Tags

, , , , ,

Fitrah manusia … semua orang ingin bebas. Bebas dari protokol, bebas dari budaya yang dikatakan mengongkong. Bebas membuat keputusan, bebas mencari wang dan membelanjakannya. Selalunya wanita dikatakan paling terkongkong kerana biasanya orang lelaki yang membuat keputusan dalam kehidupan mereka.

Aku, seorang suri rumah yang hidup dikatakan terkongkong kerana semuanya perlu kebenaran suami. Kawan-kawan bukan Muslim mengatakan mengapa aku perlu tanya suamiku untuk segalanya yang aku mahu lakukan? Semuanya menyatakan yang suami aku seorang yang ketinggalan zaman. Dominan dan terlalu mengawal.

Aku? Aku tak rasa begitu. Aku rasa bebas sebenarnya. Tapi ukuran kebebasan yang aku rasa tidak sama ukurannya dengan penilaian orang lain.

Aku dibesarkan secara konservatif. Kedua orang tuaku dilahirkan sebelum perang dunia kedua. Sedangkan aku dilahirkan lewat dalam kehidupan mereka memandangkan aku yang bongsu dalam keluarga. Boleh dikatakan, sewaktu remaja, kakakku telah disalah sangka sebagai ibu, ayah dan emak pula adalah datuk dan nenekku. Aku perlu minta kebenaran untuk apa saja tindakan yang aku mahu lakukan. Kalau emak dan ayah tidak dapat melakukannya, maka aku seharusnya bertanyakan kepada kakak dan abang yang akan bertanggungjawab untuk menjaga adiknya.

Waktu remaja aku duduk di asrama. Peraturan di asrama bagiku tidak ada masalah. Orang lain rasa tertekan dengan kerinduan pada keluarga dan peraturan yang serba-serbi tidak menyenangkan. Bagi aku, duduk di asrama merupakan satu kebebasan. Tidak perlu aku menjawap pada ayah tentang sembahyang. Tidak ada leteran daripada semua orang di rumah. Aku tidak perlu menyenangkan hati semua orang dalam keluargaku. Tapi satu yang aku rasa terbeban adalah untuk menjaga nama baik ayah dan mak.

Ayah dikenali dalam komuniti kami di kampung. Setiap tingkah laku kami adalah demi nama keluarga. Aku tidak mahu dikatakan merosakkan nama ayah. Walaupun duduk di asrama, aku merupakan pelajar biasa yang cukup takut untuk membuat salah atau melanggar peraturan. Waktu remaja yang penuh dengan emosi membuak-buak untuk berkasih sayang pun aku kekang kerana merasa tidak patut aku berbuat demikian kerana waktu yang tidak sesuai. Aku patut belajar kerana tidak mahu membazirkan wang yang digunakan untuk membiayai pengajianku. Walaupun hanya RM300.00 setahun, sudah cukup untuk aku merasa terbeban kerana itulah yang selalu diungkit oleh mak dan ayah kerana menyekolahkanku. Tak ada seorang pun ahli keluarga yang duduk di asrama sekolah sepenuh masa kecuali aku. Seolah-olah salah aku pulak bila aku menerima tawaran belajar di bandar. Lain pulak dengan abang-abangku yang diberi peluang belajar tapi tak mahu belajar. Bila perempuan mahu belajar, ditekankan pula dengan pengorbanan seolah-olah tak sepatutnya kami belajar kerana kami perempuan. Memang fikiran orang lama. Kadang-kadang sukar untuk aku terima, tapi aku tak dapat berkata apa-apa kerana aku seorang anak remaja perempuan. Masih dalam kawalan dan tanggungan ibubapa.

Bila tamat sekolah, aku gagal melanjutkan pelajaran ke universiti. Jadi aku bekerja sebagai pengasuh dan kerani. Walaupun bekerja jauh dari rumah, aku tidak dibenarkan diam menyewa. Sebaliknya aku disuruh menetap di rumah kakak dan abang. Walaupun aku tidak suka, aku akur kerana mak dan ayah tak akan melepaskan aku begitu saja. Tugas menjaga aku diserahkan kepada kakak dan abang. Hati muda yang memberontak dipendamkan saja. Aku tahu kalau aku buat kesalahan kerana membantah, maka salah aku itu akan diungkit, dikritik, dimarah sehabis-habisnya kerana membantah. Tak ada orang yang berani melawan ayah dan mak dalam keluarga. Hatta abang dan kakak pun perlu dihormati kerana mereka lebih tua dari aku.

Walaupun aku bekerja, aku masih tidak bebas. Pergaulan aku dengan kaum lelaki amat terhad kecuali di tempat kerja. Aku tidak berpeluang untuk mengenali mereka apatah lagi aku dari sekolah perempuan, rupa paras biasa. Tak ada yang istimewanya. Ada seorang rakan sekerja yang aku minat dari jauh. Tak berani meluahkan rasa kerana tidak pandai dan malu. Tapi rakan wanita sepejabat membocorkan rahsia hatiku padanya. Mungkin dia rasa terharu atau ‘flattered’ maka dia memberanikan diri menelefon aku di rumah abang. Teruk aku dimarahi abang kerana pandai-pandai memberikan nombor telefon kepada orang. Perempuan murahan! Kata abang. Aku cakap, dia rakan sepejabat, tentulah dia ada nombor telefon aku. Hingga aku berusia 21 tahun aku masih tidak ada teman lelaki.

Sehinggalah akhirnya memikirkan hidup aku yang tak ke mana tujunya, penuh dengan kebosanan, aku melanjutkan pelajaran ke universiti. Di sini aku tidak mahu memikirkan pasal jodoh. Dengan cara hidup aku dan rupa paras aku, aku tak rasa aku akan berkahwin. Kalau kahwin pun mungkin lambat. Umur 30 mungkin. Tapi Allah menetapkan aku bertemu jodoh di kampus. Setahun tamat pengajian, kami bernikah.

Setelah bernikah, barulah aku merasa bebas sebenar-benarnya. Waktu di alam remaja, aku di asrama, terikat dengan peraturan. Masih dalam kawalan mak dan ayah. Waktu kerja aku terikat dengan kawalan oleh ahli keluarga yang lain. Bila aku bernikah, secara automatik ahli keluarga aku telah melepaskan kawalan mereka kepada aku. Semuanya terserah kepada suami. Bila aku bernikah barulah aku dianggap dewasa oleh ahli keluarga aku kerana aku bukan lagi tanggungan mereka. Menjadi dewasa adalah tanggungjawab. Kini aku bertanggungjawab kepada diri sendiri dan keluarga aku yang baru. Aku dijaga dengan baik oleh keluarga walaupun aku rasa terkongkong. Tapi setelah dewasa barulah aku faham yang mereka hanya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkah Allah kepada mereka. Sebagai mak, ayah, abang dan kakak supaya aku menjadi ahli masyarakat yang bertanggungjawab kepada dirinya, agama dan bangsa.

Lucunya bila berkahwin, ramai yang rasa terkongkong dengan suami. Keadaan sebaliknya berlaku pada aku. Aku tak rasa terikat atau terkongkong. Bila aku cakap aku tidak suka berkerjaya, suami aku akur kerana padanya bukan tugas aku untuk mencari nafkah. Kami tidak kaya, jadi kami menjalani kehidupan seadanya. Aku dikatakan mensia-siakan ijazah aku kerana tidak bekerja, tapi aku lebih memikirkan yang ijazah aku sebenarnya berguna kerana aku dapat memilih calon suami yang sesuai di tempat yang baik. Kalau aku tidak belajar di universiti, mungkin aku tidak bertemu dengannya. Dengan ilmu dan kematangan yang ada membolehkan membuat pilihan sebaik-baiknya bagi aku. Bukan orang lain. Sekali lagi aku dikatakan rugi kerana tidak bekerja. Kali ini aku terfikir, kalau aku tidak berpelajaran, manalah mungkin aku akan dapat mendidik anakku dengan baik. Kalau aku bekerja mungkin mereka akan dijaga oleh pembantu Indon yang entah tahap mana pemikiran dan pendidikan mereka. Kenapalah orang selalu melihat ijazah adalah tiket untuk kesenangan hidup secara material.

Tapi aku tahu mak dan ayah kecewa kerana aku tidak dapat membuktikan yang aku berjaya sebagai pegawai besar atas pendidikan yang mereka berikan. Tapi mereka tak dapat menghalang keputusan aku kerana aku sudah bernikah dan bukan lagi tanggungjawab mereka.

Tapi untuk mengambil hati dan menebus kekecewaan mereka, suami aku telah menyumbangkan kewangan kepada mak kerana pertama, mengambil aku daripada mereka dalam masa setahun setelah tamat pengajian. Kedua kerana tidak membenarkan aku bekerja (walaupun sebenarnya aku yang tidak suka bekerja dan disokong penuh oleh suamiku). Ketiga kerana membawa aku jauh ke seberang laut di pulau Borneo.

Setelah berkahwin, kami terus menetap di rumah sendiri walaun rumah sewa. Ikut kelaziman adat suamiku, seharusnya kami tinggal dengan mertua, tetapi mertua aku melepaskan kami duduk sendiri kerana mahu kami bebas dan berdikari.

Dalam perkahwinan, aku rasa yang sebenarnya terkongkong adalah suamiku. Kerana sebagai lelaki dia masih bertanggungjawab kepada keluarganya terutama ibunya. Sedangkan aku hanya perlu patuh padanya saja. Tapi syukurlah ibunya seorang yang matang. Dengan tidak mengawal hidup anaknya sebenarnya telah mendekatkan anaknya dengan dirinya kerana si anak akan cuba menyenangkan hati ibunya dengan apa cara sekali pun. Begitu tinggi taraf seorang wanita bergelar ibu. Begitu senang hidup seorang wanita sebagai isteri. Ini adalah pemikiranku.  Aku mahu bahagia dalam kehidupan aku di dunia dan akhirat. Jadi tugas aku mudah. Jadilah isteri yang baik jika suami kamu berlaku baik pada kamu. Dia menjaga aku sebaiknya. Jadi kenapa pula aku tidak perlu patuh padanya? Itu yang orang tak faham. Orang kata aku takut suami. Sebenarnya aku menghormati dirinya kerana dia menghormati aku sebagai wanita. Terus terang aku cakap yang susah nak cari lelaki yang baik sekarang. Yang ambil kesempatan tu ramailah. Walaupun masing-masing diri kami ada kelemahan dan kekurangan tapi berkat didikan ibubapanya yang bijak, kami dapat menerima semua ini kerana fitrahnya kita manusia tidak ada yang sempurna. Namun untuk menjalani kehidupan yang aman dan tenteram, terimalah seadanya dan cuba baikinya sebaik mungkin demi kesejahteraan bersama.

Walaupun aku dikatakan terkongkong, tapi aku bebas. Aku dikongkong oleh keluarga sebelum berkahwin dan berasa bebas setelah berkahwin, sedangkan suamiku bebas sehinggalah dia berkahwin dan terikat tugas sebagai lelaki, suami dan anak. Siapa yang lebih bebas?

Pernah seorang kawan berkata, ‘dalam perkahwinan, kita sebagai seorang perempuan sepatutnya berfikiran ‘my money is my money, your money (husband) is also my money’. Walaupun aku hanya suri rumah, aku bukan bodoh. Semua urusan kewangan rumahtangga diserahkan kepada aku. Takkanlah aku hendak mensia-siakan dengan berbelanja sesuka hati. Aku yang merancang belanjawan. Aku tahu yang berlaku. Hatta slip gaji pun aku tahu nilainya. Tugas aku adalah menyenangkan hati suami aku daripada urusan remeh temeh agar dia dapat menumpukan perhatian pada kerjanya. Dengan pendidikan yang aku ada, aku adalah setaraf dengannya. Kami dapat berbual apa saja secara professional dan intelektual kerana kami sekufu. Aku tak dapat berbuat demikian dalam keluarga aku kerana pada mereka aku hanyalah anak atau adik kecil yang tidak tahu apa-apa.

Bagi aku perkahwinan sebenarnya adalah satu kebebasan untuk seorang wanita.

-SNASH-