Mudah dilafazkan namun tidak ramai di antara kita tahu bagaimana untuk melaksanakannya : “Tuntulah Ilmu sehingga ke liang lahad.” Pembelajaran untuk sepanjang hayat,  itulah maksud yang tersirat pada ungkapan ini yang kita perlu ambil iktibar.

Ungkapan itu juga bermakna proses pembelajaran bukan tamat setelah kita memperolehi sijil persekolahan, diploma dan ijazah serta terhad kepada penyertaan atau menghadiri kursus-kursus, latihan dan sebagainya.

Terdapat banyak cara dan ruang bagi kita untuk belajar.  Persekitaran kita sebagai contoh seharusnya dijadikan medan pembelajaran ini kerana ilmu pengetahuan tidak terhad kepada buku-buku sahaja.

Melakukan rutin, membiasakan rutin, memahirkan rutin dan membuat rutin baru adalah proses pembelajaran. Dengan ilmu dan proses pembelajaran berterusan, kita dapat mengubah rutin sedia ada kepada rutin baru yang lebih baik.

Rutin baru yang lebih produktif.  Rutin baru yang lebih cekap dan rutin baru yang dinamik.  Mungkin ada yang tertanya-tanya apa kaitan rutin dengan produktiviti?  Bagaimana rutin dapat membantu meningkatkan produktiviti?  Mengapa perkara ini penting?

Dalam mana-mana organisasi, kita perlukan rutin kerana ia adalah proses kerja yang akan memastikan kita melakukan tugasan yang diamanahkan dengan lebih baik tanpa melakukan sebarang kesilapan.  Tugasan yang disiapkan dengan sempurna tanpa kesilapan bererti kita dapat menjalankan amanah berkenaan dengan cekap.

Apabila kita cekap melaksanakan tugasan yang diamanahkan itu, maka kita sebenarnya dapat menjimatkan kos sumber yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu produk atau perkhidmatan yang diperlukan.

Menjadikan sesuatu perkara itu rutin tidak sukar. Namun untuk mengubah rutin memerlukan lebih usaha. Namun perkara ini tidak mustahil boleh dilakukan.

Apa yang diperlukan ialah faktor kesungguhan untuk berubah dan semangat sentiasa ingin mencapai sesuatu yang lebih baik mesti ada pada diri kita.

Namun seandainya faktor ini tiada pada diri kita, maka kita harus membuat pilihan sama kita akan berusaha keras untuk memilikinya atau berada di luar organisasi ini.

Mana-mana organisasi sama ada kecil atau besar, sebenarnya tidak mampu untuk memiliki ahli yang sekadar melakukan rutin yang sama saban hari tanpa ada usaha ke arah peningkatan atau peralihan kepada rutin yang lebih cekap dan dinamik!