Tags

, ,

Dalam melaksanakan sebarang pekerjaan kita dituntut agar mengendalikannya dengan penuh amanah atau kejujuran.

Amanah ialah hak kepunyaan suatu pihak berada pada pihak yang lain. Tuan yang punya hak tidak mempunyai sebarang bukti untuk menuntutnya kecuali sifat kejujuran yang ada pada pihak pertama, yang akan mengakui bahawa sesuatu yang ada padanya itu adalah hak kepunyaan orang lain.

Amanah adalah perjanjian kepercayaan yang terletak di atas bahu kita atau yang kita letakkan ke atas orang lain.

Dalam hal ini tiada sebarang saksi untuk mengawal perjanjian tersebut selain daripada rasa tanggungjawab rohani.

Rasa kebertanggungjawaban itulah yang menjadi pengukur sama ada seseorang itu beramanah atau tidak untuk menjalankan sesuatu tugas dengan baik seperti yang ditetapkan.

Orang yang amanah sentiasa berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan setiap kewajipan yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.

Dia akan menggunakan segala daya usahanya untuk mempertingkatkan kesungguhannya dalam melaksanakan tugas itu sehingga ke tahap yang dia termampu dilakukannya.

Sifat ini menjadikan seseorang pekerja itu begitu ikhlas terhadap tugasnya serta mengambil berat untuk terus memperbaiki mutu kerjanya.

Ini sebenarnya adalah jelmaan ke atas usaha untuk membudayakan kecemerlangan dalam pekerjaan atau organisasi kita.

Dalam usaha untuk membentuk budaya kerja cemerlang dalam organisasi, orientasi pekerja atau kakitangan haruslah bergerak di atas landasan yang betul iaitu mesti ada komitmen, mempunyai kesedaran kualiti, bersedia menerima perubahan dan tiada batasan masa untuk cemerlang.

Kerja yang hendak dilaksanakan perlu dilakukan dengan sepenuh hati atas kehendak organisasi dengan mengetepikan segala kepentingan lain.

Penting bagi sesebuah organisasi mewujudkan mind-set yang berorientasikan kecemerlangan supaya pekerja atau kakitangan lebih komited kepada matlamat utama jabatan.

Seseorang pekerja tidak diharuskan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan sebarang keuntungan peribadi atau kaum kerabatnya.

Di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Daud Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Seseorang yang kita telah lantik untuk menjalankan sesuatu tugas dan kita telah tentukan upahnya sekali, sekiranya dia mengambil sebarang keuntungan selepas itu, maka dia adalah penipu.”

Pekerja itu dikatakan menipu kerana dia telah memperdayakan pihak yang telah memberikan pekerjaan dan upah dengan mencuri masa untuk melakukan kerja yang di luar perjanjian. Dia telah melakukan penyelewengan terhadap tugasnya.

Setiap orang daripada kita berkuasa.  Mungkin kuasa ini terhad.    Mungkin  cuma berkenaan dengan perbelanjaan wang, penguatkuasaan aturan atau undang-undang atau arahan atau lain-lain lagi yang  diamanahkan  kepada kita.   Jika kita tidak beramanah sudah tentu segala kerja tidak akan sempurna dan matlamat tidak akan tercapai.

Akibat  tidak ada amanah amatlah buruk kepada diri kita, sistem pentadbiran kita dan juga masyarakat.

Sebagaimana yang kita tahu dalam sebarang pekerjaan atau usaha, kita tidak dapat melaksanakannya seorang diri.  Kita memerlukan  penglibatan  orang  lain bersama untuk menjayakannya.

Maka kerana itu sifat amanah dalam pekerjaan amat penting kerana bagaimanakah dapat kita membuat sesuatu perkara itu dengan baik jika kita tidak  boleh  yakin  dan  percaya  kepada  orang  lain yang terlibat membantu?

Jika kita dikenali sebagai individu yang kurang beramanah, maka sudah pastinya akan menyebabkan kepercayaan  orang  lain kepada  kita  berkurangan atau mungkin tiada langsung!

Perkara ini jika berlaku, ianya akan menjejaskan keseluruhan sistem hidup kita sebagai individu, masyarakat dan negara.

Orang tidak amanah tidak ubah seperti parasit dalam organisasi dan masyarakat.  Mereka  hidup menempel pada kita dan menyedut segala zat, nikmat, faedah dan keuntungan yang kita usahakan untuk memastikan dirinya terus hidup dan dalam masa yang sama memudaratkan kita dengan memperkudakan kita serta melemahkan dan akhirnya membunuh kita.

Sebagai sebuah organisasi seperti Perkhidmatan Awam, setiap individu yang menganggotainya mesti menjaga serta mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang menyebabkan kita dianggap sebagai pecah amanah seperti menyalahguna kuasa atau mengambil rasuah.

Hal ini harus diingati dan dibudayakan.  Ini kerana kedudukan kita dalam Perkhidmatan Awam sama ada kita sebagai ketua jabatan mahupun hanya sebagai seorang pemandu, sebenarnya adalah peluang dan amanah yang diserahkan ke atas kita oleh masyarakat yang mana masyarakat mengharapkan kita membantu mereka mendapat peluang yang sama rata dalam menikmati dan meneruskan kehidupan ini.

Tidak ada manusia yang tidak cacat.  Yang penting  bagi manusia  bukan  kesempurnaan  100 peratus, tetapi usaha yang ikhlas ke arah kesempurnaan.   Cuma Tuhan sahaja yang sempurna.