Tags

, , ,

Usaha-usaha peningkatan kualiti dan produktiviti perlu ditingkatkan secara berterusan dari semasa ke semasa sejajar dengan perkembangan semasa dalam era K-Ekonomi.

Dalam era ini, ilmu menjadi asas bagi pengenalan inovasi yang mana akan menentukan daya saing organisasi.

Ilmu akan menjadi punca utama bagi menambah nilai produk atau perkhidmatan yang dihasilkan.

Pengumpulan, pengedaran dan penjanaan ilmu harus akan menjadi satu aktiviti penting pada semua peringkat organisasi, masyarakat dan negara.

Dalam melayari gelora era K-Ekonomi, perkhidmatan awam akan terus dikehendaki memainkan peranannya sebagai pemimpin, pelaksana, fasilitator, penentu rentak (pacesetter),  perunding, pengawal (regulator) dan penyatuan strategik (strategic integrator) dalam senario  baru ini.

Untuk itu beberapa pendekatan, dasar dan strategi baru diperlukan bagi perkhidmatan awam memainkan peranan-peranan ini secara cekap dan berkesan.

Sumber manusia yang merupakan sebagai aset intelektual (intellectual asset) adalah aset yang lebih penting daripada aset-aset fizikal seperti tanah, modal dan jentera.

Sebagai  contoh, nilai saham Syarikat Microsoft itu tinggi bukan kerana aset fizikalnya tetapi kerana ilmu yang ada pada sumber manusianya.

Dengan itu, setiap anggota perkhidmatan awam harus mempunyai ilmu yang tinggi dan sesuai bagi menjalankan kerja masing-masing secara cekap dan berkesan serta bagi  memperkenalkan inovasi di dalam perkhidmatan awam.

Dalam konteks perkhidmatan awam, inovasi boleh kaitkan dengan idea-idea baru dalam semua aspek kerja untuk menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti.

Perubahan-perubahan ini boleh  berlaku dalam pelbagai bentuk seperti pengenalan teknologi yang baru, perubahan-perubahan  prosedur yang boleh menjimatkan tenaga, masa dan kos dengan itu boleh meningkatkan penghasilan kerja.

Profesor Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia dalam syarahan umum beliau yang disampaikan pada Januari 2003, menyatakan bahawa penilaian hasil daripada proses inovasi itu bukan hanya sesuatu yang ketara (tangible) semata-matanya, tetapi termasuk juga yang tidak ketara (intangible) seperti penjimatan masa atau kos, mahupun peningkatan kecekapan atau perubahan sikap dan tingkah laku kepada yang lebih membina, walaupun ini lebih sukar dikesan atau diukur.  Yang penting adalah satu usaha yang berfokuskan perubahan dan pengubahsuaian dalam membangunkan potensi sosial dan ekonomi.

Beliau seterusnya memetik hujah Peter Drucker yang menyatakan bahawa inovasi bukannya setakat hasil inspirasi (idea) besar, tetapi satu bentuk kerja yang tersusun dan sistematik.

Sesuai dengan kefahaman ini, persekitaran kita menawarkan berbagai-bagai peluang untuk melakukan inovasi, ataupun bertindak kreatif melalui perubahan persepsi, set minda dan pengetahuan baru.

Oleh itu, inovasi boleh dipelajari dan diintegrasikan dalam membangunkan organisasi.