Tags

, , , ,

Dalam era pembangunan yang dipelopori sejak negara  mencapai kemerdekaan,   fungsi   pentadbiran  awam  telah  mengalami perubahan yang dinamik di mana keseluruhan jentera Kerajaan digembleng dan  dijuruskan kepada usaha-usaha  meningkatkan taraf   hidup   rakyat   di   samping   menjamin keamanan, kesejahteraan  dan  keselamatan  awam.  Keupayaan perkhidmatan awam memberikan  perkhidmatan  yang  bermutu  dan  berwibawa perlulah dipertingkatkan sealiran dengan perkembangan-perkembangan yang pesat berlaku di  dalam  atau di  luar  negeri.  Ini  memerlukan  perubahan-perubahan yang boleh meningkatkan  produktiviti dan keberkesanan perkhidmatan awam dalam menghadapi cabaran-cabaran pembangunan negara.

Sungguhpun  ada  langkah-langkah tertentu  seperti   penswastaan   dan   usaha   mengurangkan perbelanjaan   awam,  namun  perkhidmatan  awam  akan  terus memikul tanggungjawab yang berat dalam  pembangunan  negara.

Peranan   yang   dimainkan   oleh  perkhidmatan  awam  untuk memberikan perkhidmatan  yang berkualiti kepada orang  ramai adalah  berat dan ini tidak membenarkan pegawai awam setakat menjalankan tugas atau melaksanakan dengan cara  yang  sedia ada,   sebaliknya  perlu  memikirkan  cara-cara  baru  untuk memperbaikinya.  Pemikiran systems  maintenance  tidak  lagi sesuai  dalam  keadaan  sekarang  dan  harus  diubah  kepada pemikiran  berbentuk  kreatif  dan  inovatif  yang  bermakna pegawai  awam  patut  bersikap  proaktif.  Ini  hanya  dapat dicapai jika mereka mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang tinggi disertai dengan sikap  yang  positif,  peribadi  yang mulia dan nilai-nilai yang unggul.