Tags

, , , ,

Tahap pembangunan sesebuah negara dan tahap kejayaan sesuatu bangsa dipengaruhi oleh kualiti dan orientasi minda warga dan bangsa. Membangun minda bererti memperkaya dan memperkasa akal budi untuk melakukan lonjakan ketamadunan.

Pembangunan minda dalam erti gerakan pencerdasan bangsa harus meliputi pembinaan sikap percaya diri. Kita harus membina keupayaan berfikir secara rasional, objektif dan bijaksana yang mana ini akan menggalakkan kesuburan budaya ilmu, kemerdekaan berfikir dan kebebasan bersuara.

Pembudayaan ilmu harus dilakukan dengan mendaulatkan nilai ilmu, membina semangat cintakan ilmu, membanyakkan bahan-bahan ilmu dan mengangkat  martabat para ilmuan.

Berfikir  tanpa ilmu tidak membantu pembangunan minda. Demikian juga berilmu tanpa berfikir. Objektif membangunkan minda hanya tercapai jika masyarakat dididik menggunakan ilmu sebagai modal berfikir supaya akan berlaku penciptaan ilmu baru yang dapat menjadikan sesuatu bangsa itu sebagai penyumbang ilmu dalam tamadun dunia.

Realiti  persaingan dunia hari ini adalah persaingan reka cipta ilmu.  Oleh yang demikian pemikiran kita harus berorientasi kepada paduan antara pemikiran lojik-saintifik dengan pemikiran imaginatif. Orientasi sedemikian akan dapat membina minda kreatif yang berupaya menghasilkan reka cipta.

Dalam  pada itu, prinsip asas agama dari segi kebesaran dan ketauhidan Ilahi  perlulah dijadikan sandaran utama dalam usaha meneroka dan mencipta ilmu. Kebebasan berfikir tidak harus tergelincir hingga menidakkan kewujudan Tuhan pencipta sekalian alam, makhluk dan isi bumi.

Pegangan  kukuh terhadap agama akan memandu kepada penciptaan ilmu yang meningkatkan nilai-nilai kemanusiaan dan kesejagatan.

Penerokaan, penemuan, penguasaan dan penciptaan ilmu lebih perlu diberikan makna dan erti melalui sifat yang diamalkan oleh para ilmuan. Insan berilmu memiliki kekuatan dari kesediaan untuk terus menerima pandangan, menerima teguran, menerima nasihat, menerima pendapat dari pihak lain.

Ilmu itu tidak mati. Ilmu itu tidak berakhir. Ilmu harus terus hidup. Ilmu  harus terus dikembangkan. Segala ini dapat berlaku, jika mereka yang  telah bertaraf guru, masih mengamalkan budaya murid, belajar dan terus belajar.