Kejayaan bukan suatu yang datang bergolek.  Sudahlah ianya tidak datang bergolek, kejayaan itu juga boleh diumpamakan seperti panas setahun yang dilenyapkan oleh hujan sehari seandainya kita tidak memiliki sikap dan amalan (atau tabiat) yang betul dan positif untuk mengekalkannya.

Apabila kita telah mengecapi kejayaan, ianya bukanlah suatu yang mutlak milik kita.  Sebaliknya ia adalah pencapaian yang kita kongsikan bersama-sama dengan ramai lagi orang lain di sekeliling kita.

Dalam mana-mana organisasi, sama ada besar mahupun kecil, sikap serta perwatakan atau sahsiah diri anggotanya merupakan antara faktor utama yang menjadi penentu kejayaannya.

Anggota organisasi yang berdisiplin, positif, bersih, jujur serta bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugasannya di samping sentiasa peka dengan persekitaran, sentiasa ingin terus menimba ilmu dan pengalaman baru adalah aset penting kepada sesebuah organisasi.  Ini kerana mereka inilah yang mampu merealisasikan sebarang impian organisasi menjadi kenyataan.

Setiap dari kita mempunyai sahsiah diri yang tersendiri.  Namun ianya bukan suatu yang tetap dan kekal.  Sahsiah diri boleh dibentuk sama ada menjadi positif atau sebaliknya bergantung kepada pendedahan yang kita terima dari persekitaran, pengaruh orang yang dekat dengan kita serta input-input lain seperti ilmu yang kita miliki serta pengalaman yang kita perolehi dalam kehidupan seharian.

Sahsiah diri juga boleh dibentuk dengan beberapa amalan/tabiat hidup yang positif.  Amalan/tabiat hidup yang positif dalam sesebuah organisasi akan membantu membentuk budaya kualiti cemerlang dalam organisasi tempat kita bekerja.

Memiliki sahsiah diri yang positif sebenarnya membantu seseorang individu itu berupaya menghadapi pelbagai situasi dalam melaksanakan tugasannya terutama pada ketika berhadapan dengan saat-saat yang sukar.  Ianya juga boleh diibaratkan sebagai tangga yang utuh yang menjadi penyokong kita apabila kita memanjat naik ke kemuncak kerjaya kita.

Dick Lyles dalam bukunya ‘Winning Habits’ ada menyatakan bahawa amalan/tabiat hidup yang positif akan menjadikan kita sebagai penentu rentak (pacesetter) yang akan menjadi ikutan orang lain.

Beliau juga menyatakan bahawa belajar menjadi pacesetter adalah sama penting dengan belajar untuk menjadi pemimpin. Ini kerana kita perlu sentiasa ingat bahawa ada ketikanya kita berada pada kedudukan sebagai pemimpin dan ada ketikanya kita berada pada kedudukan sebaliknya namun kita sebenarnya sentiasa berada pada kedudukan sebagai pacesetter.

Sesebuah organisasi memerlukan pacesetter kerana mereka ini bukan sahaja akan melaksanakan tugasannya dengan tekun dan komited tetapi turut menjadi penyumbang terbesar dalam usaha organisasi berkenaan mencapai matlamat yang telah ditetapkan melalui kemampuan mereka bekerja dengan lebih gigih, berdaya saing dan inovatif.

Pacesetter mudah dikenal pasti.  Mereka ini adalah golongan anggota organisasi yang menunjukkan kesungguhan dan ‘bertenaga’ dalam melaksanakan tugasan mereka.  Dalam banyak situasi, mereka ini yang akan diberikan pertimbangan utama untuk diberikan peluang kenaikan pangkat serta memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk memajukan organisasi apabila peluang berkenaan muncul.

Dalam peningkatan kerjaya misalnya, kita tidak sepatutnya menjadikan peluang kenaikan pangkat untuk diri sebagai agenda utama kita.  Sebaliknya kita harus melihat dan mengambil peluang-peluang yang ada di organisasi kita bekerja itu untuk diusahakan sesuatu yang akan memberikan manfaat terbaik kepada diri dan juga organisasi kita. Usah fikirkan tentang imbuhan dan ganjaran yang akan kita perolehi jika perkara itu berhasil kerana ianya akan menyusul kemudian tanpa kita pinta.