Tags

, ,

NGO (Non-Governmental Organisation) diakui sebagai ejen yang paling berkesan dalam usaha mencapai dan menjayakan pembangunan mapan.

Ini kerana NGO dapat menggunakan sumber-sumber ada dan boleh menggembleng sumber tambahan dengan lebih cekap.

Ini memberi keupayaan untuk mengawal sasaran projek serta merealisasikan hasrat mewujudkan mobilisasi dan peningkatan pembangunan dalam masyarakat.

Ungkapan organisasi NGO mula digunakan sejak penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1945 dengan peruntukan-peruntukan dalam Artikel 71, Bab 10, Piagam PBB yang menjelaskan peranan organisasi bukan kerajaan mahupun negara-negara anggota.

Takrif NGO antarabangsa pula terkandung dalam resolusi 288 (X) ECOSOC pada 27 Februari 1950 yang mentakrifkan NGO sebagai ‘mana-mana organisasi antarabangsa yang tidak diasaskan oleh perjanjian antarabangsa’.

Peranan penting NGO dan lain-lain “kumpulan utama dalam pembangunan mapan adalah diiktiraf di dalam Bab 27, Agenda 21, yang membawa kepada aturan-aturan yang disemak semula untuk hubungan perundingan antara PBB dan NGO.

Pada peringkat masyarakat, NGO berada di barisan hadapan dalam memberi bantuan keperluan asas dan kemudahan.

NGO juga berperanan mengenal pasti isu, meningkatkan kesedaran, dan menyediakan maklumat kepada masyarakat akar umbi.

NGO juga membantu dalam usaha untuk menjelaskan dan membawakan masalah masyarakat dan keperluan mereka kepada perhatian pihak yang boleh memberi kesan perubahan.

NGO memainkan peranan yang besar dalam mempertahankan kedua-dua hak alam sekitar dan pembangunan masyarakat selain membantu  membina kapasiti masyarakat untuk menguruskan sumber-sumber asli mereka bagi tujuan pembangunan mapan.

NGO yang bekerja di peringkat kebangsaan kebiasaannya memberikan tumpuan ke atas dasar-dasar yang diperkenalkan oleh pihak pemerintah.

Mereka memainkan peranan penting dalam mengenal pasti kelemahan dan jurang dalam rangka kerja dasar semasa atau undang-undang.

Pembangunan yang ingin dikecapi harus merangkumi prinsip kesaksamaan dan  kelestarian.

Kerajaan tidak dapat menangani kesemua isu pembangunan yang timbul di pelbagai peringkat kumpulan masyarakat.

Oleh itu, kewujudan NGO banyak membantu dalam mengenal pasti isu dan melaksanakan kaedah pembangunan yang bersesuaian dengan tempat dan kumpulan sasar.

Pendekatan NGO yang bekerja di peringkat mikro dapat mengelakkan hambatan birokrasi yang sering dihadapi dalam pelaksanaan projek besar.

Kaedah hubungan bersemuka dapat meningkatkan keyakinan golongan sasar.

NGO secara umumnya ditakrifkan sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan dan tidak berpaksikan dengan mana-mana parti politik.

NGO bergerak di atas sebab yang tertentu atau set sebab-sebab bagi kepentingan awam.

NGO bukan merupakan sebahagian daripada kerajaan dan oleh itu ia bebas daripada kerajaan.

NGO biasanya mendapat sekurang-kurangnya sebahagian pembiayaan mereka daripada sumber-sumber swasta.

Terdapat juga NGO yang melakukan aktiviti komersial untuk menjana pendapatan atau sumber-sumber untuk  meneruskan kelangsungan hidup kewujudan mereka

Akan tetapi keuntungan aktiviti-aktiviti ini tidak diagihkan kepada ahli-ahli sebagai dividen sebaliknya dikekalkan dalam organisasi sebagai suntikan penerusan peranan dan fungsi bagi mencapai kepentingan dan objektif NGO berkaitan.

Jenis-jenis NGO

Terdapat pelbagai bentuk NGO dalam masyarakat yang berbeza dan dalam sistem sosial dan politik yang berbeza.

Jenis NGO boleh difahami melalui orientasi iaitu sama ada berteraskan kebajikan, perkhidmatan, penyertaan atau memperkasa

Jenis NGO juga boleh difahami dengan melihat tahap kerjasama yang dijalinkan sama ada berteraskan kemasyarakatan, perbandaran, nasional atau antarabangsa.

Di negara ini terdapat NGO yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).  Ada juga yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Belia (RoY) dan ada yang berdaftar dnegan Pesuruhjaya Sukan (PjS).

Antara NGO yang berdaftar di Malaysia :

  1.    1.   ABIM – Angkatan Belia Islam Malaysia
  2.    2.   Aliran – Aliran Kesedaran Negara
  3.    3.   All Women’s Action Society (AWAM)
  4.    4.   Amnesty International Malaysia
  5.    5.   Angkatan Zaman Mansang (AZAM)
  6.    6.   Badan Warisan Malaysia
  7.    7.   Bahá’í Community Of Malaysia
  8.    8.   ERA Consumer Malaysia – Education & Research Association For Consumers Malaysia
  9.    9.   Federation of Family Planning Associations, Malaysia (FFPAM)
  10. Federation of Malaysian Consumers Associations (FOMCA)
  11. Force of Nature Aid Foundation
  12. Global Peace Mission (GPM)
  13. HATI
  14. Hindu Rights Action Force (HINDRAF)
  15. International Council on Management of Population Programmes
  16. Institute of Strategic & International Studies (ISIS)
  17. Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)
  18. Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI)
  19. Majlis Belia Malaysia (MBM)
  20. Malaysian AIDS Foundation
  21. Malaysian CARE
  22. Malaysian Trade Union Congress (MTUC)
  23. Mercy Malaysia

Mengapa Perlu Menubuhkan dan Menyertai NGO?

NGO yang merupakan kumpulan yang dibentuk berasaskan kepentingan umum ahli-ahlinya.

Sifatnya yang terbentuk atas dasar sukarela tidak mewakili kerajaan, tidak menjalankan fungsi-fungsi kerajaan, tidak memperolehi peruntukan kuasa langsung kerajaan dan tidak membawa agenda kerajaan.

Sebaliknya adalah untuk mewakili kepentingan golongan-golongan tertentu yang tidak memiliki perwakilan dalam pembentukan dasar-dasar kerajaan dalam sistem politik negara.

Kewujudan NGO secara tidak langsung sebenarnya meringankan bebanan kerajaan, menyediakan fungsi semak dan imbang serta menyuburkan amalan demokrasi.

Kekuatan sesebuah NGO bergantung pada banyak faktor termasuklah dana, kepimpinan, kepakaran dan bilangan keahlian.

Jumlah keahlian boleh mempengaruhi kejayaan atau kegagalan pertubuhan tersebut.

Lazimnya, keahlian yang ramai bermakna lebih ramai tenaga boleh digunakan untuk aktiviti akar umbi dan juga lebih banyak dana terkumpul melalui bayaran yuran.

Menyertai NGO sebenarnya adalah kaedah kita menyatakan sokongan dan menyumbang bakti kepada matlamat murni NGO melalui aktiviti sukarela.

Mempunyai minat dan matlamat yang sama yang digembelengkan akan dapat dikongsikan pengalaman dan pengetahuan untuk membawakan kebaikan, kemakmuran serta menyebar luas pembangunan dalam masyarakat.

Terdapat juga perkembangan yang ketara dalam NGO dalam beberapa dekad yang lalu. Terdapat ramai yang aktif dalam kedua-dua operasi dalam menguruskan projek-projek pembangunan, dan juga dalam kerja-kerja advokasi.

Dalam konteks ini, terdapat penumpuan dalam pendekatan dan pendirian NGO ke atas alam sekitar dan pembangunan.

Jumlah NGO yang mempromosikan tadbir urus yang baik juga telah meningkat antara yang terkenal ialah seperti Transparency International (anti-rasuah), Amnesty International (hak asasi manusia) dan Freedom House (demokrasi).

Sejak hampir 20 tahun yang lalu kita telah menyaksikan kebangkitan gerakan anti-globalisasi, yang diketuai oleh NGO seperti Perancis ATTAC yang telah menjadi satu fenomena global.

Operasi NGO cenderung untuk mengumpul wang untuk setiap projek, manakala NGO advokasi memperolehi sebahagian besar daripada sumber kewangan operasi mereka daripada sumbangan oleh ahli mereka.

Beberapa NGO menerima sumbangan daripada syarikat swasta dan yang dikenali sebagai BONGOs (NGO dibiayai oleh entiti perniagaan). Keadaan ini menyebabkan beberapa kompromi dalam objektif dan matlamat misi mereka, dengan beberapa NGO yang boleh dikatakan sebagai ‘dibeli’.

NGO lain menerima pembiayaan daripada kerajaan dan dikenali sebagai GONGOs (NGO yang dibiayai oleh kerajaan).

Pada hakikatnya, NGO kini bergerak lebih kepada perkongsian dengan pihak-pihak berkepentingan lain seperti kerajaan dan organisasi antarabangsa.

Beberapa NGO berfungsi sebagai agensi pelaksana bersama bagi program pembangunan kerajaan.

Tadbir urus NGO kini menjadi suatu isu penting.

Senario NGO yang klasik adalah ia ditubuhkan oleh seorang pemimpin yang memilki inspirasi dan impian dan cita-cita bagi mencapai suatu yang murni.

Namun NGO tidak boleh diuruskan dengan cara yang sama seperti sebuah perniagaan. Untuk mendapatkan pembiayaan dan mengekalkan kredibiliti mereka, NGO harus beroperasi dengan telus dan pada tahap akauntabiliti yang tinggi.

Adalah penting NGO melakukan anjakan paradigma yang perlu bagi meningkat prestasi kepimpinan dan pengurusan yang merangkumi :

  • Latihan yang berterusan bagi meningkat prestasi kepimpinan secara insitu; penilaian yang berterusan bagi tujuan penentuan dan penerokaan.
  • Pengembelangan usaha antara NGO dan kerajaan terutama dalam perkara berkaitan penyertaan masyarakat dalam pembangunan program dan polisi di peringkat wilayah dan nasional.
  • Menggunakan kempen perhubungan awam yang canggih untuk mengumpul dana dan menggunakan teknik-teknik melobi yang berkesan ke atas kerajaan.
  • Mengukuhkan kerjasama di antara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), NGO dan NGO serantau serta rakan kongsi yang termasuk sektor swasta.
  • Membina kapasiti yang diperlukan di kalangan badan-badan bukan kerajaan serta memperkukuh kemahiran yang sedia ada dan membangunkan sumber manusia
  • Membina asas sumber yang kukuh, termasuk memperkukuh rangkaian di kalangan NGO, terutamanya penggunaan ICT
  • Mewujudkan dialog tetap dan rangkaian hubungan langsung di kalangan NGO.

Kewujudan NGO amat penting kerana NGO menawarkan sebuah organisasi untuk komunikasi dengan berkesan dengan masyarakat tempatan.

NGO menyokong inisiatif akar umbi serta mengiktiraf dan bertindak balas kepada realiti keperluan masyarakat setempat.

Malah, sesebuah NGO menyediakan satu mekanisme yang mungkin boleh bekerja di mana kerajaan telah gagal.

Selain daripada itu, NGO  juga bertindak dan mengagihkan sumber apabila keadaan setempat tidak memilikinya.