. Bukan mendera tetapi pengajaran.  Kerana rotan tidak digunakan sebarangan kecuali mereka benar-benar bersalah. Namun apabila anak meningkat remaja, mereka lebih berkomunikasi dan lemah lembut dengan anak-anak. Si anak dapat meluahkan apa saja masalah remaja kepada ibu bapanya.  Anak-anaknya tidak terpengaruh dengan unsur-unsur tidak sihat sebaliknya cenderung memperbaiki diri dengan mendalami ajaran agama.

Segala disiplin yang diterapkan pada zaman kanak-kanak merupakan asas kepada pembentukan sahsiah mereka semasa dewasa. Walaupun dewasa dan bekerja profesional, mereka tidak curi tulang atau rasuah. Sebaliknya tekun dan jujur dalam bekerja. Menolak sebarang unsur negatif dalam membina kerjaya dan tidak menyalahgunakan kuasa. Gunakan jalan yang betul walaupun orang di sekeliling mereka menyeleweng. Tidak mudah untuk menjalani keadaan sebegini pada masa kini sebenarnya.

Bagaimana mereka boleh jadi begini? Semuanya berkat kesabaran, kesusahan yang dilalui dan rezeki halal yang diusahakan oleh bapanya. Cara si anak bekerja merupakan amalan yang telah diamalkan oleh si bapa sepanjang kerjayanya.  Bapa mereka juga memperlakukan ibu bapanya dengan sebaik mungkin. Bapanya juga sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapanya dan anak-anaknya . Tidak luak berdoa, kerana anak-anak yang baik sebenarnya menyenangkan lagi ibu bapa untuk masuk syurga.

-SNASH-