Apabila kita berada dalam sesebuah organisasi, mempunyai nilai dan amalan/tabiat hidup yang baik bukan bermaksud ianya adalah tiket untuk kita dinaikkan pangkat.

Memiliki ciri-ciri itu, ianya sebenarnya boleh membantu kita dalam menjalankan tugasan kita dengan lebih produktif dan efisien.

Untuk berjaya dalam hidup dan kerjaya anda, kita perlu memiliki beberapa nilai dan amalan/tabiat hidup yang baik yang pada asasnya tidaklah sukar untuk diperolehi.

Sungguhpun tidak sukar, namun ada syarat yang harus kita penuhi iaitu kita harus memiliki kemahuan serta kesungguhan yang tinggi untuk berjaya.

Ini kerana amalan/tabiat hidup yang positif akan menjadikan kita sebagai penentu rentak (pacesetter) yang seterusnya akan menjadi ikutan orang lain.

Pacesetter adalah golongan anggota organisasi yang menunjukkan kesungguhan dan ‘bertenaga’ dalam melaksanakan tugasan mereka selain mempunyai daya saing yang tinggi dan inovatif dalam tugasnya.  Mereka juga adalah golongan anggota organisasi yang sanggup berusaha atau bekerja lebih keras dalam menyiapkan tugasan mereka dengan sempurna.

Lihat sahaja mereka yang berjaya, misalnya dalam sukan seperti dalam pemain tenis, golf atau bola sepak.  Pencapaian atau kejayaan seorang juara itu bukanlah sekadar kerana individu berkenaan mempunyai bakat tetapi adalah mereka bekerja keras dalam usaha mereka untuk menjadi yang terbaik dalam bidang mereka … lama sebelum dinobatkan sebagai juara.

Bekerja keras di sini bukan bermaksud kita sibuk memanjang, tetapi ianya lebih merujuk kepada keupayaan kita melaksanakan tugasan-tugasan kita seberapa cepat yang boleh dalam masa yang singkat dengan kualiti kerja yang terbaik.

Untuk mencapai ke tahap ini kita harus memiliki amalan/tabiat : pertama sampai dan yang terakhir keluar (first on last off [FOLO]).

Ini bermakna kita harus menjadi orang pertama sampai di pejabat, mesyuarat, pembentangan, perbincangan, temujanji dan sebagainya dan adalah orang yang terakhir keluar/balik sehingga segala urusan yang berkaitan telah diselesaikan.

Amalan/tabiat ini melibatkan kesungguhan yang tinggi daripada diri kita.  Amalan/tabiat ini sebenarnya merujuk kepada keupayaan dan kemahuan kita untuk melakukan sesuatu itu atau bekerja lebih keras, berusaha lebih sedikit berbanding orang lain.

Dalam erti kata lain, kita akan berusaha atau bekerja lebih untuk menghasilkan sumbangan yang terbaik kepada organisasi kita asal sahaja usaha itu tidak menyalahi peraturan atau prosedur organisasi dan undang-undang negara.

Apabila amalan/tabiat ini ada pada diri kita, ianya akan membantu dalam karier kita terutama apabila kita diberikan sesuatu tugasan.

Bekerja dalam sesebuah organisasi, keupayaan kita melaksanakan tugasan yang diberikan sebagaimana yang diperincikan adalah suatu yang penting.  Dalam erti kata lain : Ikut Arahan.

Namun sebagai anggota organisasi yang berjaya dan inovatif, penumpuan juga harus diberikan pada usaha untuk melakukan penambahbaikkan.  Ini memerlukan usaha yang lebih walaupun ada ketikanya ianya tidak membuahkan hasil sebagaimana yang diharapkan.

Ini kerana dengan usaha lebih sedikit itu akan menjadi nilai ditambah kepada produk tugasan yang diberikan kepada kita.  Ini yang akan menjadi garis pemisah di antara kita dengan orang lain!  Ini yang akan menjadikan kita lebih menonjol daripada orang lain!