Tags

,

Apa yang kita rancang tidak semestinya apa yang kita perolehi.

Benar?  Betul dan tidak silap lagi.

Namun ramai yang lalai akan perkara ini.

Ramai yang berasakan bahawa kita seharusnya memperolehi apa yang diharapkan.

Ya, dalam situasi yang ideal dan dengan izin yang Maha Esa, kita akan memperolehi apa yang dirancang dan diharapkan.

Malah ada juga yang memperolehi lebih daripada apa yang diharapkan.

Bertuah betul bukan? Namun adakah itu tuah? Atau adakah itu takdir?

Sikap yakin dengan diri sendiri, keupayaan diri, pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki adalah suatu yang bagus.

Sikap ini akan membantu dalam penghasilan produktiviti yang optimum.

Sikap ini juga akan menjadikan seseorang itu beroleh kepuasan dalam pelaksanaan apa sahaja aktiviti.

Adakah ini sikap yang bagus.

Tentu sekali bagus tetapi tidak ada dua individu yang memiliki tahap sikap yang serupa.

Apabila kita berurusan dengan orang lain, sikap ini yang dilihat oleh pihak lain yang menjadi faktor untuk meneruskan apa-apa tindakan selanjutnya – positif atau negatif.

Apabila kita berada di pihak yang memerlukan, maka sikap ini juga yang menjadi penentu ke atas keupayaan kita untuk mendapatkan apa yang dihajati.

Pihak yang satu lagi (yang memiliki apa yang kita hajati itu) akan mudah berasa yakin dan terpaut dengan kita yang memiliki sikap yang ‘berkeyakinan’ itu.

Maka dengan itu, dengan mudahnya kita memperolehi apa yang dihajati itu hanya membekalkan keyakinan kita kepada pihak yang perlu diyakinkan itu.

Situasi ini adalah lumrah dan tanpa sedar kita telah membudayakan dan mengukuhkan sokongan idea itu sebagai hukum alam.

Hakikatnya apa yang dibekalkan itu tidak ubah seperti jelmaan yang memerlukan sumber kuasa untuk mengekalkannya terus wujud.

Jika keupayaan diri, pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki itu seperti lebih sudu dari kuah, maka apabila ditumpahkan ke nasi, kesannya tidak ada!

Keadaan ini yang berlaku di sekeliling kita.

Ramai di kalangan kita yang sedayanya boleh menonjolkan ‘keyakinan’ dan sebaiknya menunjangkannya.

Akibatnya, kita hidup tidak berpijak di bumi yang nyata.

Kehidupan terus melalaikan yang sentiasa mahukan apa yang diharapkan tanpa perlu mengambil kira akan kesan di sebalik tindakan yang dibuat.

Sistem masyarakat kita kini yang telah diselimuti realiti ini ternyata sukar bagi segelintir yang menyedari bahawa jelmaan keyakinan harus didasarkan dengan integriti[1][2].

Hidup dengan integriti adalah lebih mudah daripada kehidupan yang menipu.

Walaupun membuat keputusan yang tidak beretika adalah lebih mudah dalam jangka pendek, lama kelamaan ia memberi kesan buruk.

Tidak ada kebahagiaan yang sebenar boleh didapati dalam berjuang untuk mengingati pembohongan anda.

Hidup dalam ketakutan – bimbang ditangkap dan tidak berasa seperti anda benar-benar berhak memperolehi ganjaran anda.

Bukankah itu kehidupan yang kosong dan penuh dengan tekanan?

Hidup dengan integriti membawa keutuhan dan keamanan serta berasa bangga dengan diri anda.

 

 

 

 

 


[1] Integriti adalah salah satu daripada kualiti abstrak yang kita semua harus memiliki, namun bagi kebanyakan orang ia tidak mudah untuk diwujudkan dalam situasi sebenar dan dipraktikkan sepenuhnya.

[2] Integriti adalah merujuk kepada “mengintegrasikan” dan “seluruh.” Dalam Sepanyol, integritu diterjemahkan menjadi “integro,” yang bermakna seluruh. Integriti membayangkan keadaan yang lengkap, yang tidak berbelah bahagi dan utuh.