Tags

, , ,

Muncul sahaja bulan Januari setiap tahun, pasti majoriti di kalangan kita yang akan ‘memasang’ azam baru atau memulakan pelaksanaan perancangan baru yang diharapkan akan dapat dicapai sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Tidak kurang pula yang akan berusaha untuk ‘menyambung’ atau meneruskan azam atau perancangan yang belum berkesempatan disempurnakan pada tahun lepas.

Malah ada juga di kalangan kita yang akan beranggapan bahawa tahun ini tidak ada apa sebarang perbezaannya dengan tahun lepas.

Dalam erti kata lain, mereka ini beranggapan bahawa apa yang dilaksanakan atau akan dilalui tahun ini adalah rutin semata-mata.

Secara lazimnya kita faham bahawa rutin itu adalah suatu yang biasa atau selalu kita lakukan.

Sungguhpun apa yang akan kita lalui dan laksanakan pada tahun ini adalah suatu yang rutin, ini tidak pula bermakna ia akan menjadi suatu yang membosankan.

Dalam mana-mana organisasi, kita perlukan rutin kerana ia adalah proses kerja yang akan memastikan kita melakukan tugasan yang diamanahkan dengan lebih baik tanpa melakukan sebarang kesilapan.

Keadaan ini seterusnya akan meningkatkan kecekapan kita dan dalam menghasilkan sesuatu produk ataupun perkhidmatan.

Apabila kita cekap melaksanakan tugasan yang diamanahkan itu, maka kita sebenarnya dapat menjimatkan kos sumber yang diperlukan untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan berkenaan.

Pada masa yang sama kita tidak boleh statik. Rutin ini perlu berubah ke arah yang lebih baik.  Untuk itu kita perlu sentiasa mengkaji dan berfikir tentang proses kerja yang kita lakukan.

Jika dahulu misalnya kita dapat menyelesaikan suatu masalah itu dalam masa empat hari. Bayangkan berapa banyak keuntungan atau manfaat yang kita (dan juga pelanggan kita) perolehi jika kita dapat mengurangkan masa yang diambil untuk menyelesaikan masalah berkenaan kepada tiga hari!

Kita harus berusaha untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang ada. Ini kerana dalam era globalisasi dan kemajuan yang pesat dalam teknologi maklumat, kita harus sentiasa bersedia untuk berubah selari dengan perkembangan semasa bagi membolehkan kita terus berdaya saing.

Lagi pun takkanlah kita hendak melakukan perkara yang sama atau rutin ini saban tahun sedangkan kita mengharapkan agar gaji kita juga meningkat setiap tahun!

Mungkin ada antara kita yang bosan dengan rutin yang dilakukan. Sudah mahir.Tidak ada perubahan. Asyik buat kerja yang sama. Itu mungkin alasan yang sering kita dengar. Kadang-kadang rutin ini boleh mengurangkan atau membantutkan mutu kerja. Prestasi kerja merosot. Akhirnya rutin juga yang disalahkan. Bagaimana dengan diri sendiri?

Kesedaran untuk meningkatkan mutu kerja perlu sentiasa ada pada setiap individu. Mungkin ada antara kakitangan awam yang menjadikan kerjaya mereka sebagai punca pendapatan mereka. Itu sahaja yang penting. Mereka hanya mahu membuat kerja yang sama dan rutin ini kerana ianya menyenangkan mereka. Tidak perlu menambah masalah. Bak kata pepatah “Tiada beban batu digalas”. Mungkin betul dari segi ungkapan tetapi tidak dari segi etika kerja. Pepatah ini wujud bukan untuk tujuan ini. Perubahan ke arah yang lebih baik bukanlah kerja yang sia-sia.