Sejak berkahwin dan tinggal jauh dari keluarga, bulan puasa sememangnya menggamit kenangan lalu terutama sewaktu kecil. Bila mak dan ayah dah tak ada, lagilah kenangan itu jelas bermain di fikiran, terutamanya ketika memandu kereta. Ditambah lagi dengan lagu-lagu yang dimainkan di radio. Sungguh menyentuh hati. Kenangan bulan puasa begitu banyak sebenarnya. Sebanyak umur kita. Sebanyak yang kita mahu ingat ataupun yang kita mahu lupakan.

Membesar sebagai kanak-kanak di zaman 1970an sememangnya berbeza. Satu era lain. Waktu kecil kakak dan abang asyik membandingkan zaman mereka (50an dan 60an). Bila aku pula dah dewasa asyik membandingkannya dengan zaman anak buah pulak.

Kuih Raya

Seingat aku kami tidak pernah buat biskut moden sehinggalah Kak Ngah diam bersama kami sekeluarga setelah bercerai. Kak Ngah mengambil upah buat biskut untuk belanja dirinya. Kami pun tumpang sama. Tumpang rasa dan makan. Sebelum tu Kak Wa ada buat biskut moden, tapi di rumahnya di bandar. Di kampung ketuhar pun tak ada. Jadi bila raya barulah nampak rupa biskut moden. Biskut yang paling aku suka; biskut badam dan samperit. Kak Wa ada dapur gas empat penunu dan ketuhar. Itulah teknologi canggih zaman itu. Bila Kak Ngah buat biskut, dia hanya pakai ketuhar cap Rama-rama. Kek dan biskut dibancuh secara manual. Sekarang kalau tak ada mixer, maaflah cakap, tak kuasa nak buat kuih.

Zaman sebelum biskut moden adalah kuih tradisional. Yang aku ingat mak dan nenek (mak kepada ayahku) akan bergotong royong buat kuih kacang, putu kacang, agar-agar kering, buahulu, maruku, kuih siput dan kuih sepit. Seingat aku buahulu merupakan kuih yang memenatkan. Lenguh tangah mengacau adunan. Nenek cukup teliti dengan cara memukul. Takut tak jadi. Semasa memukul pun aku sudah mencuri rasa bancuhan buahulu mentah. Sedap dan wangi. Lidah budak-budak. Adunan dibancuh dalam pasu sederhana. Mak sibuk menjaga api. Biasanya bara arang atau sabut diletakkan di bawah periuk dan di atas tudung. Acuan buahulu diletakkan di dalam periuk. Jadilah ketuhar tradisional.

Seperti biasa, lidah budak-budak lebih gemarkan biskut moden. Lucunya bila dah dewasa ni, tak minat pulak dengan kuih moden. Selera lebih gemar kepada kuih tradisional. Sayangnya ramai orang dah tak buat dan mengamalkannya lagi. Boleh cerita kat orang tapi tak boleh nak tunjuk cara dan rupa.

Baju Raya

Mak akan mengambil upah menjahit baju raya. Seperti biasa kami anak-anaknya adalah orang terakhir yang merasa baju rayanya. Dan aku sebagai anak bongsu, rupa baju raya aku adalah lebihan kain-kain abang dan kakak. Teringin betul baju sedondon. Selalunya kain lain, baju lain rupa. Pandailah mak memadankan fesyen. Mungkin sebab aku kecil, jadi tak perlukan banyak kain, jadi tak perlulah mak membelanjakan duit untuk baju raya aku. Rugi buat baju budak-budak ini sebab mereka cepat besar.

Bila kakak dah kerja, kakaklah yang akan beli kain untuk baju raya. Tukang jahitnya emak.

Kenangan dengan ayah

Waktu aku darjah dua, untuk peperiksaan pertengahan penggal, aku mendapat tempat pertama. Dengan bangganya aku bercerita pada ayah dan meminta hadiah. Ayah beri hadiah 50 sen. Aku habiskan dengan beli bunga api. Setiap petang bulan puasa, selepas mengajar di sekolah agama, ayah akan menyuruh aku membonceng di atas motosikalnya. Kadang-kala di belakang. Kadang-kala dalam raga motor. Habis satu Balik Pulau ayah bawa aku bersiar. Kadang-kadang singgah di gerai-gerai kecil di kampung-kampung. Dulu-dulu tak ada Bazar Ramadhan. Ayah akan beli kuih atau manisan untuk berbuka. Itulah pertama kali aku melihat kampung lain. Rasa jauh benar dan besar sungguh Balik Pulau. Sebelum waktu berbuka kami balik ke rumah. Ayah mengambil bekal yang mak sediakan dan terus ke masjid.  Ayah hanya berbuka dengan kurma dan air sejuk di masjid. Lepas maghrib barulah ayah balik rumah untuk makan nasi.

Kenangan meronda dengan ayah ini amat lekat dalam ingatanku kerana itulah kali pertama dan kali terakhir aku rasa amat rapat dengan ayah.

Buka puasa

Biasanya mak akan buat sirap selasih untuk minum. Menu istimewa biasanya tembikai susu yang ranum dengan santan dan gula melaka. Disejukkan dengan ketulan ais. Ais biasanya dibeli di kedai, sebab kebanyakan rumah tidak mempunyai peti sejuk pada waktu itu.  Kadang-kadang sirap dengan buah enau dan buah nipah bergantung kepada musim. Buah nipah bukanlah kegemaran kerana penat aku mengunyah tapi tidak jugak hancur kerana terlalu liat. Buah enau selalu jadi rebutan, memandangkan kami ramai jadi emak akan mencatu buah enau. Tapi aku lebih gemar minum air sahaja. Lagi pun aku tak puasa jadi tak perlulah aku merayakan sangat waktu berbuka. Menu lain adalah cendul. Biasanya jarang benar emak beli. Semua kalau boleh nak buat sendiri. Tapi sekali-sekala kami hanya beli isi cendul sahaja. Santan dan gula dibuat sendiri. Walaupun aku tak puasa, aku diharuskan bangun sahur sebagai latihan. Tak puasa di sini adalah latihan tidak makan untuk setengah hari.

Buka puasa di masjid

Bila dah besar sikit, ada kawan ajak aku berbuka di masjid. Sebelum ini aku tak dapat bayangkan kenapa orang di masjid makan cepat. Macam mana mereka makan? Bila masuk waktu Maghrib, bedok akan dipukul. Lima minit kemudian azan Maghrib akan berkumandang.

Lurus bendul, aku terima saja pelawaan mereka. Kawan aku siap sedia dengan sirap dan ais. Di masjid kami menghamparkan tikar yang dibawa khas di bahagian jemaah wanita. Tikar penuh dengan kuih, nasi dan air. Masing-masing menunjukkan bekal yang dibawa. Tak sabar tunggu waktu berbuka. Di sebelah kawasan jemaah lelaki kelihatan makanan bersusun terhidang di atas saprah. Tidak ada meja kerana semua orang bersila di lantai.

Bila bedok ditabuh, kami dengan semangat membara terus meneguk air sepuas-puasnya. Makan kuih dan seterusnya nasi. Baru tiga suap, Bilal dah azan. Ha! Kenapa cepat sangat. Nasi banyak lagi. Takkan nak tinggal. Terkocoh-kocoh kami menghabiskan nasi tapi tak terhabis jua. Akhirnya kami tinggalkan bekal dan terus berwuduk untuk sembahyang. Kami ketinggalan dua rakaat. Lepas sembahyang, kami menghabiskan bekal dan berkemas. Kami mengintai melihat kawasan jemaah lelaki. Rupanya kebanyakan mereka hanya minum air dan makan sedikit kurma untuk berbuka. Selepas maghrib barulah mereka menjamah bekal yang dibawa. Patutlah azan berkumandang selepas lima hingga 10 minit bedok ditabuh. Barulah aku tahu rahsia azan maghrib di bulan puasa di kampung aku.

Puasa Yang Yok

Puasa Yang Yok, Pagi-pagi buka periuk.

Pantun dua kerat yang kerap dijaja oleh sesiapa saja yang mahu menyindir mereka yang tidak berpuasa. Sewaktu kecil aku cuba berpuasa, bermacam cara puasa aku dicabar. Selalunya aku gagal. Mungkin kerana aku adik kecil jadi mereka tidak percaya kebolehan aku untuk berpuasa.

Satu cerita yang aku tidak lupa, setelah bersahur dan berpuasa, kira-kira pukul 5 petang aku ke dapur dan melihat kakak tengah menggoreng cucur cempedak. Kecur air liur. ‘sedapnya’ kataku. Kakak tersenyum, ‘Kalau nak ambillah dua biji’. Ha! Orang mengantuk disorongkan. Aku mengambil cucur dan lari ke bilik dan makan sambil bersembunyi. Kalaulah aku tunggu lagi 2 jam mungkin sudah tamat puasa aku hari tu.

Kali pertama berpuasa

Sewaktu aku darjah tiga barulah aku benar-benar berpuasa. Mungkin kerana sudah bersekolah agama di waktu petang. Semacam ada rasa tanggungjawab wajib berpuasa. Balik dari sekolah agama aku terbaring depan televisyen kerana keletihan dan kelaparan langsung terlelap. Aku terjaga bila berasa perutku ditekan kuat. Rupanya anak buah aku sedang menunggang kuda. Perut aku jadi kudanya. Adoiiii!

Sembahyang Tarawih

Walaupun setiap malam aku bersemangat untuk sembahyang tarawih, tapi seingat aku sepanjang waktu aku di sekolah rendah tak pernah aku dapat sempurnakan 23 rakaat sembahyang Tarawih. Pertama bagi aku sembahyang terlalu cepat. Aktiviti rukuk dan sujud juga cepat. Bacaan dalam sembahyang pula panjang. Godaan pula banyak. Baru empat rakaat dah terdengar budak-budak lain bermain di halaman masjid. Ada juga yang dah berhenti dan tidur di belakang saf. Bagi aku pulak, mata ini berat sungguh. Aku selalu berkata nak tidur sekejap saja. Sudahnya dah habis witir baru aku terjaga. Aku tak pernah tahu fadilat sembahyang Tarawih sehinggalah aku remaja. Bagi aku suasana meriah di masjid, rasa aman di bulan puasa menambah keseronokan sambutan Ramadhan.

Mercun dan Bunga Api

Dulu-dulu bermain mercun dan bunga api adalah perkara biasa. Tak ada peraturan melarang kami bermain mercun dan bunga api. Walaupun begitu aku begitu takut dengan mercun dan tak sukakan bunyinya. Kami akan membeli bunga api di kedai mamak Nathar di sebelah rumah. Biasanya bunga api cap Kucing. Budak lelaki lebih gemar main mercun. Yang paling aku tidak suka adalah mercun tarik. Mereka suka menyakat kami budak perempuan dengan mercun tarik. Terkejut dan bingit telinga. Kenapa nak main bunga api? Sebab di bulan puasa, setiap rumah cerah dengan lampu pelita dan lampu kerlip.

Bulan puasa, abang akan ditugaskan untuk memasang pelita. Setiap hari pelita akan diisi dengan minyak tanah sehingga penuh. Setiap pokok di keliling rumah (biasanya pokok kelapa) akan dipaku untuk digantungkan pelita.  Bagi tempat yang tidak ada pokok pula akan dipacakkan kayu untuk meletak pelita. Cerahlah keliling rumah. Seronok betul kerana kerana dapat keluar bermain di waktu malam tanpa ada rasa takut. Berkat Ramadhan katakan. Melihat begitu banyak pelita dan keinginan untuk bermain amat membara, maka apakah permainan yang sesuai? Tentulah mercun dan bunga api. Di kampung semakin dekat hari raya semakin marak bunyi meriam buluh dan mercun. Tapi tak ada yang hilang jari atau cedera.

Moreh

Setiap malam, selepas tarawih ada moreh. Kadang-kala aku rasa aku ke masjid hanya untuk makan kerana setiap hari tertanya-tanya apakah menu hari ini. Waktu sembahyang mengantuk. Waktu nak makan mata ini segar bugar. Tapi malam yang meriah adalah malam 27. Satu kampung turut merayakan malam ini. Semua orang akan menyumbang kuih-muih dan hidangan lain disediakan secara gotong-royong dengan kutipan wang dari orang kampung.

Anak Bulan

Melihat anak bulan untuk berpuasa dan berhari raya merupakan aktiviti wajib untuk ayah dan abang-abang ku. Pantai Acheh merupakan lokasi yang terpilih untuk melihat anak bulan. Abang akan mengayuh basikal untuk bersama-sama melihat anak bulan dengan Ahli Falak. Kami di rumah tertunggu-tunggu sama ada puasa atau raya untuk hari esok. Biasanya kami sudah tahu sebelum pengumuman di televisyen.  Aku berbertanya abang mengenai rupa anak bulan. Abang cakap anak bulan kecil daripada bulan. Banyaklah auta abang.

Saat indah menyambut Ramadhan di kampung ini berakhir bila aku bersekolah di bandar dan tinggal di asrama.

-SNASH-