Tags

, ,

Seorang individu yang mempunyai ketenangan hati dan emosi adalah individu  yang berupaya melaksanakan segala peranannya sebagai individu, ahli keluarga, anggota organisasi/pekerja dan ahli masyarakat dengan baik, berkesan dan produktif.

Pekerjaan memberi kesan yang negatif apabila terdapat elemen tertentu seperti berasa tertekan di pejabat menjadi seseorang itu suami dan ayah yang garang di rumah atau pekerja yang tidak pandai menguruskan masa menjuruskan seseorang itu bertindak meminggirkan malah mengabaikan keluarganya.

Sungguhpun demikian, pekerjaan juga memberi kesan yang positif kepada keluarga, misalnya  apabila pendapatan yang diperolehi itu mampu meningkatkan lagi kualiti hidup keluarga terbabit.

Maka tidak keterlaluan kita menyatakan bahawa kesejahteraan memang mempengaruhi produktiviti pekerja.

Oleh itu, adalah penting ketua jabatan/organisasi/majikan yang mahukan anggota organisasi/pekerjanya menyumbang khidmat dengan produktiviti yang tinggi memberikan perhatian kepada keluarga anggota organisasi/pekerjanya.

Bagaimana?

Berikan pengetahuan tentang kemahiran berkeluarga kepada anggota organisasi/pekerja.

Mengapa ini perlu?

Ini kerana, tidak ramai yang tahu bagaimana untuk mengendalikannya.

Kita jarang sekali diajar tentangnya, tetapi setiap orang perlu melaluinya.

Ilmu dan kemahiran berkeluarga yang berterusan perlu agar seseorang itu dapat menghayatinya serta mengamalkan hubungan kekeluargaan yang lebih baik, bahagia dan stabil dan pada masa yang sama dapat menyelesaikan masalah keluarga dengan cara yang lebih bijak.

Ini seterusnya pasti akan menyumbang kepada kesejahteraan keluarga mereka.

Ia juga merupakan suatu jaminan terbaik bahawa anggota organisasi/pekerja berkenaan untuk dapat hadir ke pejabat dengan hati yang lebih tenang dan bersemangat.

Dia akan dapat menjalankan tugasnya dengan baik yang mana pada akhirnya organisasi terbabit akan mendapat sumbangan perkhidmatan yang produktif dan berkualiti daripada anggota/pekerjanya.