Memperkenalkan idea baru memang merupakan usaha yang murni. Namun ianya mestilah disertakan dengan amalan pengurusan yang baik untuk melaksanakannya.

Di samping itu usaha ini tidak digagalkan oleh ketidakupayaan untuk mengekalkan amalan idea baru itu tadi. Usaha ini mesti dilaksanakan berterusan dan konsisten. Ini untuk mengelakkan sebarang ruang kecacatan daripada menerobos masuk dan menggagalkan sebarang usaha yang kita lakukan.

Pengurusan yang konsisten merupakan amalan penting dalam sebarang bentuk pengurusan atau tindakan yang kita gunakan sepanjang masa. Azam tahun baru tidak akan membawa sebarang erti jika kita tidak konsisten untuk melaksanakannya.

Pengurusan yang konsisten juga mencerminkan kesungguhan kita untuk melaksanakan idea-idea tersebut dengan baik.

Daya usaha yang ditunjukkan mencerminkan kredibiliti kita dan tanggungjawab kita kepada organisasi. Jangan pula kita mengikut bidalan Melayu hanya “hangat-hangat tahi ayam” atau “melepaskan batuk di tangga”.

Sebarang halangan atau kritikan yang dihadapi seharusnya menguatkan lagi azam kita untuk berjaya bukan sebaliknya. Namun kita janganlah pula terlalu taksub dengan kebolehan diri kita sehingga mengenepikan pendapat orang lain.

Pengurusan yang konsisten seharusnya ada ruang untuk diperbaiki bukannya ruang untuk keluar daripada meneruskan perlaksanaan sebarang idea yang telah dikemukakan. Ini merupakan satu kegagalan yang tidak sebarusnya berlaku kepada sebarang tindakan dalam pengurusan.

Umpama orang yang sakit diberi ubat. Doktor telah memberi preskripsi tertentu kepada pesakit tadi. Untuk sembuh beliau harus melaksanakan  arahan doktor. Namun kerana tidak konsisten dengan arahan doktor tadi, beliau tidak menghabiskan preskripsi yang diberikan.

Ini merupakan gejala di mana pesakit ini masih tidak sembuh dan virus perosak masih ada di dalam sistem tubuh badan pesakit tersebut. Akhirnya pesakit ini terpaksa memulakan sekali lagi proses penyembuhan untuk kali kedua. Bukankan ini memakan masa, tenaga dan wang ringgit? Jika beliau konsisten dengan  preskripsi dan arahan doktor, beliau mungkin telah sihat sekarang ini.

Pengurusan yang konsisten juga mencerminkan semangat dan tekad seseorang. Hati yang cekal tidak mudah goyah atau tunduk kepada sebarang cabaran. Semangat ini perlu ada agar pengurusan yang konsisten dapat diwujudkan dan dilaksanakan sepanjang masa. Ini adalah penting untuk sebarang pembaharuan yang diperkenalkan.

Sebarang pembaharuan atau pelaksanaan idea mungkin tidak dapat dilihat hasilnya pada masa yang terdekat. Oleh itu,  kesabaran merupakan kunci kepada amalan yang pengurusan yang konsisten.

Mengharapkan kejayaan berlaku pada masa yang singkat merupakan satu kegagalan besar. Sifat sabar ini seharusnya diiringi dengan usaha yang konsisten untuk meneruskan perjuangan.

Dengan itu sebarang hasil atau kemajuan yang dicapai merupakan ganjaran atas sikap konsisten yang ada pada kita kerana melaksanakan sebarang usaha sehingga beroleh kejayaan.