Tags

, , , ,

Pembaharuan berdasarkan wawasan ke arah meningkatkan mutu dan kecemerlangan kerja harus ditanam pada setiap anggota pekerja.  Tunggak kecemerlangan sesebuah organisasi adalah bergantung kepada pengurusannya yang berwawasan (mission driven organization) dan cabaran yang terbesar adalah memastikan organisasi bergerak berlandaskan wawasan, fungsi dan mempunyai pelan tindakan yang jelas.

Sesuatu wawasan tidak mempunyai makna jika tidak dapat dikongsi serta diyakini oleh anggota-anggota dalam organisasi berkenaan.  Oleh itu pihak pengurusan perlu memastikan wawasan yang dibuat dapat dipraktikkan oleh setiap anggota. Kefahaman, komitmen dan semangat ‘ownership‘ terhadap wawasan tersebut hendaklah terus dipupuk agar kakitangan sentiasa sedar tentang tanggungjawab mereka serta peranan yang harus dimainkan.  Adalah menjadi tanggungjawab ketua organisasi untuk mengembangkan minat serta meningkatkan daya kreativiti di kalangan anggota di semua peringkat jawatan.  Apa yang perlu adalah memberi galakan dan peluang yang secukupnya kepada setiap anggota memperkenalkan idea yang baru serta memberi pengiktirafan terhadap idea yang diberikan itu sekiranya memberi manfaat kepada jabatan.

Ketua-ketua organisasi juga harus bersikap terbuka dan bersedia menerima idea-idea yang baru diperkenalkan oleh pekerja bawahan mereka.  Seseorang pegawai yang mahu meletakkan diri untuk mencapai kecemerlangan dalam kerjayanya hendaklah sentiasa menanam minat untuk mempertingkatkan tahap ilmu pengetahuan dan kepakarannya sama ada melalui kursus dan latihan, perbincangan atau pembacaan. Mencari ilmu adalah satu proses yang berlaku di sepanjang hayat.  Setiap anggota juga harus mengekalkan semangat kekitaan (team work) yang sedia wujud.  Mereka harus saling membantu dan saling menolong satu dengan yang lain dan melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan ikhlas dan sebaik-baiknya.

Kebaikan sesuatu idea mesti diiktiraf dan diterima. Kalau tidak mahu mendengar idea orang, maka tidak perlu ada perbincangan. Kalau ada perbincangan dan ada idea, beri peluang seluas-luasnya untuk idea terbaik diterima sebagai keputusan kolektif hasil proses perundingan. Orang lebih menghormati pemimpin yang sanggup dengar idea orang lain. Inilah yang dikatakan ‘quality control circle‘ dan ini merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kemajuan yang Jepun nikmati sekarang.

Penerimaan idea inovatif tidak kira sama ada datangnya dari pihak bawahan kepada atasan. Kesemua cadangan dan pandangan hendaklah diterima sebagai pandangan yang membina untuk dinilai keutamaan dan pelaksanaannya. Kaedah ini dapat berkembang dan mendatangkan manfaat bagi pembaikan suasana kerja apabila semua ahli berpegang kepada konsep no idea is stupid idea.