Tags

, , , , ,

Alahai, banyak perkara yang perlu diambil kira, diteliti dan diputuskan.

Masalahnya, maklumat kurang, maklumat tidak lengkap, maklumat tidak tepat dan kurang masa mengumpul maklumat.

Itu yang sering kali berlaku pada kita dalam kehidupan seharian.  Walaupun demikian, kita terpaksa membuat keputusan.

Untung sabut timbul, untung batu tengelam dan selalunya kita mengharapkan untung sabut namun dalam kebanyakan hal atau keputusan yang kita buat itu menjurus kepada nasib atau untung si batu – kita tengelam.

Itulah kehidupan dan kita perlu menghadapi dan menanganinya setakat yang termampu.

Biar betul … dan sememangnya betul.  Namun itu sebenarnya bukan penghalang kita untuk berusaha mencapai yang terbaik malah sebenarnya kita mesti mencuba yang terbaik.

Bagi kita sebagai individu, berusaha yang terbaik dengan harapan mendapat hasil yang terbaik dan memberikan keuntungan atau manfaat terbesar dan terbaik kepada kita adalah suatu yang tidak sukar untuk dicapai.

Namun kita hidup di dunia ini bukan sekadar untuk hidup kita seorang diri sahaja.  Kita tidak dapat lari daripada berhubung, berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain, makhluk lain dan yang paling penting dengan pencipta kita.

Kehidupan yang ‘menyendiri’ dan ‘terasing’ tidak wujud dan kerana itu adalah sukar bagi seseorang itu mencapai 100% apa yang diharapkannya kerana elemen perhubungan, interaksi dan komunikasi dengan orang lain, makhluk lain dan yang paling penting dengan pencipta kita adalah penentu kepada kejayaan dan pencapaian kita.

Sungguhpun demikian, kita sebagai manusia ada kelebihan iaitu kita dikurniakan akal fikiran.

Dengan akal fikiran, seorang manusia yang waras akan mampu membuat penilian, pemilihan dan keputusan yang terbaik berdasarkan maklumat yang diperlolehinya.

Namun dalam banyak situasi, penilian, pemilihan dan keputusan yang dibuat memerlukan penglibatan input orang lain bagi membolehkan kita mencapai hasil yang terbaik yang dihasratkan.

Ini kerana dalam sebarang penilian, pemilihan dan keputusan, kita berhadapan dengan maklumat yang banyak dan pelbagai yang mana keadaan ini berupaya menjejaskan kemampuan kita untuk mengenal pasti maklumat yang perlu diambil kira atau digunakan bagi permasalahan atau situasi yang perlu kita tangani bagi mencapai hasil terbaik yang dihasratkan.

Dalam organisasi, keadaan ini tidak wujud kerana penilian, pemilihan dan keputusan dibuat bukan oleh seorang individu tetapi oleh sekumpulan individu yang bermatlamat untuk mengatangkan hasil terbaik atau keuntungan terbesar kepada organisasi.

Walaupun ada ketikanya kata pemutus terakhir terletak pada seorang individu iaitu si ketua, namun kata putusnya itu adalah hasil daripada penelitian lengkap dan terperinci semua maklumat yang diperolehi, dipersembahkan dan dibincangkan bersama dengannya oleh individu lain yang bekerja bersama dengannya atau bekerja dibawahnya atau yang dilantiknya.

Oleh yang demikian, penilian, pemilihan dan keputusan yang dibuat itu adalah yaang terbaik dan jika hasilnya tidak baik, tidak memuaskan atau mendatangkan kegagalan, kerugian atau kemudaratan, maka ia adalah kerana maklumat yang diperolehi itu maklumat yang tidak atau kurang tepat atau maklumat yang salah.

Apabila maklumat yang tidak atau kurang tepat atau maklumat yang salah diguna pakai bagi membuat sebarang penilian, pemilihan dan keputusan maka perkara-perkara kecil atau remeh yang disangkakan tidak mendatangkan sebarang kesan menjadi duri dalam daging seperti yang dikatakan peribahasa : Disangka tiada akan mengaram, ombak yang kecil diabaikan iaitu penilian, pemilihan dan keputusan yang dibuat itu mendapat bahaya kerana memandang ringan akan perkara (bahaya) yang kecil.

Keadaan ini seolah-olah yang berlaku pada kejadian kemalangan di salah satu program anjuran sebuah kementerian baru-baru ini (minggu akhir Mei 2012) yang mengakibatkan beberapa penonton cedera dan ada yang cedera parah.

Bukan menunding jari kepada mana-mana pihak di atas kejadian itu seperti yang dinyatakan dalam suatu kenyataan media oleh pihak kementerian berkenaan bukanlah persoalan pokok yang perlu dicari jawapannya.

Ini kerana, jawapannya telah jelas – yang salah adalah pihak penganjur dan dalam kes ini ialah kementerian berkenaan.

Bukankah penganjuran aktiviti berkenaan memerlukan persiapan dan langkah keselamatan yang ketat dan tidak harus ada kompromi dalam penguatkuasaannya.

Peraturan yang sememangnya pastinya amat arif sekali di pihak kementerian berkenaan ternyata telah diberikan kelonggaran apabila aktivit berkenaan dilaksanakan di tempat yang tidak sepatutnya.

Kemalangan sudah pasti akan berlaku – sama seperti kita meletakkan telur di hujung tanduk – ia pasti akan jatuh dan pecah.

Menyatakan kerana keghairahan penonton yang pergi dan berdiri begitu hampir dengan aktivti berkenaan amat tidak bertanggungjawab.

Sudah pastilah penonton ingin melihat lebih dekat kerana dalam mana-mana aktiviti yang melibatkan kenderaan bergerak laju, pasti mengundang ghairah penonton.

Bagi mana-mana individu yang pernah menonton aktiviti sukan pemotoran seperti perlumbaan motosikal atau kereta, ia biasanya dilakukan di litar yang disediakan peralatan keselamatan yang bagus dan penonton sentiasa dikehendaki berada di  belakang pagar keselamatan.

Dalam kes ini, keghairahan penganjur telah mengabaikan elemen keselamatan dan ini berpunca daripada penilian, pemilihan dan keputusan yang dibuat berdasarkan maklumat yang tidak atau kurang tepat atau maklumat yang salah yang disampaikan oleh pihak yang berkenaan agar kelulusan diberikan.

Sebagai manusia yang waras fikirannya, sesuatu yang sememangnya diketahui boleh mendatangkan bahaya dan kemudaratan, proses penilian, pemilihan dan membuat keputusan harus amat teliti dengan tidak membiarkan situasi disangka tiada akan mengaram, ombak yang kecil diabaikan menguasai.

Malang dan sungguh malang kerana peristiwa itu berlaku kerana jika keputusan dibuat dengan teliti, pastinya penganjur tahu bahawa hasrat tidak akan menghalalkan cara.