Tags

, , , ,

Dalam  sesebuah organisasi individu pekerja yang menganggotai sesebuah organisasi hendaklah diberi keutamaan.

Organisasi dengan itu mesti menganggap pekerja sebagai sumber yang terpenting dan sanggup melabur kepada peningkatan kepakaran mereka. Individu yang hendak dibangunkan mesti memiliki ciri-ciri ini, iaitu sikap yang positif dan progresif, akhlak yang murni, memahami realiti dan budaya masyarakat, dan daya kepakaran yang tinggi di peringkat tahap pekerjaan masing-masing. Tanpa ciri-ciri ini, kejayaan sesebuah organisasi akan berada pada tahap yang rendah.

Manusia pada fitrahnya memiliki sifat makhluk individu dan makhluk sosial. Sifat makhluk individu menonjolkan bahawa setiap individu berkeinginan untuk menjaga kepentingan dan kecapaian diri.

Di samping itu, sebagai makhluk sosial pada lumrahnya manusia saling memerlukan antara satu sama lain dalam mengatur tugas dalam organisasi.

Kecemerlangan sesebuah organisasi tidak bergantung sepenuhnya kepada individu sahaja.

Kesepaduan dan kesepakatan di kalangan anggota organisasi dalam mendukung visi dan misi organisasi juga merupakan faktor penting kepada lahirnya organisasi yang cemerlang selain mengamalkan sistem yang telus yang mempunyai check and balance, mesra pelanggan dan mengurangkan karenah birokrasi.

Setiap anggota juga harus tidak terperangkap dengan gejala rasuah yang akan meruntuhkan kepercayaan umum terhadap perkhidmatan awam umumnya.

Untuk itu terdapat lima (5) prinsip pengurusan organisasi berikut patut didukung iaitu

  1. Tidak bertolak ansur  dengan prestasi yang rendah, baik di kalangan pegawai ataupun bawahan.
  2. Perlu sentiasa bekerja dengan gigih, bijak dan pantas melaksanakan semua strategi serta dasar kerajaan khususnya yang bermatlamat bagi menjana ekonomi negara.
  3. Mengutamakan ketertiban dan kebersihan persekitaran.
  4. Fokus kepada pelanggan dan menjadikan pelanggan sebagai sasaran perkhidmatan.
  5. Mesti mempunyai etika kerja yang baik iaitu etika yang sudah ditanam dalam tradisi yang dipertanggungjawabkan bagi kebaikan pelanggan.

Di samping itu juga prinsip-prinsip asas kerja perlu diamalkan iaitu;

  1. Ketepatan masa dan fakta.
  2. Hasil kerja yang berkualiti.
  3. Bekerja bersungguh-sungguh.
  4. Mengikis sikap acuh tak acuh dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
  5. Mematuhi standard yang ditetapkan dari segi format kerja, peraturan dan sebagainya.
  6. Bangga dengan tugas dan tempat bekerja.