Tags

, ,

Tonggak kecemerlangan sesebuah organisasi terletak kepada jentera pengurusannya yang berwawasan. Namun, elemen terpenting untuk mencapai kecemerlangan itu ialah pegawai dan kakitangannya.

Pegawai dan kakitangan yang mengamalkan budaya kerja yang cemerlang yang seterusnya dizahirkan menjadi perkhidmatan yang berkualiti.

Sistem nilai, norma, sikap dan etika kerja yang betul dan murni adalah unsur-unsur yang membentuk warga kerja sesebuah organisasi itu sebagai anggota yang cemerlang dan mampu menghasilkan kerja yang berkualiti.

Empat unsur ini menjadi asas mengawal perlakuan kakitangan, cara mereka berfikir, berhubung antara satu sama lain dan berinteraksi dengan persekitarannya.

Membentuk budaya kerja cemerlang dalam organisasi bukan satu perkara mudah dan tidak boleh dicapai dalam masa yang singkat.

Kejayaan yang dicapai oleh organisasi belum boleh menunjukkan tahap kecemerlangan yang unggul kerana kecemerlangan tiada akhirnya.

Sungguhpun demikian, ia bukan pula suatu yang mustahil untuk dicapai.

Orientasi anggota organisasi berkaitan harus bergerak di atas landasan yang betul iaitu mesti ada komitmen, mempunyai kesedaran kualiti, bersedia menerima perubahan dan tiada batasan masa untuk cemerlang.

Kerja yang hendak dilaksanakan perlu dilakukan dengan sepenuh hati atas kehendak organisasi dengan mengetepikan segala kepentingan lain khususnya kepentingan peribadi.

Dalam menuju kecemerlangan, pihak pengurusan perlu ingat bahawa akan ada ruang-ruang yang boleh diperbaiki dari semasa ke semasa bagi menampung kelemahan-kelemahan yang masih ada.

Usaha organisasi untuk mencapai kecemerlangan adalah suatu usaha yang berterusan tanpa ada had masa yang ditetapkan.

Sebuah organisasi tidak seharusnya berpuas hati terhadap apa yang dicapai ketika ini.