Tags

, , , , , ,

Peribahasa ini bermasksud : sudah kena sesuatu kemalangan atau ditipu orang, baru hendak beringat dan berjaga-jaga.

Mungkin keadaan ini sudah biasa kita dengar dan sudah biasa berlaku.  Namun mengapa ia masih berlaku?

Itu yang agak menghairankan. Bukankah kita sepatutnya belajar daripada pengalaman – sama ada pengalaman kita sendiri mahupun pengalaman orang lain.

Peribahasa ini sudah tentunya merujuk kepada pengalaman orang lain jika tidak pengalaman kita.

Jadi persoalannya tetap sama – mengapa ia masih berlaku malah semakin berleluasa pula seolah-olah ia adalah suatu keadaan biasa malah mungkin sudah menjadi budaya.

Adakah kita zaman ini semakin pelupa? Atau adakah kita kini semakin bebal?

Kedua-duanya adalah faktor penyumbang walaupun mungkin bukan faktor utama tetapi kedua-dua faktor ini dari semasa ke semasa sentiasa sahaja berulang dan kerana itu, kedua-duanya boleh tergolong sebagai faktor utama.

Dalam banyak situasi, apabila sudah kena sesuatu kemalangan atau ditipu orang, baru hendak beringat dan berjaga-jaga berlaku ke atas individu yang mana hanya individu berkenaan atau orang terdekat dengan individu berkenaan sahaja yang mengalaminya.

Oleh yang demikian, kesannya kurang kita (masyarakat) rasai.  Namun apabila situasi kemalangan atau penyelewengan atau penipuan itu berlaku ke atas organisasi sama ada swasta atau kerajaan, kesannya lebih besar.

Dalam kes ia berlaku dalam organisasi – kesannya dialami oleh anggota organisasi dan dalam kes berkaitan kerajaan – kesannya yang agak besar turut terpalit kepada masyarakat keseluruhannya.

Dalam organisasi, kemudaratannya dapat dikekang dalam organisasi berkenaan sahaja namun dalam kerajaan, kemudaratannya menular ke seluruh denyut nadi jentera kerajaan.

Bayangkan jika sebuah kementerian di Malaysia membuat keputusan yang kurang wajar dalam mengendalikan mana-mana program pembangunan kerajaan (yang mana setiap perogram pembangunan kerajaan itu seharusnya untuk mendatangkan kesejahteraan dan manfaat terbesar kepada masyarakat dan kemajuan negara ini), sudah pastinya kita tidak dapat mengelak daripada tertanya-tanya : adakah ini yang kita mahu daripada golongan yang terpillih menjadi pemimpin kita untuk mendatangkan kesejahteraan dan manfaat terbesar kepada masyarakat dan kemajuan negara ini?

Kita pasti tidak dapat mengelak terfikir : apa yang jentera kerajaan buat? Dan sudah pasti kita tidak dapat mengelak daripada terdetik di hati dan terfikir : apakah kakitangan awam yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas bagi melancarkan program pembangunan kerajaan hanya melakukan apa yang diarahkan?

Tidakkah mereka mampu berfikir dan mengolah program pembangunan yang lebih baik dan memberikan manfaat lebih besar kepada kita dan negara ini?

Apabila persoalan-persoalan sedemikian timbul di minda kita, akhirnya tidak dapat terhalang daripada muncul di fikiran kita : kalau sebuah kementerian iaitu sebuah organisasi tertinggi dalam pentadbiran kerajaan yang memiliki puluhan malah ada yang beribu pegawai yang terlatih dan bijak pandai, boleh membuat keputusan yang tidak wajar, tidakkah perkara yang sama juga berlaku di kementerian lain atau di dalam jentera kerajaan lain dalam semua peringkat?

Jika diperhatikan kebelakangan ini, terdapat beberapa keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan tampak tidak utuh dan telah dipertikaikan oleh msayarakat.

Seperti biasa, pihak kerajaan melalui jentera hebahannya dan pegawai-pegawai hebahannya menjelaskan dengan terperinci setiap keputusan dan tindakan yang dibuat itu adalah untuk kepentingan masyarakat dan masyarakat harus memahami bahawa kerajaan menghadapi dalam keadaan sukar dalam membuat keputusan itu iaitu menyeimbangkan kepentingan masyarakat dan kepentingan pembangunan (fizikal dan ekonomi).

Walau apa pun keputusan itu, satu perkara yang pasti, jika keputusan itu adalah benar-benar memberikan manfaat terbesar kepada masyarakat dan negara, mengapa ia boleh dipertikaikan?

Dalam beberapa situasi, kita dapati ada beberapa keputusan yang telah dibuat itu perlu ditarik balik dan diubah.

Bukankah setiap keputusan yang tepat dan berkesan itu tidak boleh dipertikaikan lagi?

Tidakkah itu pelik – dan tidakkah kita terfikir : adakah mereka yang dilantik menjadi pembuat keputusan itu memutuskan sesuatu perkara itu tanpa mempertimbangkan semua aspek semasak-masaknya atau mereka membuat keputusan dengan menggunakan maklumat yang ‘secoet’ atau mereka dipengaruhi oleh pihak tertentu yang berkemungkinan memberikan maklumat yang tidak atau kurang tepat atau maklumat yang salah?

Apabila keputusan dibuat dengan keadaan sedemikian, maka hasilnya agak rapuh dan boleh dipertikaikan.

Kita (masyarakat) pula akan melihat keadaan ini sebagai tindakan di pihak kerajaan yang cuba menggunakan kaedah-kaedah (putar-belit) atau kata orang putih : bend the rule yang mengakibatkan situasi bila Sudah Terhantuk Baru Terngadah.

Bila ini berlaku, yang ruginya kita (masyarakat). Bukan itu sahaja, kita juga seperti diperkotak-katikkan.

Apa yang dibimbangkan ialah nanti akan terjadi keadaan seperti tikus membaiki labu.