Kini sudah diterima ramai yang kita kini dalam era globalisasi dan ICT (sama ada kita sedar atau tidak, bersedia ataupun tidak).  Globalisasi sebenarnya telah lama wujud dan dengan perkembangan teknologi yang canggih dan pesat menjadikan fenomena ini semakin dirasai sejak beberapa dekad yang lalu.  Pengaruh luaran sama ada baik mahupun buruk dengan segera dirasai masyarakat kita.

Era ICT dan globalisasi turut membuka banyak ruang untuk perniagaan dan perkhidmatan baru. Perhubungan yang semakin pantas dan mudah menjadikan banyak urusan dapat dilaksanakan dengan cepat dan ini menjadi faktor penting dalam kejayaan sesebuah organisasi.

Sebut sahaja tentang ICT kita sering mengaitkannya dengan komputer, internet, K-economy, e-commerce dan lain-lain lagi.

Apabila disebutkan tentang globalisasi, kita kaitkan pula dengan perdagangan bebas dan apabila disebutkan tentang Integriti, secara spontan pula kita kaitkan dengan kejujuran, amanah dan akauntabiliti.

Mungkin ada di kalangan kita yang berpendapat apa perlunya kita menyesuaikan diri dengan keadaan ini kerana tuntutan globalisasi tidaklah begitu ketara dan penting? Ini merupakan pendapat yang salah.

Perkhidmatan awam misalnya harus menerima keadaan ini dengan proaktif dan menyesuaikan diri serta melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan baru yang berkaitan.  Pengenalan aplikasi teknologi maklumat seperti e-kerajaan dan e-perubatan sebagai contoh adalah inisiatif kerajaan kita yang harus didokong oleh kita semua dengan fikiran yang terbuka serta proaktif.

Masyarakat swasta dan peniaga telah merubah cara mereka berfikir dan bekerja supaya dapat bersaing dengan pesaing global maka sudah tentunya kerajaan yang memberi perkhidmatan kepada masyarakat tersebut dituntut supaya lebih efisyen.

Kita harus sentiasa ingat bahawa sektor awam masa kini dan akan datang bukan lagi terasing dan sekadar memberi perkhidmatan dan melaksanakan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat tetapi adalah rakan kongsi sektor swasta memakmurkan ekonomi negeri dan negara ini.

Apabila disebut sebagai rakan kongsi maka kita harus merancang dan melaksanakan sesuatu aktiviti atau pembangunan itu dengan mengambil kira aspek kesejahteraan dan manfaat bersama.

Selain daripada itu peningkatan taraf hidup rakyat yang begitu ketara sekarang akan menyebabkan mereka menuntut perkhidmatan yang terbaik dengan kos yang murah dan keadaan ini dapat dicapai dengan penggunaan ICT dengan meluas dalam segenap kehidupan kita.

Kesan ICT dan globalisasi ini sebenarnya tidak semuanya positif.  Ini kerana bagi membolehkan kita bersaing di pesada dunia dalam pelbagai sektor, banyak perubahan yang perlu dilakukan termasuklah pengubahsuaian dan juga penggubalan prosedur, proses serta peraturan urusan kita di samping peningkatan (upgrading) segala peralatan kerja kita.

Keadaan ini jika tidak dikendalikan dengan berhati-hati, berkemungkinan besar akan berlaku penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa disebabkan oleh kepincangan tertentu dalam pelaksanaannya dan ditambah pula dengan wujudnya pihak tertentu yang melihat ini sebagai ‘peluang’ untuk menanguk di air keruh.

Dalam banyak kes, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berlaku kerana seseorang itu tidak mempunyai tahap integriti yang tinggi dalam dirinya. Integriti merujuk kepada nilai jujur, amanah dan boleh dipercayai bukan saja pada kata-kata tetapi juga pada perbuatan kita dalam menjalankan tugas.

Apabila individu terbabit mendapati ada kepincangan dalam sesuatu perkara/urusan, dia terdorong untuk bertindak memanupulasikan keadaan itu untuk kepentingan dirinya. Sering juga berlaku, individu terbabit turut didorong oleh pihak luar yang mahu bersekongkol.

Oleh yang demikian, amatlah perlu setiap anggota perkhidmatan dalam organisasi kita sentiasa ingat dan kembali kepada ajaran agama dan nilai-nilai murni dalam agama seperti bertanggungjawab, amanah, jujur, ikhlas, sentiasa berusaha memberikan yang terbaik serta ihsan dalam melaksanakan tugas.

Pengamalan semua nilai-nilai murni ini dalam kehidupan seharian kita sebagai individu dan anggota perkhidmatan organisasi merupakan ‘perisai’ diri kita daripada godaan yang datang bersama era ICT dan globalisasi.

Pihak kerajaan akan terus berusaha meningkatkan kualiti pegawainya supaya mereka bukan sahaja boleh menggunakan peralatan ICT yang canggih untuk memudahkan kerja, tetapi juga diberikan latihan untuk memperkuatkan dan menyuburkan nilai-nilai murni mereka untuk menanam semangat integriti demi kesempurnaan perkhidmatan.

Pegawai-pegawai juga hendaklah selalu ingat tentang peranan mereka sebagai pemimpin dan contoh kepada masyarakat setempat terutama sekali di kawasan luar bandar.  Mereka hendaklah peka tentang pandangan masyarakat dan hendaklah memainkan peranan yang sesuai bukan sahaja pada waktu pejabat, tetapi juga di luar dan di mana sahaja mereka bekerja.  Hanya dengan berkelakuan sedemikian, penjawat awam kita akan dapat mengajak masyarakat untuk turut serta bersama dengan kerajaan memajukan negeri ini.