Tags

, , , , , ,

Antara iklan yang aku ingat sampai sekarang.

Mirinda

Air oren berkarbonat. Punyalah banyak rasa oren sehingga bila minum mirinda, buah oren akan datang menderu bergolek jatuh dari atas bukit. Seolah-olah hujan buah oren pulak.

Mi Segera Maggi

Jingle: Mi maggi cepat dimasak, sedap dimakan. Seorang budak sekolah membawa kawan-kawannya balik ke rumah. ‘Mak!, kawan datang nak makan!’. Si Ibu menyediakan mi mengikut pilihan kawan-kawannya iaitu ayam, udang, kari dan asam laksa.

Sekarang mi segera tidak digalakkan untuk kanak-kanak.

Marjerin Planta

Seorang budak sedang belajar menunggang basikal. Setelah beberapa kali jatuh, si ibu menambah Planta pada roti agar si anak mendapat khasiat secukupnya untuk terus menunggang basikal. Berkat khasiat Planta maka si anak tadi berjaya menunggang basikalnya.

Sejak itu teringin sungguh aku nak makan planta, marjerin mahal. Kononnya lebih sedap sebab di rumah waktu tu, mak hanya beli marjerin secara timbang saja.

Ribena

Minuman buah beri. Masa tu buah beri pun tak kenal.

Seorang kanak-kanak membawa bekal air Ribena dalam bekas plastik. Nampak sedap sungguh sampai seorang kawannya bertanya,

‘apa tu?’

‘Ribena’

‘Minta sikit!’

‘Sikit saja tau!’

Apa yang menarik dalam iklan tu bukanlah airnya. Tapi bekas air yang cantik dan tudungnya boleh dibuat cawan. Punyalah teringin bekas air macam tu, tapi kena tunggu temasya sukan di sekolah baru boleh dapat bekas tu. Sayangnya sehingga tamat sekolah rendah, aku tak jumpa rekabentuk botol yang aku inginkan. Nak beli tak mungkin sama sekali.

Setelah dewasa, Ribena bukanlah air minuman kegemaranku. Di samping itu, pada aku tidak sepatutnya kanak-kanak dibiasakan minum air manis kerana mereka perlukan kalsium untuk membesar.

Susu Cap Junjung (Milkmaid)

Aku tak ingat bagaimana lirik jinglesnya. Tapi suka sungguh tengok sekumpulan kanak-kanak remaja belajar main sepatu roda. Setelah berjaya jatuh bangun akhirnya mereka dapat meluncur dengan baik dan meraikannya dengan meminum susu cap junjung yang dipaket kecil sambil berdiri.

Hmmm..susu manis lagi. Sebab tengok iklan sepatu roda, aku memujuk kakak membelikan aku sepasang. Tapi sepatu roda plastik untuk kanak-kanak itu akhirnya terbiar begitu saja kerana aku sampai sudah tak pandai menggunakannya.

-SNASH-