Tags

, , ,

Belia sejak beberapa dekad ini telah mendapat perhatian yang semakin meningkat di peringkat antarabangsa.

Peranan belia telah diiktiraf dalam pembangunan masyarakat. Oleh itu, di kebanyakan negara, belia diktiraf sebagai aset penting negara.

Belia adalah kuasa penting dalam sesebuah negara. Mereka merupakan tulang belakang sebenar setiap negara.

Belia adalah nadi yang hidup. Belia memiliki impian. Impian belia bukan sahaja untuk masa depan yang baik bagi diri mereka sendiri tetapi juga untuk masa depan yang baik untuk negara dan kemanusiaan keseluruhannya.

Di negara-negara maju, banyak perhatian telah diberikan kepada pembangunan belia dengan menjalankan penyelidikan meluas serta perancangan dan pelaksanaan program-program yang berlainan bagi belia.

Di Malaysia golongan belia membentuk demografi penting. Menurut Jabatan Perangkaan, Malaysia, pada tahun 2010, 42.5% (12,015,000) penduduk di negara ini dikategorikan dalam umur 15 hingga 39 tahun iaitu kategori umur belia.

Ini adalah kategori penduduk yang penuh bertenaga dan boleh menjadi aset yang berharga bagi negara ini jika mereka diberi peluang untuk merealisasi potensi dan keupayaan mereka.

Jika tidak, belia yang tidak berpelajaran dan menganggur boleh menjadi ancaman bagi masyarakat dalam pelbagai cara.

Adalah penting untuk menyedari bahawa setiap belia mempunyai potensi dan keupayaan untuk menyumbang dalam pembangunan negara. Bagaimanapun, mereka perlu peluang untuk memupuk potensi dan kemahiran mereka.

Untuk merealisasikan potensi dan kemahiran belia, mereka memerlukan pendidikan yang berkualiti. Proses pendidikan harus membantu mereka untuk berfikir secara kritis terhadap kehidupan peribadi dan sosial mereka.

Untuk itu, adalah penting peluang untuk membangunkan pelbagai kemahiran mereka seperti pemikiran, literasi, sosial dan sebagainya disediakan dengan sempurna.

Aktiviti-aktiviti pendidikan yang ada juga hendaklah memudahkan mereka untuk membangunkan sikap yang positif terhadap masyarakat dan persekitaran di mana mereka tinggal.

Golongan muda yang mahir dan berpendidikan memerlukan peluang pekerjaan yang sesuai dan persekitaran kerja yang kondusif yang mana mereka dapat menggunakan kapasiti mereka pada tahap maksimum.

Mereka memerlukan galakan dan kemudahan dari organisasi di mana mereka berkhidmat. Mereka memerlukan perkasaan dan ruang untuk menggunakan dan melahirkan kreativiti dan inovasi mereka.

Apa yang kita lihat hari ini, bukan sahaja di Malaysia, tetapi seluruh dunia – belia yang berpendidikan, yang akan menjadi masa depan negara ini dan masa depan dunia pada keseluruhannya, cenderung untuk memupuk dan membangunkan ciri-ciri negatif dan tingkah laku yang sama sekali bertentangan dengan apa yang diharapkan daripada keluaran universiti.

Bagaimanakah belia sedemikian dapat menyumbang kepada Pembangunan Negara? Ia hanya boleh menjadi asas bagi Pemusnahan Negara.

Sebagai belia, anda bertanggungjawab untuk mendapat manfaat dalam masa belia kita, kerana ia adalah yang paling penting dalam hidup anda, dan adalah tugas kita untuk membantu dalam pembangunan dan menyediakan perkhidmatan melalui bantuan kepada yang lain untuk membina sebuah negara yang aman, harmoni dan selamat.

Belia juga bertanggungjawab untuk tidak membuang masa dengan hanya bergurau dan bermain serta terlalu banyak bercakap perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Tidak berpelesiran di jalan-jalan, pasar dan tempat-tempat awam yang lain; sebaliknya, belia harus cuba melakukan kerja-kerja yang mendatangkan manfaat kepada masyarakat keseluruhannya.

Sebagai belia, kita bertanggungjawab untuk membina personaliti kita dalam tempoh perkembangan kita. Belia juga bertanggungjawab untuk bersaing dengan masa. Ini bermakna menggunakan setiap minit dan saat untuk membangunkan semua yang muncul kepada kita, sama ada sebahagian daripada personaliti kita, masyarakat atau negara kita, kerana kita bertanggungjawab untuk hari ini, esok dan masa hadapan.

Tanggungjawab kepada masa tidak hanya apabila kita masih hidup, bahkan ia berterusan walaupun selepas kita mati. Kerana apa yang kita tinggalkan, jika ia sesuatu yang baik, sejarah yang baik akan menjadi khazanah yang kekal kepada generasi yang datang.

Jika mana-mana masyarakat di mana-mana negara mahukan perubahan, maka golongan belia yang menjadi tonggaknya.

Tenaga belia, kepintaran dan sumber belia yang digunakan sepenuhnya dan sebaiknya adalah jaminan kepada kejayaan negara.

Orang muda penuh dengan idea yang bernas dan bertenaga.

Orang muda mempunyai tenaga untuk mencuba dan sanggup belajar dari kesilapan.

Memberi mereka peluang untuk merancang, membuat keputusan dan bekerja menyediakan mereka untuk menghadapi realiti dalam kehidupan yang lebih mencabar.

Belia adalah kuasa yang penting dalam pergerakan sosial. Penyertaan golongan belia penting kerana belia dapat membantu mengenal pasti masalah di peringkat akar umbi dan boleh menyelesaikannya melalui pendekatan yang realistik dan terkini.

Sebuah negara akan mencapai proses pembangunan tertinggi jika belia yang bercita-cita tinggi dan berdaya saing, kreatif dan berinovasi diberikan panduan kepada arah yang betul.

Tanpa bimbingan yang betul terutamanya daripada generasi terdahulu, masyarakat kita tidak akan berupaya mengatasi masalah yang dihadapi.

Satu generasi tidak boleh membina sebuah negara, dalam masa hayat mereka.

Belia masa kini sudah tentu boleh menyelesaikan tugas ini secara berperingkat-peringkat. Satu generasi menyelesaikan satu fasa pembangunan negara, seterusnya bersedia untuk menjalankan fasa selanjutnya dan supaya generasi seterusnya dapat menyambung usaha yang telah dilaksanakan itu.

Ia adalah satu proses yang berterusan. Tetapi selepas tamat peringkat pertama pembangunan, jika generasi sedia ada tidak bersedia untuk mengambil alih tugas berkenaan atau hilang arah, keadaan ini berupaya menjejaskan pembangunaan dan pembinaan negara.

Kebebasan politik adalah penting untuk meningkatkan taraf sesebuah negara, tetapi ia bukan matlamat akhir. Masih banyak yang perlu dibangunkan pada peringkat sosial dan ekonomi.

Tanggungjawab menyediakan asas dan mewujudkan persekitaran yang mesra dalam hal ini terletak pada para intelektual dan pemimpin masyarakat.

Generasi terdahulu pastinya boleh memberi bantuan untuk meningkatkan semangat belia bagi membolehkan golongan untuk memulihkan ciri-ciri kebangsaan dan menjalankan proses meningkatkan taraf kebangsaan.

Secebis kisah Luqman al Hakim sebagai renungan kita bersama.

Luqman pernah ditanya tentang tentang keperibadian dan kebijaksanaan yang dimilikinya.

Beliau menjawab: Saya belajar kebijaksanaan dari si buta. Si buta tidak meletakkan kakinya ke hadapan tanpa merasai bumi (tanah) di hadapannya. Tidak mungkin ada perkataan atau tulisan yang bijaksana itu tidak memberi manfaat. Tetapi walaupun ada seratus buku kebijaksanaan atau seratus ucapan namun ia tidak boleh membuat seseorang itu lebih bijak, jika dia tidak bersedia untuk mendapat manfaat daripadanya.