Andai kata semua kita dianugerahkan dengan otak yang genius seperti Albert Einstein berkemungkinan besar tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan.  Namun realitinya, kita semua tidak memiliki otak genius seperti Albert Eintein, malah boleh dikatakan kita semua memiliki keupayaan otak yang serupa.

Oleh yang demikian, mahu atau tidak, kita mesti menggunakannya untuk memikirkan sebarang perancangan, tindakan, penyelesaian dan pelbagai aktiviti lain untuk meneruskan kehidupan seharian terbaik kita.

Keupayaan otak yang lebih sedikit berbanding orang lain bukanlah faktor utama kepada segala penyelesaian.  Sebaliknya jika kita menggunakan keupayaan otak yang dimiliki itu untuk mencetuskan ide atau beberapa ide dalam menjalankan pelbagai aktiviti kita sama ada dalam perancangan, menyelesaikan masalah dan sebagainya, maka kita akan dapati ianya akan nampak mudah.

Albert Einstein pernah ditanya tentang keupayaan otak beliau itu.  Beliau menyatakan ianya bukan suatu keistimewaan sebaliknya beliau menyatakan bahawa sifat ingin tahu, keadaan beliau yang sering memikirkan sesuatu dengan mendalam dan kecekalan yang digabungkan dengan sifat sering mengkritik diri berjaya melahirkan ide-ide bernas beliau.

Bekerja dalam organisasi, formula Einstein ini patut kita terima pakai.  Ini kerana ianya mampu menjadikan kita lebih kreatif, inovatif dan berdaya saing.  Anggota organisasi yang sedemikian akan berupaya bukan sahaja memajukan organisasinya malah dirinya sendiri.

Dalam melaksanakan tugasan kita, tidak cukup hanya memahami apa yang patut kita lakukan dan mengetahui bagaimana hendak melakukannya.  Sebaliknya kita harus sering berusaha mendapatkan maklumat tambahan atau maklumat baru tentang apa yang kita lakukan itu.

Seterusnya kita tidak seharusnya berhenti setakat itu sahaja.  Dengan segala maklumat tambahan atau maklumat baru yang diperolehi itu, kita harus menggunakannya untuk mencari sebarang ruang yang boleh diperbaiki.

Kita harus memikirkan dengan mendalam apa yang boleh kita lakukan untuk menambahbaik situasi untuk kebaikan semua pihak.

Mungkin ini memerlukan banyak masa dan beberapa penyelesaian nampak buntu, namun kita harus cekal dan terus berusaha.  Kita mesti menanam matlamat bahawa perkara ini mesti diselesaikan dengan apa cara sekalipun.

Menurut Einstein lagi, sifat sering mengkritik diri perlu kita lakukan dengan hati dan fikiran terbuka iaitu melihat kelemahan yang ada pada diri kita dan berusaha untuk mengatasinya.

Adalah suatu kesilapan besar jika kita beranggapan atau sering beranggapan bahawa sebarang tindakan atau keputusan yang kita buat adalah betul.  Oleh yang demikian, beranggapan kita sering atau sentiasa betul adalah sifat orang yang sombong.

Kita mesti mengakui kelemahan diri dan berusaha mengatasinya.  Jika tidak, kita akan sukar menghadapi kenyataan apabila sesuatu yang kita rancang dan harapkan berlaku pada kita tidak berlaku sebagaimana yang dirancang atau tidak kita perolehi.

Keadaan ini akan menjurus kepada rasa tidak puas hati dan iri hati yang seterusnya menjebakkan kita kepada budaya ‘sering menyalahkan orang lain’ atas apa yang berlaku.

Akibatnya kita akan melihat, mendengar dan menerima pelbagai berita dan cerita tentang ‘kawan makan kawan’ dan surat layang yang memburuk-burukkan orang lain dan  sebagainya.

Perkara ini jika berlarutan akan menjejaskan organisasi secara keseluruhannya kerana ianya mampu meruntuh moral anggota organisasi yang lain. Akan wujud suasana kurang menyenangkan dalam organisasi yang akhirnya akan menyebabkan kerjasama atau semangat bekerja berpasukan menjadi pudar.  Ini akhirnya akan menjejaskan produktiviti dan menimbulkan pelbagai masalah lain dan menjadi satu kerugian besar pada organisasi.