Gelombang cabaran dunia hari ini – globalisasi dalam era dunia tanpa sempadan telah mendedahkan kita kepada pelbagai peluang dan juga cabaran. Liberalisasi perdagangan turut mencabar daya saing industri tempatan. Transformasi ekonomi, arus pemodenan dan era ledakan teknologi maklumat banyak memberi kesan dalam kehidupan sosial dan secara perlahan-lahan telah menghakis sistem nilai masyarakat.

Cabaran globalisasi telah menyeret kita kepada soal-soal yang sering dikaitkan dengan erti kejayaan dalam kehidupan. Mentaliti materialistik dan ingin meraih kekayaan dengan jalan singkat menjadi faktor meningkatnya kadar jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Segala cabaran dan alunan globalisasi ini perlu kita rasai dan tidak seharusnya kita elakkan serta membiarkan diri kita hanyut dalam gelora yang hebat ini.

Kita perlukan pendekatan yang menyeluruh sesuai situasi semasa dan negara kita. Pembudayaan akhlak, etika dan integriti perlu diterjemahkan dalam semua aspek pelaksanaan tugas dan tanggungjawab kita.

Dalam penerapan, penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni yang perlu sentiasa diperkukuh dan menjadi amalan yang berterusan agar kita bebas serta bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai program bagi memantap dan mempertingkatkan nilai-nilai murni dan integriti perkhidmatan awam. Sekitar tahun 1980an usaha yang lebih tertumpu telah dilaksanakan dengan memperkenalkan penghayatan konsep Bersih, Cekap dan Amanah, Piagam Pelanggan, Penerapan Nilai-nilai Islam dan sebagainya.

Penekanan konsep kebertanggungjawapan atau muhasabah diri yang merupakan mekanisme penting untuk menilai pencapaian diri penjawat awam serta aspek penambahbaikan turut menjadi fokus.

Ini seterusnya dikukuhkan lagi dengan pendekatan Islam Hadhari yang seiring dengan pelaksanaan Pelan Integriti Nasional yang turut memberikan penekanan kepada membentuk modal insan berkualiti dalam masyarakat keseluruhannya dan juga di kalangan penjawat awam amnya.

Dalam masa yang sama budaya pembelajaran berterusan dan penyebaran ilmu sesama kita (dalam bentuk teori dan praktikal) wajar dikembangkan bagi menghasilkan sumber insan yang berkualiti.

Selain itu aspek daya ketahanan yang kuat sama ada dari segi mental mahupun fizikal adalah aspek penting yang mesti diberikan penekanan dalam menghasilkan modal insan yang berkualiti.

Daya ketahanan yang kuat boleh membentuk semangat berpasukan dalam organisasi. Kekuatan mental perlu dalam membina daya saing yang positif, kreatif dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.