Di mana sahaja kita bertugas atau menyumbang khidmat kita dalam organisasi, sama ada organisasi itu kecil atau besar, kita semua yang berkhidmat dalam suatu perkhidmatan yang boleh dianggap sebagai satu keluarga besar yang saling memerlukan antara satu sama lain.  Kita sebenarnya tidak perlukan pengasingan. Namun pengasingan jabatan, bahagian atau unit ini diwujudkan untuk pengkhususan agar kita dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada organisasi.

Biarpun bekerja dalam satu jabatan yang kecil, kita sebenarnya satu pasukan. Kita tidak dapat bergerak sendirian. Kita perlukan orang lain untuk turut serta dalam agenda perlaksanaan dasar-dasar kerajaan yang diperkenalkan.

Umpamanya jika seorang ketua jabatan mempunyai idea yang cukup bagus untuk diketengahkan. Namun idea ini tidak dapat dilaksanakan kerana pekerja di bawah seliaannya tidak mampu untuk melaksanakan tugas yang diberikan dan tidak memberikan kerjasama yang diharapkan. Ketua terbabit tidak mungkin dapat melaksanakan ideanya seorang diri. Maka akan wujud kegagalan dalam hal ini.

Begitu juga jika ada pekerja yang bagus dan cekap dalam tugasnya, namun kerana tidak ada sokongan dan bimbingan dari ketua jabatan itu tadi, maka tidak ada sebarang kemajuan yang berlaku. Pekerja tadi mungkin akan tertunggu arahan selanjutnya kerana beliau tidak mungkin melakukan sesuatu tanpa arahan yang jelas. Namun komitmen yang diberikan oleh ketuanya tadi amat menyedihkan. Maka perubahan yang berlaku mungkin statik atau tiada langsung.

Kerjasama dalam satu pasukan adalah penting. Sebarang usaha yang dilakukan oleh kita seharusnya secara kesatuan. Ini kerana kita tidak boleh berjaya dengan sendirinya tanpa penglibatan orang lain. Kegagalan kita juga mencerminkan pasukan kita yang tidak memanfaatkan peluang kerana pentingkan dan bangga dengan diri sendiri. Atau tidak tahu untuk mengagihkan tugas kita sebaiknya kepada individu yang sepatutnya berbuat demikian.

Sikap rendah diri dan hormatkan orang lain akan mewujudkan kesatuan dalam sebarang pekerjaan yang dilakukan. Semua orang akan merasa ikhlas dalam melaksanakan sebarang tindakan atau tugas yang diberikan. Mereka tidak lagi rasa terpaksa melakukan tetapi suka dan mahu untuk melakukan tugas tersebut.

Kesatuan yang wujud telah menolak amalan negatif pada setiap individu. Semua orang akan merasa dirinya penting dan menyumbang sedikit sebanyak untuk melaksanakan sebarang pembaharuan agar beroleh kejayaan. Kejayaan seseorang ketua jabatan bukanlah kejayaan individu tetapi merupakan kejayaan seluruh ahli jabatan terbabit. Kerjasama dan kesatuan yang wujud dalam jabatan terbabit memungkinkan kejayaan ini terjadi.